Perubatan Tradisional
Antara manfaat dan risiko

Razak Hj.Lajis
Pusat Racun Negara, USM.

Masyarakat pastinya mengetahui bahawa tumbuh-tumbuhan telah digunakan untuk tujuan terapeutik sejak zaman dahulu lagi. Pengetahuan dan pengalaman mengenainya telah diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi yang lain, sama ada melalui tulisan atau pun lisan. Sebagai contoh, Ebers Papyrus telah menemui preskripsi yang telah digunakan oleh bangsa Mesir yang dipercayai ditulis lebih kurang 1500 tahun sebelum Masehi.

Pada dasarnya tumbuh-tumbuhan dan beberapa keluaran alam semulajadi yang lain turut menjadi sumber utama dalam sistem perubatan tradisional ini. Selain daripada itu, tumbuh-tumbuhan yang terdiri daripada pelbagai jenis genera dan spesies ini juga menawarkan pelbagai bentuk bahan asas untuk kegunaan manusia seperti sumber makanan, tempat perlindungan dan pakaian. Memang tidak dapat disangkal lagi bahawa perhubungan antara manusia dan tumbuh-tumbuhan memang banyak memberi manfaat kepada manusia sejagat sekiranya digunakan dengan cara yang betul.

Keinginan generasi terdahulu untuk mengetahui dan mendalami manfaat dan khasiat dari tumbuh-tumbuhan semakin bertambah bersesuaian dengan peredaran masa. Ada juga diantaranya ditemui dengan cara tidak sengaja. Pengalaman mengajar mereka apakah jenis tumbuh-tumbuhan yang boleh dan tidak boleh dimakan. Perhubungan antara rupa-bentuk, warna atau bau sesuatu tumbuhan itu sering dikaitkan dengan jenis penyakit yang ingin diubati. Ia merupakan salah-satu cara yang penting dalam menentukan tumbuh-tumbuhan yang boleh digunakan untuk tujuan perubatan. Walaupun tidak semuanya berhasil, ada juga keadaan di mana pemerhatian sebegini berjaya memberikan hasil yang memuaskan. Kekurangan dari segi kemudahan dan pengetahuan sains generasi terdahulu membuatkan mereka lebih menumpukan kepada deria rasa, bau dan lihat untuk mengembangkan sistem perubatan tradisional ini. Oleh itu perkembangan sistem ini bergantung terutamanya kepada pemerhatian sistematik terhadap perubahan fizikal seseorang termasuk perubahan suhu, bau, denyutan nadi, bahan kumuhan dan rembesan serta tekanan perasaan. Semenjak itu, pengetahuan dan komitmen manusia terhadap penyakit dan ilmu perubatan semakin bertambah. Banyak antara pengalaman dan pengetahuan ini direkodkan sehingga menjadi bahan rujukan generasi yang seterusnya. Pencarian ini berterusan lalu menghasilkan terjemahan berbagai bentuk bahan rujukan dari Greek dan Sankrit ke dalam bahasa Arab dan sebagainya. Usaha ini terus berkembang dan mendapat perhatian dari berbagai peringkat sehingga terciptanya berbagai jenis ubat dan kaedah baru di dalam bidang perubatan.

Kegunaan herba memang telah lama menjadi amalan. Setiap bangsa yang terdiri daripada berbagai kelompok kaum mewarisi amalan yang tersendiri. Ini turut melibatkan pelbagai jenis amalan perubatan termasuk penggunaan jampi mentera, kekuatan rohaniah, pergantungan kepada mahkluk halus dan sebagainya. Ketika mengamalkan cara perubatan yang sedemikian, bahan-bahan herba seperti sirih-pinang, kemenyan, kayu gaharu dan sebagainya sering menjadi bahan utama perubatan.

Setiap kumpulan etnik atau kaum, memang banyak menggunakan tumbuh-tumbuhan herba sebagai ubat-ubatan. Pemilihan tumbuhan herba di dalam sesuatu cara pengubatan itu sering tidak bergantung kepada kandungan bahan aktif yang terdapat di dalam tumbuhan tersebut. Orang orang dahulu mungkin memperolehi pengetahuan berguna tentang khasiatnya ketika melihat kesan tumbuhan tersebut apabila dimakan oleh haiwan. Ini memberi panduan kepada mereka mengenai keupayaan tumbuhan tersebut untuk menyembuhkan sesuatu penyakit. Perkara ini sering menjadi bantahan terhadap penggunaan tumbuhan herba sebagai bahan ubat kerana ia didakwa tidak dapat memberi dos yang tepat apabila digunakan. Penggunaannya juga dikatakan tidak dapat memberikan kesan farmakologi seperti yang dikehendaki. Walau bagaimanapun, pengamal-pengamal perubatan tradisional yang menggunakan tumbuhan sebagai bahan ubat mempunyai alasan tersendiri apabila menggunakan tumbuhan tersebut. Ada di antara mereka berpendapat bahawa sebatian-sebatian yang dihasilkan oleh tumbuh-tumbuhan hampir menyerupai sebatian yang dihasilkan oleh tubuh manusia. Dengan itu tubuh manusia dapat bertindak balas terhadap sebatian tersebut dengan kesan yang minima. Para pengamal perubatan tradisional beranggapan bahawa ubat-ubatan moden kurang berkesan. Ini kerana badan manusia lambat menyesuaikan diri dengan bahan-bahan kimia di dalam ubat-ubatan tersebut.

