Melalui akal fikiran seseorang menentukan haluan dan pertimbangan. Oleh itu,
akal fikiran dalam erti kata sepenuhnya dapat membimbingkan seseorang ke arah
jalan yang betul, jalan Islam. Dengan mengambil haluan tindakan ini, manusia
dikatakan terbentuk `menjadi imej yang paling mulia' (At-Tin: 4) malahan
menjadi kemuncak kemuliaan semua makhluk.
Dengan `nilai' ini, manusia diberi tanggungjawab supaya tidak menyalahgunakan
atau mengabaikan penggunaan akal fikiran. Mereka yang tidak memenuhi
tanggungjawab ini disebut di dalam al-Quran sebagai mereka yang tidak
`memahami' atau yang tidak mahu 'berfikir' menggunakan akal yang telah
diberikan oleh Allah. Penyalahgunaan atau kecuaian demikian akhirnya menurunkan
taraf manusia menjadi `makhluk' yang paling hina' (At-Tin: 5). Dan Khmar
ialah salah satu daripada aspek ini kerana ia memusnahkan bukan hanya daya
usaha serta keupayaan seseorang bertindak secara membina, tetapi juga kesihatan
tubuh badannya. Sambung Al-Ghazali dalam kita yang sama;
"Jadi, badannya itu seperti kubu dan tempat kawalannya dan dirinya
sebagai penghalang yang mempunyai pengaralnya. Jika ia berjihad
menentang musuhnya dan dapat mengalahkannya serta menguasainya seperti
yang sepatutnya, kesannya adalah kebaikan yang layak menerima pujian.
Sekiranya ia kehilangan tempat pertahanannya itu dan mengabaikan
rakyatnya, maka kesannya ialah keburukan yang layak menerima balasan
daripada Allah, sesuai dengan keburukan yang dilakukan itu."
Oleh itu, tidaklah keterlaluan jika ditekankan bahawa Islam sebagai satu agama
yang rasional menuntut kewarasan akal fikiran, supaya manusia sentiasa sedar
siapa dia dan apa yang dilakukannya. Al-Quran mengatakan `mereka akan memikul
bebanan di belakang mereka' (Al-An'am: 31).
Mencabar
Berhubung rapat dengan akal fikiran ialah nilai kerohanian menusia sendiri,
al-Quran ada menyebut berbagai-bagai peringkat pertumbuhan nilai kerohanian
manusia. Dalam hal ini, perlu disentuh `roh yang mencari diri sendiri; (Al-
Qiyamah: 2), diri yang lebih halus yang memberi pancaran kepada fikiran.
Di dalam petikan ayat tadi, al-Quran bersumpah `demi roh yang mencari diri
sendiri' diikuti dengan satu doalan mencabar supaya manusia `berfikir'. Semua
ini selaras dengan `imej yang paling mulia' yang telah dikurniakan pada
manusia.
Pendek kata, daripada kacamata Islam yang menyeluruh, istilah khamr
mempunyai implikasi yang sungguh luas. Mengikut ulama, sesuatu yang boleh
menyebabkan seseorang `lupa pada diri sendiri' dan `terlepas' dari alam nyata
juga dapat dirangkum di dalam pengertian khamr.
Demi untuk mengkaji lebih jauh pendirian Islam tentang masalah khamr
secara umum dan masalah dadah secara khusus, kita harus kembali kepada kalimah
syahadah; "Tiada Tuhan Yang Disembah Melainkan Allah". "Tuhan" yang dimaksudkan
di dalam kalimah syahadah iaitu bukan hanya tuhan kepada "Tuhan" dalam erti
kata biasanya tetapi sesuatu yang mengasyikkan hingga ke peringkat dipuja,
iaitu disembah sebagai `Tuhan'. Sesuatu tindakan seperti ini bolehlah dianggap
sebagai menyekutukan Allah, Tuhan yang Esa dan ini merupakan suatu perbuatan
syirik.
Dalam Islam, Tuhan adalah satu, tiada lain daripada-Nya. Tiada lain yang patut
disembah melainkan-Nya. Dengan demikian seseorang yang berserah diri kepada
Allah yang Esa tidak menyembah Tuhan yang lain. Tiada lain tempat seseorang
berserah melainkan pada yang Esa. Seseorang itu dikehendaki berbuat demikian
bukan semata-mata kerana kehendaknya mahupun kerana paksaan; sebaliknya dengan
menggunakan akal fikiran yang waras, yakni dia diberi pilihan.
Ini jelas dinyatakan oleh al-Quran: "Allah tidak menukar nasib seseorang
kecuali mereka menukar nasib mereka sendiri (dengan hari mereka sendiri,
Al-Ra'd: 11)" "hati" atau "al-qalbu sebagai tempat datangnya akal
fikiran seseorang. Di dalam satu lagi ayat; "Jika dikehendaki oleh Tuhan kamu,
semua manusia di muka bumi ini akan mempercayai-Nya; (Yunus: 99). Apa yang
jelas, kita diberi keupayaan memilih berasaskan lunas-lunas Islam.
Dalam satu ayat lain; "Kami telah memberikan mereka penglihatan dan
pendengaran dan sama ada dia bersyukur atau tidak terhadap rahmat kami, kami
telah menunjukkan kepadanya jalan yang benar" (al-Insan: 2-3). Jalan yang
demikian ialah cara hidup Islam. Ditambah dengan konsep ibadah di dalam Islam,
ia jelas bertujuan supaya manusia dapat mencapai `imej paling mulia' sebagai
seorang Islam.
Oleh itu adalah wajar bagi Islam memandang serius terhadap penggunaan
khamr dan melarang keras penggunaanya demi mengekalkan maruah dan
kemuliaan manusia dan juga masyarakatnya.
Memetik riwayat daripada Khalifah ketiga, Saidina Uthman: "Seorang lelaki telah
dibawa dan ditanya mana yang paling mudah dilakukan, sama ada mengoyakkan kitab
suci al-Quran atau membunuh seorang kanak-kanak atau tunduk menyembah patung
atau meminum arak atau berbaring dengan seorang wanita.
Lelaki itu mendapati bahawa perkara paling mudah dilakukannya ialah meminum arak
dan dia telah meminumnya. Dia kemudian berbaring bersama wanita itu, membunuh
kanak-kanak tersebut, mengoyakkan al-Quran dan tunduk menyembah patung
tersebut.
Contoh tunggal ini sudah memadai untuk menunjukkan kenapa Islam berpendirian
begitu tegas terhadap khamr seperti yang dibincangkan di atas.
Sesiapa yang ingin mendapatkan naskhah percuma buletin umum dari Pusat Racun
Negara sila hantar sampul surat (6" x 9") bersetem 40 sen dan beralamat sendiri
kepada Pengarah, Pusat Racun Negara, USM, 11800 Minden, Pulau Pinang.
