Perkembangan Sejarah Awal farmasi
Pengaruh Arab dan Islam

Oleh Prof. Dzulkifli Abdul Razak
Pusat Racun Negara, USM

FARMASI Arab ataupun lebih khusus lagi dikenali sebagai saydanah merupakan satu bentuk profesion yang agak asing daripada perubatan sejak awal abad ke-19 lagi. Ini adalah kali pertama dalam sejarah, farmasi diamalkan secara berasingan daripada profesion ataupun pengkhususan kesihatan yang lain. Aspek dan pengaruh Arab ini selalunya tidak dinyatakan dalam kebanyakan penulisan barat tentang sejarah perubatan amnya dan sejarah farmasi khasnya. Sedangkan pada hakikatnya pencapaian sainf dan budaya dunia Arab begitu banyak mempengaruhi profesion serta sumbangan pustaka farmasi di barat yang wujud sehingga hari ini.

Dalam abad yang ke-19 kedai-kedai farmasi mula dibangunkan dan bilangannya mula meningkat di bandar-bandar seperti Baghdad serta persekitarannya. Kebanyakan kedai ini adalah kepunyaan perseorangan dan ramai pula antara mereka mempunyai ilmu tentang farmasi baik dari segi membancuh, menyimpan ataupun mengawet ubat- ubatan. Hospital-hospital di rantau ini bukan sahaja mempunyai farmasinya sendiri, tetapi juga makmal pengilangan di mana ubat-ubatan jenis sirup, salap dan bentuk sediaan farmasi lain dapat dihasilkan secara agak besar-besaran. Tempat-tempat ini juga sering dilawati oleh pegawai-pegawai yang dilantik oleh kerajaan (Muhtasib) ataupun pembantunya untuk menentukan bahawa ubat-ubatan yang dikilangkan adalah suci, ceria dam tepat dari segi kandungan dan ukurannya. Ini bertujuan untuk memastikan hasilan tersebut dapat dicegah daripada sebarang penipuan dan orang ramai dilindungi apabila menggunakannya. Ini adalah kerana terdapatnya pasaran yang besar untuk ubat-ubatan, kematangan profesion dan pembangunan tanggungjawab intelektual ahli-ahli farmasi yang berkelayakan dan berorientasikan masyarakat.

Perkembangan yang berlaku pada ketika itu bolehlah dianggap sebagai satu fasa sejarah Islam yang paling kaya dengan perkembangan intelektual. Keadaan ini berlarutan hingga empat abad lamanya. Garis panduan tentang meteria mediak serta arahan untuk farmasi bekerja dan mengurus kedainya bercambah dengan banyak sekali. Ini dapat dilihat daripada beberapa cendiakiawan yang berperanan membentuk kedudukan farmasi ketika itu.

 

PERSONALITI ARAB DAN ISLAM YANG UTAMA DALAM BIDANG FARMASI
YUHANNA B. MASAWAYAH (777-857)
  • Penulisan termasyhur:al-Mushajjar al-Kabir menyenaraikan tentang penyakit serta rawatannya, ubatannya serta cara pemakannnya.
  • Mengesyorkan penggunaan tumbuhan untuk meningkatkan pertahanan badan.
  • Pada zamannya lahir istilah seperti al-Saydanani dan al-Saydalani yang berkaitan dengan sandalwood.
ABU HASAN ALI B. SAHL RABBAN AL-TABARI (808)
  • Penulisan termasyhur: Syurga Hikmah- membincangkan tentang tabii manusia, kosmologi, embriologi dan psikoterapi, kebersihan, pemakanan dan penyakit serta rawatannya.
  • Beliau mengsyorkan terapeutik setiap ubat digunakan mengikut kes-kes tertentu.
SABUR B. SAHL
  • Penulisan termasyhur: al-Agradadhin mengandungi resepi perubatan tentang kaedah dan teknik membancuh ubat, tindakan farmakologi dan dos-dos untuk setiap satu serta cara penggunaannya.
  • Menulis formula pertam dalam sejarah Islam yang terdapat dalam al-Agradadhin di mana hampir 200 tahun formula ini dijadikan panduan oleh ahli-ahli farmasi di seluruh dunia Islam.
ABU ZAYD HUNAYN B. ISHAQ AL-IBADI
  • Penulisan termasyhur: Penulisan tentang aspek kebersihan mulut, pembancuhan dan penggunaan bahan pergigian; Ten Treatises tentang bidang oftalmologi di mana isinya menyorot karya-karya Galen mengikut pandangan beliau; al-Masi'il isinya memasukkan teori yang menerangkan prinsip-prinsip perubatan dan farmasi serta aspek amalannya.

