Asma dan Rawatannya
Bahagian II
 
Oleh Prof. Madya Dr. Rahmat Awang
Pusat Racun Negara
 


Apakah Yang Digunakan Dalam Rawatan Asma?

 

Berikut merupakan beberapa jenis ubat yang sering digunakan dalam rawatan asma. Secara umumnya boleh dikelaskan kepada jenis bronkodilator iaitu ubat yang boleh membantu menghentikan serangan asma apabila ia terjadi dan kedua, agen anti-inflamasi yang digunakan untuk mencegah serangan asma daripada terjadi. Namun begitu, bagi memastikan kesan terbaik dapat dicapai, beberapa nasihat umum haruslah diperoleh terlebih dahulu.

Agonis Beta-2

Salbutamol dan terbutalin merupakan sejenis agonis beta-2. Ia didapati dalam bentuk larutan inhalasi. Ubat ini biasanya digunakan sebagai tambahan kepada agonis beta-2 apabila kawalan sepenuhnya daripada agonis beta-2 tidak dapat dicapai. 

Teofilin

Ubat jenis ini bertindak dengan menyebabkan saluran pernafasan mengembang dan ini dapat di capai sama ada dengan mengambilnya dalam bentuk sirap, pil, kapsul atau suntikan. Keupayaannya mengawal asma amat bergantung kepada kepekatannya dalam darah dan penentuan kandungan ubat yang seringkali dilakukan. Antara masalah yang sering timbul akibat penggunaan ubat ini adalah rasa sebu perut, mual, resah dan kerap membuang air kecil. Tetapi pada kepekatan yang tinggi, kesan sampingan yang serius seperti gelugut dan gangguan pergerakan jantung boleh dialami. Justeru itu, pesakit harus mendapatkan nasihat daripada doktor atau ahli farmasi sebelum menggunanya bagi memastikan kesan yang terbaik dapat dicapai.

Kortikosteroid

Kortikosteroid merupakan ubat utama dalam rawatan asma. Ubat kumpulan ini mempunyai kesan anti-inflamasi yang amat kuat dan digunakan untuk tujuan pencegahan serta rawatan asma yang aktif. Jenis kortikosteroid yang digunakan pula bergantung kepada matlamat yang ingin dicapai.

 

Bagi menghentikan serangan asma, kortikosteroid secara makan atau suntikan biasanya digunakan dalam jumlah yang besar untuk jangka masa lebih kurang tujuh hari. Ini hanya diberikan kepada kes yang agak teruk. Namun begitu, pengambilan ubat seperti ini boleh menimbulkan sedikit masalah sukar untuk tidur, perubahan mood atau tingkah laku, sakit otot atau sebu perut. Contoh kortikosteroid jenis ini termasuklah prednisendan meetilprednisolon. Bagi mencegah serangan asma, kortikosteroid sedut seperti beklometason dipropionat dan budesonid pula digunakan. Penggunaan kortikosteroid dengan cara semburan ini tidak banyak menimbulkan masalah melainkan jangkitan kulat ditekak.

Kromolin

Ia merupakan satu sebatian yang dapat menghalang sel mati iaitu sel yang terlibat dalam menghasil dan mengeluarkan bahan kimia seperti histamina ke dalam paru-paru yang disahkan boleh memulakan proses inflamasi saluran pernafasan. Ubat seperti ini mengurangkan pembengkakkan serta penghasilan lendir supaya dapat memastikan saluran pernafasan sentiasa berada dalam keadaan terbuka. Ia boleh didapati dalam bentuk serbuk dan digunakan dengan bantuan alat sedut (inhaler). Masalah yang pernah dilaporkan berkaitan dengan penggunaan ubat ini termasuklah hidung tersumbat, gatal atau panas dan iritasi pernafasan.

Ketotifen

Ubat ini digunakan sebagai langkah pencegahan dan tidak boleh digunakan apabila serangan asma telah terjadi. Ia boleh didapati dalam bentuk pil atau sirap. Kesan sampingan yang dilaporkan termasuklah rasa mengantuk, kering mulut dan peningkatan selera makan diikuti dengan pertambahan berat badan.

Terapi-Imun-alahan 

Rawatan yang juga dipanggil sebagai terapi hiposensitasi diberikan sekiranya asma yang dialami disebabkan oleh tindakbalas alahan. Rawatan yang bersifat suntikan ekstrak bahan alahan dalam jumlah yang mula-mula sedikit tetapi seterusnya ditingkatkan, bertujuan untuk meningkatkan sistem pertahanan pesakit bagi membolehkan pencegahan serangan asma dicapai. Keperluan dan pemberian rawatan sedemikian biasanya ditentukan oleh doktor pakar yang terlatih dalam bidang alahan dan imunologi.

Rumusan 

Asma boleh menjadi satu penyakit yang serius dan boleh menggugat nyawa mangsanya jika tidak berhati-hati. Bagaimanapun, ia boleh dikawal dengan baik sekiranya pesakit tahu apa yang perlu dilakukan oleh mereka. Ubat-ubatan yang digunakan pada masa ini semuanya berupaya membantu pesakit bernafas semula dengan baik tetapi tidak satupun dianggap boleh menyembuhkan. Justeru, pesakit harus mempelajari cara-cara untuk mencegah berlakunya serangan asma disamping mengenali tanda-tanda awal asma supaya langkah pengawalan dengan ubat-ubatan dapat dilaksanakan secepat mungkin sebelum keadaan menjadi teruk.

 

Cara Menggunakan Ubat Sedut 

  1. Bekas ubat sedut digoncangkan terlebih dahulu sebelum digunakan. 

  2. Bekas dipegang secara menegak berdepan dengan mulut.

  3. Hembus nafas sepanjang yang boleh supaya paru-paru dapat dikosongkan. 

  4. Hujung bahagian bekas ubat diletakkan di mulut dan dirapatkan dengan bibir. 

  5. Tarik nafas perlahan-lahan dan tekankan bahagian atas (pengepam bekas ubat).

  6. Setelah selesai menyedut nafas, bekas penyedut dialihkan dari mulut dan nafas ditahan selsema yang boleh bagi memastikan ubat masuk ke dalam paru-paru.

  7. Proses ini boleh diulang selang satu minit kemudian diarahkan oleh doktor.