|
Peranan Ahli Farmasi Dalam Kesihatan
Dr. Mohamed Izham Mohamed Ibrahim
Pusat Racun Negara, USM
Pengenalan
Keberkesanan bidang perubatan hanya boleh dilihat bilamana pengurusan serta
penggunaan ubat-ubatan adalah efisien dan rasional. Fenomena ini penting dan
berlaku bukan sahaja di negara-negara sedang membangun seperti Malaysia, malah
di negara-negara maju. Di negara-negara maju, aktiviti-aktiviti profesional
yang melibatkan pengagihan, pembekalan dan pendispensan ubat-ubatan adalah amat
diperlukan sejajar dengan kecanggihan teknologi serta kekompleksan sistem
penjagaan kesihatan moden. Di akhir abad ke-20 ini, persoalan ekonomi yang
berkaitan dengan kos perbelanjaan kesihatan sangat hangat diperbincangkan.
Kajian telah menunjukkan bahawa ubat merupakan salah satu cara yang berkesan
serta murah jika dibandingkan dengan kaedah lain dalam menentang penyakit. Oleh
yang demikian, ahli farmasi mempunyai peranan penting dalam sistem kesihatan
sesebuah negara dan dapat bertindak demi kepentingan pesakit dan masyarakat
dalam menentukan ubat-ubat digunakan secara rasional dan berkesan. Peranan ini
telah diperluaskan daripada "product-oriented" kepada "patient-oriented".
Kepakaran dan Pengetahuan Ahli Farmasi
Kamus Webster mendefinisikan farmasi sebagai "seni atau praktis penyediaan,
pengawalan, pencampuran dan pendispensan ubat-ubatan". Definisi ini tidak
tepat. Ia tidak mengaitkan dengan misi profesion farmasi iaitu "memastikan ubat
digunakan oleh pesakit secara rasional dan ubat tersebut adalah selamat dan
berkesan".
Sumbangan ahli farmasi kepada sistem penjagaan kesihatan dalam sesebuah negara
bergantung kepada pengetahuan dan kepakaran yang diperolehi daripada program
atau sistem pendidikan di universiti-universiti tempatan (contoh: Universiti
Sains Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia) ataupun di
luar negara (contoh: Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia). Proses ini
akan diikuti dengan program latihan "housemanship" atau pra-pendaftaran selama
satu tahun. Latihan wajib ini boleh dilakukan di institusi-institusi seperti
hospital, unit penguatkuasaan farmasi, Biro Kawalan Farmaseutikal Kebangsaan,
dan syarikat farmaseutikal atau kedai farmasi komuniti yang dibenarkan oleh
Bahagian Farmasi di Kementerian Kesihatan Malaysia. Latihan "housemanship" ini
adalah penting bagi proses pendaftaran ahli farmasi.
Melalui pendidkan asas di peringkat ijazah dan latihan pra-pendaftaran,
pelajar-pelajar akan memperolehi kefahaman berkaitan prinsip-prinsip serta
teknik-teknik saintifik dalam bidang farmaseutikal seperti kimia farmaseutik,
fisiologi, farmakologi, teknologi farmaseutik dan farmasi klinikal. Selain
bidang-bidang ini, pelajar-pelajar farmasi juga didedahkan kepada bidang
farmasi sosial yang melibatkan statistik, kemahiran komunikasi, farmakoekonomi,
farmakoepidemiologi, farmakoinformatik, dan perundangan, etika dan polisi
farmasi. Di samping itu, pelajar-pelajar digalakkan mengambil kursus-kursus
berkaitan dengan pengurusan dan pemasaran. Pengetahuan dan kepakaran yang
didapati di peringkat asas merangkumi aspek-aspek yang berkaitan dengan
mekanisme tindakan, penyediaan, distribusi, dan penggunaan ubat-ubatan.
Pengetahuan dan kepakaran yang ahli farmasi boleh dipertingkatkan melalui
program-program pendidikan berterusan dan melalui program-program sarjana atau
kedoktoran.
Skop Farmasi dan Bidang Tugas Ahli Farmasi
Tanggungjawab yang dipikul oleh ahli farmasi menjadi semakin penting dengan
pembangunan ubat-ubat baru hasil penyelidikan oleh para saintis. Tanggungjawab
ini khusus berkaitan dengan penggunaan drug secara rasional dan perlindungan
masyarakat daripada kemudaratan ubat-ubatan semasa menggunakannya.
