Viagra dan Kesan Terhadap Pengguna

Penggunaan Viagra mencetuskan implikasi yang besar dari segi ekonomi, sosiobudaya dan kesihatan. Perbelanjaan untuk mendapatkannya sudah tentu memcecah mungkin berbilion ringgit mengikut satu anggaran jika satu juta penghidap penyakit mati pucuk atau erectile dysfunction ED menggunakannya.

Walaupun penggunaan apa juga jenis pil wajar mendapat nasihat doktor terlebih dulu, banyak pihak sama ada pesakit atau bukan pesakit mengingkarinya. Bayangkan betapa hebatnya implikasi ekonomi dalam desawarsa kegawatan ekonomi yang sedang melanda, iaitu:

  • Ia begitu mahal - anggaran AS$10 (RM38) sebiji bermakna jika setiap orang daripada anggaran sejuta penghidap ED di Malaysia memakan pil ini sekali saja dalam setahun, implikasi kosnya adalah lebih kurang RM38juta.;
  • Viagra akan digunakan oleh seseorang setiap kali hendak mengadakan hubungan kelamin. Oleh itu, salah guna akan membawa implikasi kos yang melambung apa lagi kerana kekerapan penggunaanya yang tidak terbatas;
  • Penggunaannya oleh orang ramai yang tidak menghidap ED sama ada lelaki mahupun perempuan. Walaupun ia dikatakan tidak disyorkan untuk wanita, namun kenyataannya Viagra tetap mendapat pasaran daripada hampir semua pihak. Implikasinya bukan saja kos akan lebih meningkat, malah jangkaan gejala sosial berkaitan seks turu meningkat - kes zina, rogol, pelacuran, tajaan 'pelancongan seks.' Penyakit kelamin turut meningkat, termasuk Aids.
Kesejahteraan keluarga mungkin terjejas. Soal ini timbul kerana ramai yang menghidap ED berumur lanjut. Mereka telahpun menyesuaikan diri dengan cara hidup biasa. Tetapi Viagra berupaya mengubah semua ini. Bagi pasangan yang tidak bersedia dengan perubahan ini, ia boleh memporak-perandakan rumahtangga. Justeru itu, penggunaan Viagra memerlukan pertimbangan yang begitu rasional daripada pelbagai aspek kerana ia meninggalkan kesan buruk. Kebimbangan terhadap aspek kesejahteraan keluarga dapat dianggap sebagai kesan buruk tidak langsung yang lebih berbentuk sosiobudaya dan selain ekonomi.

Tidak kurang pentingnya ialah kesan ubat itu sendiri. Semua ubat, Viagra tidak terkecuali, mempunyai kesan sampingan ini mengikut ukuran sains, ia tetap mempunyai risiko - apa lagi bagi ubat-ubatan baru seperti Viagra.

Antara kesan sampingan yang lazim dikesan di kalangan pengguna Viagra ialah:

  • Pening kepala - seorang daripada setiap 10 sewaktu ujian klinikal mengadu pening kepala yang menjadi lebih teruk apabila bilangan ubat yang diambil bertambah;
  • Pitam - oleh sebab tekanan darah menjadi rendah dengan agak mendadak, kesan pitam mungkin boleh berlaku. Bagi pengguna ubat darah tinggi tertentu, risikonya menjadi lebih tinggi;
  • Penglihatan kabur membabitkan warna kebiruan. Ini disebabkan tindakbalas kimia yang sama berlaku juga pada bahagian mata dan kadangkala membabitkan juga warna kehijauan;
  • Priapisme, iaitu ketegangan anggota kelamin berlanjutan untuk berjam-jam. Kemungkinan ini boleh berlaku apabila pengguna mempunyai penyakit tertentu;
  • Kulit menjadi 'kemerahan'; dan gangguan perut.

Bagaimanapun, semua kesan sampingan ini agak relatif terhadap seseorang pengguna walaupun laporan awal menyebut sekurang-kurangnya 130 terkorban di Amerika Syarikat yang dikaitkan dengan penggunaan Viagra.

