Bahaya Kimia Industri

Oleh Noor Hasani Hashim
Pegawai Kimia, Pusat Racun Negara, USM

LANGKAH kerajaan memperuntukkan Akta Keselamatan Dan Kesihatan Pekerja 1994 bertujuan untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja dilindungi.

Hakikatnya, soal keselamatan harus bersama-sama ditangani oleh pihak majikan dan pekerja.

Walaubagaimanapun, secara sedar atau tidak, setiap hari kemalangan tetap berlaku samada di rumah atau di tempat kerja, malah kemalangan di tempat kerja lebih banyak dilaporkan.

Dalam tahun 1991 hingga 1994, bilangan kemalangan di tempat kerja yang dilaporkan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) melebihi dari setengah juta kes.

Jumlah kemalangan tersebut menunjukkan suatu angka yang amat membimbangkan.

Berikut adalah bilangan kemalangan yang dilaporkan mengikut tahun :

TahunBil. Kemalangan
1991124,898
1992130,019
1993133,293
1994122,688

Di antara kemalangan industri yang dilaporkan ialah kecederaan akibat sentuhan dan terhidu bahan kimia. Malah beberapa kes kematian akibat terhidu gas beracun turut dilaporkan.

Kebanyakan bahan kimia yang digunakan di kilang-kilang adalah berbahaya dan boleh menyebabkan kecederaan apabila terdedah tanpa dilindungi.

Langkah-langkah keselamatan harus dilaksanakan apabila mengendalikan bahan-bahan kimia seperti asid, alkali, gas, pelarut, simen, getah sintetik, gentian kaca, resin dan pelekat.

Bagi sesetengah individu, habuk kayu dan minyak semulajadi dari haiwan yang digunakan dalam pewangi boleh menyebabkan tindak balas pada kulit.

Pewarna yang digunakan untuk memproses bahan semula jadi seperti kulit, bulu, kapas, pengawet dalam alat-alat solek dan krim, kadang-kadang boleh memberi kesan dan tindak balas pada kulit.

Tindak balas

Walau bagaimanapun, tindak balas pada kulit ini berbeza antara seorang dan seorang yang lain dan pada sesetengah orang mungkin tidak memberi kesan langsung.

Kecederaan kulit atau pun radang kulit berlaku akibat sentuhan bahan kimia dengan kulit. Bahagian yang mengalami radang akan menjadi merah, bengkak, lembut, panas, sakit dan gatal-gatal.

Sekiranya tindak balas terlalu teruk, kulit akan melecur, melepuh, terbakar dan meninggalkan kesan parut sekiranya telah pulih.

Selain daripada kulit, bahagian lain yang paling mudah terdedah pada bahaya bahan kimia ialah mata, hidung, kerongkong serta bahagian atas saluran pernafasan.

Tanda-tanda akibat pendedahan ialah mata dan hidung berair, batuk, mual dan pening-pening. Kesan pendedahan adalah bergantung kepada nilai pH, kepekatan, keupayaan pengoksidaan, tempoh dedahan dan sifat tindak balas sesuatu bahan kimia.

Selain daripada kesakitan dan tidak selesa, pekerja juga terpaksa menerima rawatan dan mengambil cuti sakit dan ini akan mempengaruhi produktiviti sesebuah organisasi.

Kadangkala, alahan terhadap sesuatu bahan kimia atau kulit yang terlalu peka juga menyebabkan pekerja terpaksa menjauhkan diri dari tempat kerja.

Bahaya pendedahan terhadap bahan kimia kebanyakkannya melibatkan mereka yang melakukan kerja-kerja menggunakan bahan-bahan kimia secara langsung.

Pendandan rambut, pengecat, penyedia makanan, pencuci, pekerja di sektor pertanian, pembinaan, buruh dan mekanik adalah antara pekerja yang terdedah kepada bahaya bahan kimia.

Kecederaan juga bergantung kepada bahagian anggota yang terdedah. Kecederaan pada tangan selalunya akibat sentuhan bahan kimia jenis pepejal atau cecair, manakala kecederaan muka dan kawasan leher akibat sentuhan gas dan wap kimia.

Bahagian badan yang tertutup juga boleh cedera sekiranya cecair atau wap kimia menembusi pakaian terutama pada bahagian badan yang bergeser dengan pakaian (seperti pergelangan tangan, buku lali, tengkuk, dahi, dan pinggang).

Kemalangan industri melibatkan bahan kimia dapat dielakkan sekiranya pekerja memberikan perhatian yang sewajarnya terhadap keselamatan diri dan orang lain.

Mematuhi

Memakai pakaian perlindungan sepanjang masa yang disediakan oleh majikan dan mematuhi segala arahan atau langkah-langkah keselamatan serta kesihatan amat digalakkan.

Majikan mesti menyediakan tempat kerja dengan sistem penyenggaraan persekitaran yang bersih, selamat dan tanpa risiko. Maklumat, arahan dan poster-poster keselamatan bagi bahan-bahan berbahaya juga perlu disediakan.

Penerangan mengenai bahaya bahan kimia industri dalam program latihan keselamatan, mengadakan latihan keselamatan secara berterusan, menyediakan peralatan keselamatan seperti sarung tangan, pelindung mata atau muka dan krim penahan bagi mencegah berlakunya kemalangan.

Sesiapa yang ingin mendapatkan naskhah percuma buletin umum dari Pusat Racun Negara, sila hantar sampul surat (6" x 9") bersetem 40 sen dan beralamat sendiri kepada Pengarah, Pusat Racun Negara, USM, 11800 Minden, Pulau Pinang.