Kumpulan Dadah Penindas
ALKOHOL

 

Dr. Abu Bakar Abdul Majeed

Dengan Kerjasama Pusat Racun Negara 

LARANGAN untuk manusia meminum arak atau alkohol kerana akibatnya yang amat buruk, telah diketahui umum sejak sekian lama dahulu. Malah, setiap agama di dunia ini turut melarang sikap tersebut di kalangan para penganutnya.

Baru-baru ini iaitu pada 1 Julai 1995, Menteri pengangkutan Malaysia, Datuk Seri Ling Liong Sik mengumumkan penguatkuasaan undang-undang yang melarang memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol di kawasan Lembah Kelang sebagai satu projek perintis. Mengikut undang-undang tersebut seseorang dilarang memandu atau cuba memandu kenderaan jika paras alkohol di dalam darahnya mencapai 80 mg/dl atau lebih. Satu kajian yang telah dijalankan dalam tahun 1991 menunjukkan hampir 20 peratus mangsa kematian akibat kemalangan jalan raya mempunyai paras alkohol di dalam darah melebihi 100 mg/dl.

Walau bagaimanapun, memang ada sedikit manfaat alkohol seperti kegunaannya sebagai agen pembunuh kuman atau disinfektan, antidot untuk keracunan metanol (yang mungkin mencemar tuak atau samsu haram), atau agen penyejuk bagi melegakan demam panas. Namun begitu, memang tidak dapat disangkal lagi bahawa keburukan daripada kesan meminum alkohol jauh mengatasi kebaikannya.

Istilah alkohol berasal daripada bahasa Arab al-kuhol, yang bermaksud 'sesuatu yang tersembunyi' atau 'antimoni yang dipecah-pecahkan sehingga halus' yang digunakan sebagai celak. Akhirnya istilah ini memberi maksud 'bauan yang harum'. Ahli kimia Arab dipercayai pertama sekali melakukan proses penyulingan bagi menyediakan alkohol, manakala proses pembuatan minuman beralkohol yang sangat kuat melalui penapaian buah anggur pertama sekali dilakukan secara besar-besaran di Eropah pada sekitar tahun Masehi 1200.

Ramuan utama minuman beralkohol ialah etanol. Etanol ialah sejenis bahan kimia yang berupaya menekan aktiviti otak, justeru mengubah kewibawaan akal fikiran. Penggunaan alkohol secara berterusan untuk jangka masa yang lama boleh menyebabkan kesan tolerans iaitu peminum terpaksa mengambil amaun yang semakin banyak bagi mendapatkan kesan yang serupa. Kesan lain ialah penagihan dari segi rohani dan jasmani.

Selepas diminum, alkohol mungkin diserap ke dalam darah melalui perut. Namun begitu, jalan utama kemasukan alkohol ke dalam darah ialah menerusi usus kecil. Alkohol erus dibawa ke jantung yang kemudiannya mengepam darah beralkohol tadi ke seleuruh tubuh. Seperti yang dinyatakan, kesa utama alkohol ialah di otak. Di sini, alkohol menyebabkan penindasan kawasan-kawasan yang biasanya mengawal maruah dan disiplin diri sehingga peminum mula merasa kurang sifat malu, fikiran bercelaru, dan pergerakannya pula agak tidak terkawal. Peminum juga kurang keupayaan dari segi belajar, membentuk idea spontan, menumpukan fikiran, dan membuat pertimbangan yang teliti.

 
Paras alkohol dalam darah (mg/dl) Kesan di otak
20
30
50
80


100
300
400
500
Pergaulan sosial meningkat
Euforia
Koordinasi otot berkurangan
Pengimbangan tubuh, pertuturan, penglihatan, dan pendengaran terganggu
Kehilangan koordinasi otot
Mengantuk, muntah
Pembiusan dalam
Penindasan pernafasan, maut
Perbandingan paras alkohol di dalam darah dengan kesannya terhadap otak

Semakin tinggi amaun alkohol yang diminum semakin kuat otak tertindas sehinggakan boleh menyebabkan tidak sedarkan diri dan seterusnya kematian.

Selain daripada kesan-kesan terhadap otak, alkohol juga bertindak dengan pelbagai sistem dan organ tubuh. Contohnya, kesan terhadap sistem peredaran tubuh menyebabkan darah lebih banyak dialirkan ke kulit. Ini menyebabkan kulit peminum menjadi kemerah-merahan dan perpeluhan meningkat. Pengepaman jantung juga bertambah pantas dan kuat seperti individu yang sedang melakukan senaman. Alkohol juga menyebabkab keringsaan perut (gastritis) yang akhirnya boleh membawa kepada ulser. Peminum alkohol didapati lebih cenderung membuang air kecil dengan kerap kerana etanol boleh merencat hormon penahan kencing.

Bahaya alkohol juga amat ketara terhadap peminum alkohol kronik. Pengambilan alkohol secara berpanjangan boleh mengakibatkan komplikasi fizikal, kejiwaan, dan sosial. Selain daripada ulser perut, alkohol juga dikesan menyebabkan sirosis hati di Hospital Kuala Lumpur di antara tahun 1982-1988. Peminum alkohol juga mungkin mengalami anemia, hipoglisemia (kekurangan gula di dalam darah, dan ketandusan vitamin). Otot-otot, rangka, dan jantung juga mengalami degenerasi dalam jangka masa panjang.

Kerosakan saraf boleh menyebabkan pelbagai jenis penyakit seperti sindrom Wernicke-Korsakoff dan kerosakan sel-sel otak, yang seterusnya membawa kepada komplikasi psikiatri. Peminum boleh mengalami halusinasi pendengaran, amnesia, paranoia, depresi, dan kecenderungan membunuh diri. Peminum alkohol kronik yang sedang hamil boleh menyebabkan kandungannya mempunyai ciri-ciri kecacatan seperti kekurangan berat badan, saiz kepala yang terlalu kecil berbanding tubuh, kurang penyelarasan otot, keadaan muka yang rata, dan kelemahan sendi-sendi.

Justeru itu, jelas keburukan alkohol jauh mengatasi kebaikannya. Hanya manusia yang masih terus membebal!