Walaupun kes terbabit masih disiasat, sepatutnya ia sudah cukup untuk memberi amaran. Angka ini meningkat daripada enam maut selepas menggunakan Viagra menurut laporan terbaru dari Amerika Syarikat. Antara sebabnya termasuk serangan jantung dan angin ahmar. Ada yang dikatakan mengalami keadaan tidak siuman dan mengalami masalah penglihatan. Oleh itu, walaupun Viagra masih dianggap selamat, penggunaannya perlu diawasi.

Oleh sebab ED juga lebih sering membabitkan orang yang berusia lanjut, iaitu 65 tahun ke atas, kemungkinan kesan sampingan berlaku, malah maut sekalipun, adalah lebih tinggi. Kes kematian yang dilaporkan kebanyakannya membabitkan golongan berumur.

Tambahan pula apabila Viagra digunakan serentak dengan beberapa jenis ubat, penyakit jantung, khususnya jenis nitrogliserin, isosorbid mononitrat, isosorbid dinitrat dan sodium nitroprusid. Bahan lain seperti amil nitrit ("poppers") yang sering di salahgunakan penagih dadah juga boleh mengakibatkan maut.

Adalah penting pesakit yang menggunakan ubat-ubatan jantung mendapat pengesahan perubatan terlebih dulu sebelum menggunakan Viagra. Setakat ini, bahan nitrat yang wujud semulajadi di dalam makanan dilaporkan tidak mendatangkan apa-apa bahaya.

Memandangkan hal ini, pada Januari lalu, satu kumpulan pakar mengesyorkan bahawa pemeriksaan perubatan lengkap seharusnya dijalankan sebelum penggunaan Viagra dapat disyorkan. Malah pada November lalu, satu label khas mengandungi amaran berkaitan penggunaan Viagra dengan penyakit jantung telah dikuatkuasakan sebagai langkah perlindungan untuk orang ramai.

Ini adalah antara kesan dikhuatiri berlaku. Walaupun begitu, semestinya banyak lagi kesan lain yang akan dapat diperhatikan apabila ubat ini digunakan secara meluas di seluruh dunia kelak. Apa lagi jika disalahgunakan dan hal ini sudah lumrah dalam bidang ubat-ubatan, sehingga ada pula yang terpaksa ditarik semula daripada pasaran kerana kesan buruk yang membahayakan kesihatan.

Dikuatiri seseorang bergantung kepada Viagra secara psikologi, iaitu ia terpaksa menggunakan ubat berkenaan setiap kali hendak melakukan hubungan kelamin - walaupun sebelum itu Viagra tidak diperlukan sama sekali. Ini disuarakan pakar psikologi sebagai satu kemungkinan apabila Viagra disalahgunakan.

Dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai lemah tenaga batin dan rawatannya, Pusat Racun Negara, USM baru-baru ini melancarkan Laman Web http://prn.usm.my/viagra.html sebagai sumbangannya kepada pendidikan awam. Pesakit boleh membabitkan dalam proses pendidikan untuk mengenali ubat-ubatan bagi membolehkan mereka berbincang dengan doktor atau ahli farmasi.

Laman Web itu memuatkan berita terbaru mengenai Viagra daripada sumber berwibawa dari seberang laut mahu pun tempatan. Ia juga menyediakan rangkaian maklumat pada laman web lain yang mempunyai bahan yang baik sama ada pada peringkat orang awam atau profesional selain kuiz bagi mereka yang berminat meningkatkan pengetahuan. Setakat ini, laman web ini dalam Bahasa Inggeris dan usaha sedang dilakukan untuk menyediakannya dalam Bahasa Melayu.

Penggunaan Viagra memerlukan pertimbangan yang begitu banyak dari pelbagai aspek. Segala salah guna dan prasangka yang kini wujud mesti diperbetulkan untuk mengelakkan kesan buruk dan gejala sosial yang tidak sihat. Apalagi dalam keadaan kegawatan ekonomi yang sedang kita harungi bersama, penggunaan Viagra boleh merupakan satu pembaziran jika tidak dibendung.

Sumber: Berita Harian

   Rabu, 17 Mac, 1999