Sengatan lebah, boleh membawa maut

Oleh Dr. Fauziah Md. Desa
Pusat Racun Negara, USM

SEJAK kebelakangan ini sering kali kita terbaca beberapa lapuran akhbar tentang seseorang disengat lebah atau tebuan.

Ada kalanya serangan lebah ini boleh menyebabkan kematian jika diserang oleh beribu-ribu ekor lebah.

Sebenarnya serangga jenis lebah, penyengat, tebuan dan tebuan tanah mempunyai kepentingan perubatan yang besar kerana gigitan atau sengatannya menyebabkan tindak balas keracunan mendadak serta alahan yang boleh membawa maut.

Serangga ini adalah dari jenis serangga kumpulan himenoptera yang mempunyai sengat bersambungan dengan saluran kantung di segmen hujung badannya.

Semasa menyengat, ia meninggalkan kantung racunnya di tapak sengatan supaya bahan racun terus mengalir ke dalam tubuh mangsanya.

Sejenis bahan kimia yang disebut pteromone juga ditinggalkan pada mangsanya bagi menarik perhatian lebah lain supaya menyerang mangsa tersebut.

Bahan racun himenoptera boleh menghasilkan kesan-kesan reaksi setempat dalam masa beberapa jam, antaranya gerak balas badan (bahagian sengatan kelihatan timbul), rasa gatal, sakit dan bengkak kemerahan.

Kesan-kesan ini akan surut dalam beberapa jam kecuali jika sengatan di mulut atau kerongkong di mana reaksi ini boleh menyempitkan saluran pernafasan. Jika mangsa alah kepada bahan racun tersebut, kejutan anafilaksis akan dialami.

Menghasilkan kejutan
Reaksi alahan ini menjadi ketara antara 30 minit hingga 24 jam selepas disengat.

Reaksi luar biasa ini hanya berhasil daripada pembebasan bahan kimia yang dapat menghasilkan kejutan (penurunan tekanan darah), penyempitan sistem pernafasan, ruam menyeluruh dan bengkak pada saluran darah.

Ini membuatkan pesakit merasakan sesak nafas, tidak sedarkan diri atau boleh menyebabkan maut. Reaksi ini biasanya dialami pada mangsa alahan yang pernah disengat oleh tebuan atau lebah.

Reaksi anafilaksis, walaupun ringan (hanya ruam, lecur dan tidak mengancam nyawa) masih perlu dirawat di hospital atau klinik.

Reaksi anafilaksis biasanya berlaku selepas badan menjadi peka (sensitisasi) apabila sedikit alergen yerkandung pada racun yang masuk ke dalam tubuh mangsa menghasilkan reaksi pada sel-sel sistem pertahanan badan.

Secara tidak langsung ini menjadikan sistem pertahanan lebih peka (hypersensitif) kepada bahan tersebut.

Biasanya sengatan pertama atau sengatan sensitisasi ini tidak disedari oleh mengsa kerana ia tidak menghasilkan kesan yang ketara selain daripada reaksi setempat.

Keupayaan hypersensitiviti hasil daripada sengatan sensitisasi boleh bertahan dari beberapa bulan hingga beberapa tahun.

Langkah-langkah kecemasan

  • Mana-mana bahagian tubuh yang terdedah boleh menjadi sasaran sengatan serangga. Apabila bekerja di luar rumah pastikan anda memakai baju berlengan panjang, seluar panjang dan kasut.
  • Pakaian bercorak bunga-bunga dan berwarna-warni akan menarik perhatian serangga himenoptera.
  • Pastikan anda tidak memakai bau-bauan atau minyak wangi atau bahan yang berbau kuat kerana ini boleh menarik perhatian serangga himenoptera.
  • Apabila berkelah pastikan makanan yang manis atau sisa makanan tidak terdedah kerana ini akan menarik perhatian serangga himenoptera.
  • Apabila anda mengalami serangan tebuan, pergerakan yang perlahan untuk mengelak lebih baik daripada pergerak cepat untuk melarikan diri atau cubaan membunuh serangga tersebut.

Sesiapa yang ingin mendapat naskah percuma buletin umum dari Pusat Racun Negara sila hantar sampul surat (6" x 9") bersetem 40 beralamat sendiri kepada Pengarah Pusat Racun Negara, USM, Minden, 11800 Pulau Pinang.