PERSONALITI ARAB DAN ISLAM YANG UTAMA

Yuhanna b. Masawayh (777 - 857)

Beliau adalah anak kepada seorang ahli farmasi (dikenali sebgai apoteker). Beliau terkenal melalui penulisannya dalam bahasa Arab tentang meteria medica dan rawatan. Salah satu daripadanya berjudul al-Mushajjar al-Kabir yang menyenaraikan tentang penyakit serta rawatan ubat-ubatannya dan juga bentuk pemakanan yang berkaitan. Malah beliau ada menyatakan bahawa para doktor yang boleh menyembuhkan penyakit dengan hanya melalui pemakanan tanpa penggunaan ubat adalah yang paling berjaya dan beruntung. Masawayh pernah mengesyorkan penggunaan beberapa tumbuhan terkenal untuk meningkatkan sistem pertahanan semula jdi tubuh terhadap penyakit. Beliau menyeru para doktor menggunakan hanya satu ubat untuk satu penyakit berdasar prinsip empirikan dan analogi.

Bahan yang banyak digunakan dalam terapi perubatan Arab adalah kamfor. Mengikut Masawayh bahan ini berasal dari China dan dibawa ke Tanah Arab melalui perdagangan dengan India dan Parsi. Menurut beliau, sandalwood iaitu bahan yang digunakan untuk menghasilkan minyak wangi, sama ada jenis kuning, putih atau merah juga datang dari India. Bahan-bahan seperti ini digunakan dalam sediaan farmasi Islam pada abad ke-8 (atau lebih awal lagi) dan melaluinya istilah farmasi terbentuk dalam Islam. Misalnya, kata-kata seperti al-Saydanani ataupun al-Saydalani yang bererti dia yang menjual atau yang berkaitan dengan saldalwood, perkataan saydanah pula bermaksud farmasi. Satu lagi penulisannya dalah berkaitan dengan bahan aromatik termasuk sifat-sifat fizikal dan farmakologinya serta cara-cara untuk menentukan keceriaanya.

Pada masa itu, Masawayh dikenali sebagai doktor kepada beberapa khalifah, di ibukota Abbasiah selama hampir empat dekad. Beliau juga merupakan doktor Islam yang pertama menubuh dan mengendalikan maktab perubatan swasta Arab.

Abu Hasan Ali bin Sahl Rabban al-Tabari

Beliau dilahirkan pada 808 dan adalah sahabat kepada Masawayh. Pada usia 30 tahun beliau diarah ke kota Samarra oleh Khalifah Mu'tasim (833-842) untuk berkhidmat sebagai doktor. Tabari menulis banyak buku perubatan, yang termasyhur ialah Syurga Hikmah yang membincangkan tentang tabii manusia, kosmologi, embriologi, psikoterapi, kebersihan, pemakanan dan penyakit (akut dan kronik) serta rawatannya. Beliau juga memuatkan kisah-kisah perubatan abstrak serta petikan dari bahan sumber India. Bukunya juga mengandungi beberapa bab tentang meteria medika, bijirin pemakanan, kegunaan terapeutik haiwan serta organ-organ burung dan juga ubat-ubatan campuran termasuk cara membuatnya.

Tabari juga menyarankan bahawa nilai terapeutik setiap ubat digunakan mengikut kes-kes tertentu dan doktor mesti pandai membuat pilihan yang terbaik. Beliau pernah menghuraikan dengan terperinci penggunaan sesuatu bahan itu sebagai bahan terapeutik, termasuk cara-cara menyimpannya sambil memperingatkan tentang bahaya yang ada pada bahan tersebut. Contohnya amaran terhadap satu mithqal (lebih kurang 4 gram) candu boleh menyebabkan tidur ataupun maut.

