DADAH KUMPULAN KANABIS

Prof Madya Dzulkifli Abdul Razak

GANJA ialah sejenis tumbuhan yang didapati tumbuh liar di banyak tempat. Ia juga dikenali sebagai marihuana atau marijuana. Marijuana dikatakan berasal daripada perkataan Portugis iaitu mariguango yang bermaksud bahan memabukkan. Nama saintifik tumbuhan ini ialah Cannabis sativa, tetapi ada juga yang terdiri daripada jenis Cannabis indica.

Pada masa ini, kanabis ganja ditanam untuk dipasarkan sebagai dadah di merata dunia. Di antara jenis yang sering digunakan datangnya dari Columbia, Jamaica, Mexico, Sepanyl, Amerika Syarikat, dan beberapa negara Asia serta Timur Tengah.

Pada satu ketika dahulu, dadah ini pernah digunakan sebagai ubat; malah ia diakui sebagai sejenis ubat yang berkesan. Misalnya, pada tahun 1839, terdapat penulisan yang mengelaskan ganja sebagai ubat penahan sakit (analgesik) ataupun ubat bagi merawat sawan(antigelugut). Namun, keadaan mula berubah apabila lebih banyak ubat sintetik atau tiruan diperkenalkan. Ini sekaligus menggantikan penggunaan ganja dalam dunia perubatan. Pada masa yang sama, ganja mula dikenal pasti sebagai sejenis dadah yang boleh membawa ketagihan.

Terdapat beberapa jenis bahan kimia dalam tumbuhan ganja. Antaranya ialah kanabinol, kanabidiol, asid kanabinolodik, dan sebagainya. Tetapi bahan yang dikenal pasti sebagai memberi kesan penagihan ialah tetrahidrokanabinol ataupun lebih ringkasnya, THC.

THC dapat dikesan dalam air kencing dengan ujian tertentu. Ujian ini telah cukup untuk membuktikan sama ada seseorang itu ada menggunakan kanabis atau tidak. Oleh itu, sebagai usaha membanteras penggunaan ganja, ujian air kencing telah dimestikan oleh pelbagai pihak untuk mengenal pasti mereka yang terlibat dengan bahan tersebut. Malah, ujian sedemikian juga telah dikenakan oleh beberapa majikan terhadap kakitangan baru yang ingin berkhidmat dengan mereka.

Jenis-jenis Kanabis

Hashish ialah nama dadah kanabis yang digunakan di negara-negara Asia Barat. Ia mengandungi THC yang agak tinggi jumlahnya. Hashish diperbuat daripada bunga ganja dan kemudiannya diedarkan dalam pelbagai bentuk termasuk bebola, 'kek', dan kepingan. Ada pula di antaranya yang berbentuk cecair likat yang terhasil daripada pengekstrakan kanabis. Cecair ini kadangkala dititiskan pada rokok unutk mendapatkan kesannya. Nama beberapa jenis adunan kanabis adalah seperti dalam Jadual 1.

 
NamaBahagian pohon kanabis
Hashish (Asia Barat)
Charas
Getah tulen daripada pucuk
BhangDaun tua yang dikeringkan
Ganja (India, Malaysia)Pucuk berbunga
Dagga (Afrika Selatan)
Kif (Afrika Selatan)
Macohna (Brazil)
Marihuana (Amerika)
Marijuana (Eropah)
Keseluruhan pohon
Jadual 1: Beberapa adunan kanabis serta bahagian asalnya

Kesan Penggunaan Kanabis

Kanabis selalunya dihisap. Bagi ganja misalnya, bahagian-bahagian tertentu (selalunya daun) dihancurkan terlebih dahulu sebelum digulung sebagai rokok. Apabila dihisap, asap ganja akan turut mempengaruhi paru-paru seperti juga asap rokok. Umumnya, kesan ganja akan mula dirasai dan ini mungkin berkekalan selama dua atau tiga jam. Tetapi kesan sebenarnya agak sukar dihuraikan kerana ia banyak bergantung kepada pengalaman serta aktiviti yang sedang dilakukan semasa menggunakan dadah tersebut. Selain itu, ia juga bergantung kepada jenis tapak semaian serta iklim semasa pohon tersebut dituai. Ada juga yang memakannya tetapi kesannya tidak begitu nyata berbanding jika dihisap.

Walau bagaimanapun, kesan-kesan yang sering dilaporkan termasuklah perubahan persepsi yang boleh mempengaruhi tingkah laku serta pemikiran. Misalnya, seseorang itu mungkin terdengar bunyi-bunyian yang lazimnya tidak begitu ketara tetapi menjadi jelas apabila di bawah pengaruh dadah tersebut. Ini kemudiannya mengakibatkan penagih bertindak balas terhadap bunyi tersebut dan dari itu, mungkin menyebabkan kelakuannya bersifat luar biasa. Lebih banyak dadah yang digunakan, berbagai-bagai pula kesan lain yang dapat dirasakan sehingga boleh mengakibatkan penggunanya berasa khayal dan asyik dengan keadaan tersebut. Kesudahannya, perwatakannya akan bertukar sama sekali.

Kesan awal yang sering dapat dilihat pada penagih ganja termasuklah mata menjadi merah kerana saluran darah pada bahagian mata yang mengembang. Ada juga yang mengalami rasa mual, muntah-muntah, cirit-birit, serta mulut dan tekak yang berasa kering. Ini mungkin diikuti dengan rasa sejuk di hidung, kaki, serta tangan. Kadang kala otot-ototnya menggeletar dan pergerakannya tidak selaras.

Pada peringkat mental pula, tanggapan atau persepsi seseorang itu terhadap ruang dan waktu boleh berlaku. Begitu juga dengan daya ingatan, pertuturan, serta pemikiran. Pengambilan dos yang tinggi akan menyebabkan si penagih khayal dan mengalami pelbagai kesan subjektif yang mengasyikkan serta sukar digambarkan. Ia mungkin menjadikannya tidak waras atau tidak siuman dan mengalami apa yang disebut sebagai toxic psychosis.

Walau bagaimanapun, si penagih tidak akan mengalami pergantungan fizikal atau jasmani. Namun, seperti juga dengan dadah-dadah lain, pergantungan secara mental tetap akan berlaku; inilah yang menjadikan seseorang itu ketagih kepada ganja.

Sebagai kesimpulan, kanabis akan merubah sikap si penagih secara menyeluruh. Ada yang melaporkan bahawa mereka mengalami apa yang disebut 'sindrom tak bermotivasi'. Mereka menjadi tidak berminat dan gagal dalam usaha untuk mencapai sesuatu matlamat, walaupun pada satu ketika dahulu, matlamat tersebut mempunyai erti yang mendalam baginya. Mereka tidak dapat melaksanakan rancangan jangka panjang, sukar untuk memberi tumpuan, dan prestasi kerjanya merosot. Umumnya mereka akan terus terpegun, berbaring mendengar muzik, melihat televisyen, atau beromong-omong kosong. Dengan lain perkataan, pengguna dadah kanabis akan membawa kerugian yang begitu besar bukan sahaja kepada diri sendiri ataupun keluarga, tetapi juga masyarakat dan negara.