Seorang ahli farmasi boleh bekerja sama ada di hospital, kedai farmasi komuniti, industri
farmaseutikal, unit penguatkuasaan farmasi, Biro Kawalan
Farmaseutikal Kebangsaan, Universiti atau Bahagian Farmasi di Kementerian
Kesihatan Malaysia (sila rujuk Jadual 1). Matlamat utama ahli farmasi di dalam
semua organisasi ini ialah memastikan terapi drug yang optimum dan rasional
melalui penglibatan mereka di dalam proses penyediaan, distribusi dan
pengawalan ubat-ubatan dan produk farmaseutikal yang lain serta membekalkan
maklumat kepada mereka yang mempreskripsi (contoh: doktor dan pembantu perubatan) dan menggunakan
(contoh: pesakit) produk farmaseutikal.
- Farmasi Hospital
Terdapat lebih kurang 300-350 ahli farmasi yang bertugas di hospital-hospital
seluruh negara. Farmasi hospital bertanggungjawab membekalkan dan mengurus
semua aspek yang berkaitan dengan penggunaan ubat bagi pesakit dalam wad dan
juga pesakit luar (ambulatori). Ini termasuklah perkhidmatan farmasi klinikal
seperti pemonitoran ubat-ubatan terapeutik, penyediaan nutrisi parenteral,
kaunseling pesakit dan lain-lain. Misi Jabatan Perkhidmatan Farmasi ialah untuk
memastikan seluruh masyarakat memperolehi produk farmaseutikal dan produk
pemelihara kesihatan yang berkualiti, selamat dan berkesan termasuk nasihat
mengenai penggunaannya secara rasional. Pemberian terapi drug secara optimum
kepada semua pesakit dalam dan luar akan memastikan penjagaan kesihatan
mereka adalah berkualiti tinggi dan berkesan kos.
Perkhidmatan farmasi yang asas yang dipraktikkan sebelum ini melibatkan
perkhidmatan seperti farmasi bekalan wad, farmasi pesakit luar, perolehan dan
iventori. Praktis farmasi terutamanya di hospital-hospital kerajaan, telah
dipertingkatkan dengan pemberian perkhidmatan farmasi klinikal untuk
memperbaiki terapi ubat dan pengurusan semua aspek yang bersangkutan dengan
terapi ubat terhadap pesakit. Justeru itu, ahli farmasi harus membuat
pengkhususan dalam bidang-bidang farmasi klinikal tertentu seperti yang
tercatat dalam Jadual 1. Praktis farmasi di hospital di masa hadapan
akan terus berkembang dan adalah dijangkakan ramai ahli farmasi akan memegang
peranan sebagai ahli farmasi klinikal atau menghabiskan sebahagian daripada
masa mereka membekalkan perkhidmatan penjagaan kesihatan pesakit secara langsung. Penyediaan dan distribusi ubat pula akan dikendalikan oleh mesin
berkomputer dan kerja-kerja teknikal akan dilakukan oleh pembantu farmasi.
- Farmasi Komuniti
Selain klinik, farmasi komuniti merupakan tempat yang paling mudah dikunjungi
orang ramai. Ahli farmasi komuniti membekal ubat-ubatan berpreskripsi dan tanpa
preskripsi kepada pesakit atau pelanggan. Aktiviti professional ahli farmasi
komuniti juga melibatkan kaunseling kepada pesakit semasa mendispenkan ubat-
ubatan berpreskripsi dan tanpa preskripsi. Praktis sistem perubatan di
kebanyakan negara adalah berlainan dengan Malaysia. Di negara-negara seperti
Amerika Syarikat, Jerman, Indonesia dan India, proses mempreskripsi ubat dan
pendispensan ubat adalah berasingan. Pesakit akan berjumpa doktor di klinik
untuk mendapatkan diagnosis, nasihat serta preskripsi ubat, dan kemudian
berjumpa ahli farmasi komuniti untuk mendapatkan ubat yang berkenaan. Di
Malaysia proses pengdiagnosan penyakit, mempreskripsi dan pendispensan ubat
dilakukan oleh doktor di klinik-klinik. Dalam hal ini, ahli farmasi komuniti
hanya menumpukan aktiviti perniagaan mereka kepada penjualan ubat-ubatan tanpa
preskripsi. Dalam pada itu, mereka juga menjual ubat-ubatan tradisional dan
alternatif, bahan-bahan kosmetik, bahan-bahan penjagaan bayi dan peralatan
perubatan (contoh: kerusi roda, termometer).
