Bahaya Obor-obor Beracun

oleh Prof. Madya Mohamed Isa Abdul Majid
Pusat Racun Negara

SENGATAN obor-obor berupaya mengakibatkan kematian pada mangsanya seperti yang terjadi di Pulau Langkawi yang dilaporkan dalam akhbar baru-baru ini.

Namun demikian tidak semua obor-obor laut mempunyai sengatan berbisa dan mengakibatkan kematian.

Ada obor-obor di perairan Sarawak yang tidak berbisa seperti obor-obor jenis putih yang dijadikan sebagai makanan.

Obor Bisa

Jenis obor-obor laut yang diketahui berbisa terbahagi kepada lima jenis iaitu Chironex fleckeri, Chiropsalmus buitendijki, Chiropsalmus quadrihatus, Chrysaora quinquecirrha dan spesis Physalia, Chironex fleckeri.

Biasanya ia didapati di sekitar perairan Australia manakala yang selainnya boleh didapati di perairan tempatan.

Bagi semua obor-obor, sengatan bisa dilakukan melalui sesungut yang mengandungi ratusan pundi-pundi bisa, dipanggil 'nematosit'.

Sesungut ini apabila tersentuh oleh mangsa akan melepaskan racun daripada nematosit tadi dan boleh menyakitkan atau melumpuhkan mangsa seketika pada tempat sengatan.

Chironex fleckeri, dikenal pasti sebagai paling berbisa, berupaya menyebabkan kematian dalam masa 15 minit manakala sengatan spesis Physalia pula biasanya akan menyebabkan mangsa mengalami kejutan dan mengakibatkan kematian sekiranya mangsa lemas.

Cara-cara mengelakkan sengatan obor-obor

Sengatan obor-obor sering kali berlaku dalam keadaan berikut :

  1. Sengatan yang paling kerap adalah semasa obor-obor terapung di permukaan air ketika mangsa memasuki atau berenang di dalam air.
  2. Serpihan sesungut yang terpisah dari badan obor-obor akibat dari laut bergelora seperti semasa ribut. Sesungut ini walaupun telah terpisah dari badan berupaya mengeluarkan bisa apabila serpihan sesungut bersentuhan dengan manusia.
  3. Serpihan sesungut yang terdampar di persisiran pantai juga berupaya membebaskan bisa apabila dipijak.
  4. Sengatan obot-obor lebih kerap terjadi apabila bilangannya di dalam laut bertambah.

Misalnya bilangan obor-obor bertambah semasa musim mengawan yang berlaku pada bulan Mei hingga Jun.

Oleh itu berhati-hatilah jika terpaksa ke laut semasa keadaan di atas.

Kecemasan

Langkah-langkah bantuan kecemasan yang boleh dilakukan dalam kes sengatan obor-obor.

Sekiranya sengatan telah berlaku, langkah-langkah bantuan kecemasan pada tempat kejadian telah dilaporkan dapat mengurangkan risiko kematian mangsa sengatan.

Bahan rawatan

Banyak bahan telah dilaoprkan boleh digunakan dalam merawat bisa obor-obor laut ini.

Antaranya termasuklah sodium bikarbonat (serbuk penaik yang digunakan untuk kek), asik borik, alkohol, larutan cucian amonia dan jus limau nipis.

Bahan-bahan ini dapat bertindak menukarkan tahap, keasidan (pH) di bahagian tubuh yang tersengat dan meredakan rasa kesakitan.

Langkah bantuan kecemasan yang disyorkan selepas itu adalah seperti berikut :-

  1. Basuh kawasan sengatan dengan air laut.
  2. Jika sesungut obor-obor terdapat di atas kulit, gunakan perkakas bersesuaian seperti garpu atau memakai sarung tangan untuk membuang sesungut tersebut.
  3. Kawasan sengatan kemudiannya direndam dalam larutan cuka (50 peratus) selama 30 minit.
  4. Selepas itu, tuangkan bancuhan tepung atau serbuk penaik (baking powder) ke atas tempat sengatan dan gunakan pisau untuk mengikis keluar nematosit yang tertanam dalam kulit kita.
  5. Ulangi basuhan cuka ke atas tempat tersebut dan sapukan krim yang mengandungi antihistamin, analgesik dan steroid (seperti betnovat) pada kawasan sengatan. Jika perlu, gunakan air untuk menghilangkan rasa sakit.
  6. Bawa mangsa berjumpa doktor dengan segera.

Sesiapa yang ingin mendapatkan naskah percuma buletin umum dari Pusat Racun Negara, sila hantar sampul surat (6" x 9") bersetem 40 sen dan beralamat sendiri kepada Pengarah, Pusat Racun Negara, USM, 11800 Minden, Pulau Pinang.