Sabur b. Sahl

Beliau merupakan orang pertama menulis formula pertama dalam sejarah Islam. formula ini dikenali sebagai Agradadhin. Sabur meninggal dunia pada 869. Dalam penulisannya, beliau memberikan resipi perubatan tentang kaedah dan teknik membancuh ubat-ubatan, tindakan farmakologinya, dos-dos untuk setiap satu serta cara pengunaannya. Formula-formula ubat ini disenaraikan mengikut jenis sediaan sam ada tablet, serbuk, salap, sirup dan sebagainya. Banyak daripada resipi ini menampakkan persamaan dengan dokumen daripada tamadun Asia Barat dan Yunani-Roman.

Apa yang unik tentang formula ini ialah ia seolah-olah ditulis sebagai panduan untuk ahli-ahli farmasi sama ada kedai farmasi persendirian atau hospital. Oleh itu, hampir selama 200 tahun formula ini digunakan sebagai panduan ahli farmasi di seluruh dunia Islam. Penulisan Sabur ini merupakan satu langkah penting dalam sejarah farmakopia dan banyak disalin serta ditiru dalam buku perubatan Arab selanjutnya.

Zayd Hunayn b. Ishaq al-Ibadi (809-873)

Sumbangan beliau tidak kurang pentingnya kepada amalan farmasi dan perubatan Arab. Beliau adalah anak kepada seorang apoteker. Hunayn dihantar ke Baghdad, yang pada masa itu merupakan pusat pendidikan Islam terpenting untuk mengikut pendidikan dalam kesenian perawatan. Beliau kemudian ke Syria, Mesir dan negara sekitarannya untuk mendalami lagi latihannya. Apabila beliau kembali ke Baghdad, beliau mahir tentanf asal-usul perubatan Yunani khususnya yang diterjemahkan dalam Bahasa Syria.

G L O S A R I
anatomibidang kajian tentang tubuh badan manusia atau haiwan, seperti otot-otot, tulang, saraf dan organ-organ lain di dalam badan.
apotekeristilah lama untuk darmasi. Di sesetengah negara, seperti Indonesia, perkataan ini masih digunakan dengan meluas.
farmasibidang kajian tentang setiap aspek ubat-ubatan
terapiperihal berkaitan dengan rawatan atau merawat.
farmakologibidang yang mengkhusus yang meneliti tentang tindakan ubat-ubat di dalam badan manusia mahupun haiwan. Bidang ini berkaitan rapat dengan farmasi.
formularisatu susunan rujukan rasmi yang menghuraikan tentang ubat-ubat dan ciri-ciri
farmakopiasatu bentuk formulari yang lebih terperinci dan berwibawa.
oftamologikajian tentang mata dan berkaitan dengannya.
preskripsisekeping kertas yang dicoretkan maklumat tentang ubat-ubat yang diperlukan pesakit. Ini selalunya ditulis oleh doktor untuk mendapatkan ubat daripada kedai farmasi.

Hunayn memainkan peranan yang penting dalam menterjemah atau menentukan ketepatan terjemahan yang dilakukan (termasuk penulis Hippocrate, Gelen dan penulis Yunani lain) di samping menulis buku-bukunya sendiri. Sumbangannya menjadi lebih ketara bila pada tahun 830, Khalifah al-Ma'mun menubuhkan satu institusi saintifik (bait al-Hikmah) untuk tujuan penyelidikan dan menterjemahkan bahan-bahan Yunani ke dalam bahasa Arab. Hunayn menjadi penyelia pusat kajian ini dan dalam masa 40 tahun, beliau menterjemah dan mewujudkan istilah serta rangkaian kata yang digunakan untuk tujuan amalan perubatan dan pengajaran.