Aktiviti-aktiviti profesional ahli farmasi komuniti di Malaysia adalah terhad
dan berkurangan jika dibandingkan dengan praktis di negara-negara maju. Di
negara-negara membangun, aktiviti utama ahli farmasi komuniti adalah:
- memproses preskripsi
- perkhidmatan farmasi klinikal termasuk kaunseling
- pemonitoran pengunaan ubat
- penyediaan dan memformulasi ubat-ubatan (contoh: sediaan salap, krim)
- mempromosi kesihatan
- perkhidmatan lawatan farmasi (contoh: kaunseling) ke tempat tinggal
(contoh: institusi wargatua)
- praktis pertanian dan veterinar
- Industri Farmaseutikal
Industri farmaseutikal di Malaysia adalah terdiri daripada syarikat-syarikat
tempatan dan syarikat-syarikat multinasional. Industri farmaseutikal merupakan
salah satu industri yang paling banyak menghadapi persaingan perniagaan.
Kemampuan untuk bersaing banyak bergantung kepada pembangunan produk-produk
baru. Di dalam proses pembangunan produk-produk farmaseutikal, ahli farmasi
dengan pengetahuan dan kemahirannya boleh memainkan peranan yang sangat
penting. Aktiviti-aktiviti utama ahli farmasi di industri farmaseutikal adalah
seperti berikut:
- penyelidikan dan pembangunan
- pengilangan dan jaminan mutu
- pendaftaran ubat dan permohonan
- kajian klinikal dan pengawasan ubat selepas pasaran
- penjualan dan pemasaran
- pengurusan dan pentadbiran
- Akademia
Ahli farmasi yang berkecimpung dalam bidang akademik akan melibatkan diri dalam
aktiviti-aktiviti pengajaran, penyelidikan, perundingan dan penerbitan. Program
farmasi di peringkat ijazah, lepasan ijazah serta pendidikan berterusan
memerlukan pensyarah-pensyarah yang mempunyai kepakaran dalam bidang-bidang
farmaseutikal dan sentiasa memastikan matlamat profesional dan vokasional
pendidikan farmasi tidak diabaikan. Mereka juga harus tahu kepentingan
interaksi antara pendidikan dan penyelidikan dengan perkhidmatan farmasi.
Ahli-ahli farmasi boleh menjadi pensyarah dalam bidang-bidang seperti kimia
farmaseutik, fisiologi, farmakologi, teknologi farmaseutik, farmasi klinikal
dan farmasi sosial. Pensyarah-pensyarah dalam disiplin selain farmasi klinikal
tidak terlibat secara langsung dengan pesakit. Sebaliknya, bidang sains asas
(contoh: kimia farmseutik, fisiologi, farmakologi, teknologi farmaseutik) hanya
mementingkan penyelidikan dalam makmal yang banyak bergantung kepada alat-alat
atau mesin-mesin yang canggih, kaedah analitis dan model haiwan. Pensyarah-
pensyarah farmasi klinikal mempunyai peranan yang penting terhadap penjagaan
pesakit dan perkhidmatan farmasi klinikal. Pensyarah-pensyarah farmasi sosial
pula menumpukan pengajaran serta penyelidikan dalam hal-hal yang berkaitan
dengan sains tingkahlaku, ekonomi, epidemilogi, polisi, pengurusan dan
pemasaran. Penyelidikan farmasi sosial selalu menggunakan kaedah kajian bukan
eksperimental dan penganalisisan statistik untuk menyelesaikan masalah yang
kompleks.