FAKTA ATAU KEBETULAN?

Terdapat beberapa amalan dalam perubatan tradisional yang kelihatan tidak praktikal dan menimbulkan keraguan. Walau bagaimanapun beberapa kajian saintifik yang pernah dijalankan dapat menjelaskan mengapa perkara tersebut diamalkan oleh kebanyakan pengamal perubatan tradisional. Sebagai contoh, seorang pengamal perubatan tradisional mengatakan bahawa sesuatu tumbuhan yang ingin dijadikan ubat itu hendaklah diambil atau dipetik pada masa-masa yang tertentu supaya ianya lebih berkesan. Apakah rasional disebalik arahan itu? Hasil daripada kajian yang pernah dilakukan mendapati bahawa perubahan kandungan sesuatu bahan aktif di dalam tumbuhan boleh berlaku dengan cepat iaitu di antara 1 hingga 3 jam sahaja. Di dalam Papaver somniferum misalnya, kandungan alkaloidnya berkurangan dengan banyaknya di waktu siang hari. Pengamal perubatan tradisional mungkin mengetahui hal ini melalui pengalaman dan pengetahuan yang ditinggalkan sejak beberapa generasi yang lalu. Mereka juga memberi tumpuan yang khusus kepada perubahan musim kerana mempercayai bahawa bahan aktif sesuatu tumbuhan itu bukan sahaja berubah mengikut musim tetapi mengikut keadaan tanah dan iklim sekeliling. Umur dan kematangan tumbuh-tumbuhan tersebut juga turut diambil kira. Faktor-faktor ini boleh menentukan bukan sahaja jumlah kandungan bahan aktif tetapi juga kandungan relatif setiap bahan tersebut. Sebagai contoh, kandungan glikosida di dalam Datura lanata didapati mencapai tahap tertinggi pada tahun kedua pertumbuhannya. Kini faktor-faktor tersebut bukannya rahsia lagi. Bagi tujuan kormersial faktor-faktor seperti iklim, kesesuaian tanah, tahap kematangan dan masa amat mustahak bagi memastikan mutu dan nilai kandungan sesuatu bahan aktif itu terjamin.

Bahan-bahan aktif yang terdapat di dalam tumbuh-tumbuhan juga bergantung kepada bahagian digunakan. Dalam sesetengah keadaan, daun-daun muda dikatakan mempunyai kandungan bahan aktif yang lebih tinggi daripada daun tua. Misalnya, daun muda Carica papaya mengandungi banyak karpain, sejenis alkaloid dari kumpulan piridin. Transformasi bahan-bahan tersebut berlaku melalui proses biosintesis apabila tumbuhan ini meningkat tua. Ini akan mengurangkan jumlah kandungan beberapa bahan aktif tumbuhan berkenaan. Di dalam satu laporan saintifik yang lain, pokok Datura stramonium yang muda dilaporkan mengandungi kandungan hiosin-hiosamin yang tinggi iaitu pada nisbah 4:5. Kandungan ini didapati menurun kepada nisbah 3:10 di dalam pokok yang matang.

Terdapat juga beberapa amalan perubatan tradisional yang melibatkan sediaan herba menggunakan daun-daun Carica papaya yang telah tua. Rasionalnya, sediaan herba dengan menggunakan daun yang tua ini lebih berkesan bagi tujuan rawatan penyakit yang berkaitan. Kajian ada menunjukkan daun yang tua mengandungi jumlah kumpulan fenolik yang tinggi berbanding dengan daun yang muda. Kelebihan kandungan kumpulan ini mungkin menyebabkan sediaan tersebut menjadi lebih berkesan daripada sediaan daun yang muda. Beberapa contoh yang dinyatakan menunjukkan bahawa beberapa amalan dan praktis di dalam perubatan tradisional masih boleh dijelaskan oleh bukti-bukti saintifik. Banyak kajian yang dijalankan berjaya memberi pengesahan terhadap keberkesanan beberapa terapi sediaan-sediaan herba ini. Penemuan reserpin sebagai agen anti hipertensif dalam Rauwolfia vomitoria dan vinblastin serta vinkristin dari Cantharanthus roseous sebagai agen anti kanser adalah beberapa contoh yang baik.