Antara buku dan penulisan Hunayn ialah tentang aspek kebersihan mulut, pembancuhan dan penggunaan bahan pergigian. Beliau dikatakan penulis Arab pertama berbuat demikian. Beliau juga memberi amaran bahawa makanan dan minuman dalam mulut boleh merosakkan gigi serta memberi beberapa contoh tertentu. Hunayn juga mengesyorkan pembersihan gigi, khususnya selepas makan seperti yang disyorkan dalam perubatan moden. Penulisan Hunayn ada merujuk kepada karya Masawayh dan Sabur seperti mana yang dinyatakan sebelum ini. Penulisannya yang lain termasuklah tentang nilai gizi dan pemakanan, tentang mandi, terapi gizi secara umumnya dan juga tentang bunga mawar serta ubat-ubatan tertentu.

Satu lagi penulisan Hunayn yang penting adalah dalam bidang oftalmologi, sebanyak sepuluh siri yang dikenali sebagai Ten Treatises, yang dilengkapkan dalam tahun 860an. Penulisan ini menyorot kepada karya-karya Galen mengikut pandangan beliau. Dengan cara ini penulisan perubatan diperkayakan misalnya aspek-aspek anatomi mata, mekasnisma penglihatan, penyakit mata, tanda-tanda serta rawatannya dibincangkan. Beliau juga memperkayakan lagi preskripsi-preskripsi yang disyorkan oleh banyak penulis Yunani. Lebih daripada 44 jenis preskripsi Hunayn telah menghuraikan tentang kaedah penyediaan, tekniknya, bahan-bahan yang digunakan, dos-dos ramuannya dalam sesuatu bancuhan serta terapinya.

Hunayn juga dikenali dengan karyanya al-Mas'il yang banyak mempengaruhi perkembangan pendidikan dan amalan perubatan dan farmasi, bukan sahaja dalam Islam tetapi juga di Barat. Beliau memisahkan aspek teori yang menerangkan prinsip-prinsip perubatan dan farmasi dengan aspek amalannya. Pendekatan ini telah digunakan oleh ramai penulis lain, Dalam bukunya ini, Hunayn menyatakan bahawa kesihatan dapat dikekalkan dengan mengimbangi beberapa prinsip utama iaitu:

  1. Udara yang dihirup dan yang mengelilingi tubuh badan.
  2. Apa yang dimakan dan diminum.
  3. Kerja dan rehat serta tidur dan berjaga.
  4. Perkumuhan atau pembuangan dan penyimpanan atau pengekalan.
  5. Tindakbalas mental (psikik) seperti gembira, duka, takut dan kecewa.

Jika prinsip ini diselenggara dan dinikmati dengan sikap yang betul mengikut tatatertib dan dalam kuantiti serta kualiti yang sesuai akan boleh memelihara kesihatan mahupun merawat dan menyembuh penyakit. Tetapi jika sebaliknya boleh mendatangkan penyakit. Oleh itu untuk merawat penyakit beliau mengesyorkan bahan-bahan yang boleh bertindak berlainan dengan tanda-tanda penyakit tersebut. Misalnya,

  • Untuk rawatan umum: menilai dan menentukan bagaimana membawa semula kepada keadaan normal yang melibatkan perimbangan semua prinsip di dalam badan pesakit.
  • Untuk rawatan khusus:mengaruh perubahan atau mengurus penyembuhan penyakit melalui fungsi-fungsi oragan yang serupa atau apa-apa yang menyebabkan pemisahan mana-mana bahagian tubuh seperti dalam keadaan patah tulang, dengan menggunakan ubat-ubatan yang berlawanan. Contohnya, menggunakan ubat-ubatan yang bersifat sejuk bagi mengubati deman dan ubat yang berciri panas bagi mengubati penyakit yang menyebabkan badan terasa sejuk.

Berasaskan ini, Hunayn mencadangkan rawatan dan terapeutik diberikan dengan cara membetulkan keadaan yang tersilap, melalui penggunaan ubat-ubatan secara luaran atau dalaman dan pembedahan. Secara dalam boleh dikalukan dengan memberikan ubat-ubat sama ada melalui mulut, mata, telinga, hidung, dubur atau saluran kencing. Secara luaran pula dengan menggunakan minyak, salap, urut, tepung dan balutan berubat. Malah beliau juga memberikan senarai jenis ubat, kaedah menentukan rawatan perubatan dan tujuan mendapatkan rawatan tersebut. Di sini beliau menghalusi lagi doktrin Yunani dan mengesyorkan beberapa prinsip lain.