- Lain-lain
Kementerian Kesihatan Malaysia mempunyai satu jabatan yang bertanggungjawab
terhadap perkara-perkara yang bersangkutan dengan farmasi. Pengarah
Perkhidmatan Farmasi Malaysia akan mengetuai jabatan ini. Ahli-ahli farmasi
yang bertugas di bahagian farmasi ini akan berperanan dalam menjaga soal-soal
keprofesionalan farmasi (contoh: pendaftaran ahli farmasi, tenaga manusia,
latihan), melibatkan diri dalam membuat perundangan dan polisi ubat-ubatan dan
kesihatan. Mereka berkerjasama dengan ahli akademia serta persatuan farmasi
dalam hal-hal yang berkaitan dengan kurikulum program farmasi di universiti.
Mereka juga menjalankan program pendidikan berterusan bagi ahli-ahli farmasi.
Ahli-ahli farmasi di Biro Kawalan Farmaseutikal Kebangsaan mempunyai beberapa
bidang tugas yang berkaitan dengan produk farmaseutikal. Mereka menentukan
keselamatan, keberkesanan dan mutu ubat-ubat termasuk keselamatan dan mutu ubat
-ubat tradisional. Di antara aktiviti yang mereka jalankan ialah:
- menilai dan mendaftar ubat-ubat (racun, bukan racun, entiti kimia baru,
tradisional) dan kosmetik sebelum dibenarkan untuk pasaran
- surveilans
- farmakovigilans
- pelesanan (pengilang, pengimport dan pemborong ubat)
- memonitor serta merekod kesan mudarat ubat-ubatan lepas pasaran
- memeriksa kilang-kilang farmaseutikal (Amalan Pengilangan Baik dan
komplians)
- perkhidmatan maklumat ubat dan penerbitan
- analisis ubat
Unit Penguatkuasaan Farmasi adalah satu badan yang sangat penting. Unit ini
terdapat di setiap negeri. Di antara aktiviti-aktiviti Unit Penguatkuasaan
Farmasi adalah:
- membuat pemeriksaan mengejut ke atas mana-mana premis yang mempunyai
lesen racun
- mengambil bahagian di dalam serbuan ke atas premis-premis yang menjual
racun secara haram
- memeriksa dan menapis aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan
pengimportan ubat-ubat/bahan kimia/kosmetik dan bahan-bahan herba
- melakukan pemeriksaan ke atas klinik-klinik dan hospital swasta agar
mematuhi kehendak undang-undang
- membuat pemeriksaan ke atas premis yang memohon lesen borong/import
- memeriksa perkara-perkara yang berkaitan denga pengimportan, penjualan
dan;
- bertindak sebagai pegawai pendakwa di mahkamah
Perkembangan industri penhagaan kesihatan dan perubahan dari segi sosio-
ekonomi, teknologi dan politik negara yang mempengaruhi sektor kesihatan
menjadikan organisasi farmasi yang profesional amat penting. Sebuah persatuan
farmasi yang dinamik dan progresif akan memberi kesan yang positif kepada ahli-
ahlinya dan profesion farmasi secara keseluruhan. Di Malaysia, terdapat hanya
satu persatuan yang mewakili semua ahli-ahli farmasi yang dinamakan sebagai
Persatuan Farmasi Malaysia. Ia juga mempunyai cawangannya di setiap negeri. Di
antara tugas-tugas yang dijalankan oleh ahli-ahli farmasi yang jawatan dalam
persatuan tersebut ialah pentadbiran dan pengurusan, penerbitan dan
dokumentasi, penglibatan dalam proses penggubalan undang-undang yang berkaitan
dengan farmasi, perhubungan awam dan program pendidikan berterusan bagi ahli-
ahli farmasi.
Amalan Profesional Farmasi
Amalan profesional ahli farmasi berkait rapat dengan misi profesion iaitu
memastikan pesakit menggunakan ubat dengan selamat dan berkesan. Pengetahuan
khas dan kemahiran yang sesuai serta sikap yang positif terhadap kebajikan
pesakit adalah begitu penting. Perkara-perkara ini diperlukan untuk
menyelesaikan masalah kesihatan yang dihadapi oleh setiap pesakit dan penting
bagi mengetahui keperluan serta perasaan pesakit. Oleh itu, amalan profesional
farmasi harus bersandar kepada 3 faktor berikut:
- Sains Farmaseutikal Asas
- Farmasi Klinikal
- Farmasi Sosial
Oleh itu, amalan profesional farmasi memerlukan kognitif yang diperolehi
melalui pendidikan dan pengalaman. Di antara amalan-amalan tersebut ialah:
- penglibatan dalam membuat keputusan berkaitan proses penggunaan ubat
- pemilihan produk ubat yang sesuai
- pemilihan sumber pembelian dan pembekalan ubat-ubatan
- penentuan skedul dos dan dosej ubat
- penyediaan ubat untuk pesakit
- membekal ubat kepada pesakit
- membekal maklumat ubat kepada pesakit
- memastikan komplians pesakit adalah maksimum
- mengesan kesan mudarat ubat dan interaksi ubat
- memastikan keputusan akhir terapi adalah yang terbaik
Kesemua fungsi di atas adalah berorientasikan pesakit dan amalan-amalan
tersebut memastikan ubat digunakan secara rasional. Amalan-amalan ini adalah
penting bagi masa depan profesion farmasi.
Peraturan dan Perundangan
Ahli farmasi dalam tugas hariannya adalah terikat dengan peraturan dan
perundangan yang tertentu. Pertama, peraturan dan perundangan yang berkaitan
dengan mereka sebagai seorang ahli farmasi dan golongan profesional. Kedua,
peraturan dan perundangan yang berkaitan dengan ubat-ubatan (contoh: narkotik),
ketiga, peraturan yang bersangkutan dengan kos etika (contoh: persoalan prinsip
moral) profesion farmasi yang mengawal aktiviti-aktiviti harian ahli farmasi.
Kesimpulan
Pemberian penjagaan kesihatan adalah satu proses multiprofesional. Kerajaan dan
masyarakat sentian menitikberatkan soal-soal yang berkaitan dengan ubat-ubatan.
Ahli farmasi dengan pengetahuan dan kemahiran yang tinggi dalam bidang mereka
seharusnya berganding bahu dengan ahli profesional kesihatan yang lain dalam
memastikan penjagaan kesihatan terhadap pesakit (contoh: terapi ubat) adalah
optimum dan terbaik. Mereka harus memastikan bahawa pesakit-pesakit yang
menerima rawatan memperolehi perkhidmatan yang berkonsepkan "Total
Pharmaceutical Care".
|
JADUAL 1: SKOP DAN BIDANG FARMASI
|
| Bil. |
Skop dan Bidang Farmasi
|
| 1 |
Farmasi Hospital (Hospital Pharmacy)
- Hospital Kerajaan, Hospital Swasta, Hospital Universiti
- Pentadbiran Farmasi
- Farmasi Pesakit Luar dan Kaunseling
- Perkhidmatan Maklumat Ubat
- Farmasi Bekalan Wad atau Farmasi Satelit
- Perkhidmatan Farmakokinetik
- Farmasi Onkologi
- Perkhidmatan Nutrisi Parenteral Total
- Perkhidmatan Sediaan Admikstur Intravena
- Farmasi Perolehan dan Iventori
- Farmasi Nuklear atau Radiofarmasi
|
|
2 |
Farmasi Komuniti Tersendiri (Idependent Pharmacy)
-
- Farmasi Jualan Secara Runcit
- Farmasi Jualan Secara Borong
- Farmasi Francais
|
|
3 |
Farmasi Komuniti Rantaian (Chain Pharmacy)
-
- Staf
- Pengurusan Kedai Farmasi
- Pengurusan Daerah/Kawasan
- Pengurusan Korporat
|
|
4 |
Industri farmaseutikal
- Tempatan dan Multinasional
- Penyelidikan dan Pembangunan
- Pengilangan dan Jaminan Mutu
- Jualan dan Pemasaran
- Maklumat Ubat
- Kajian Klinikal dan Pengawasan Lepas Pasaran
- Permohonan Paten dan Pendaftaran Ubat
- Pengurusan dan Pentadbiran
|
|
5 |
Akademia
- Institut Pengajian Awam dan Swasta
- Pengajaran
- Penyelidikan
- Perundingan
- Pendidikan Berterusan
- Penerbitan
|
|
6 |
Lain-lain
-
- Persatuan Farmasi
- Kementerian Kesihatan Malaysia
- Kementerian Pertahanan Malaysia
- Biro Kawalan Farmaseutikal Kebangsaan
- Unit Penguatkuasa Farmasi
|
|