ROKOK SEJENIS DADAH

Dzulkifli Abdul Razak
(Pusat Racun Negara, USM)

Merokok sememangnya satu tabiat yang digemari ramai. Walaupun perbuatan ini membahayakan kesihatan namun masih ramai yang terus merokok. Merokok boleh menyebabkan seseorang itu ketagihan sama seperti dadah. Keadaan ini mungkin mengejutkan kerana kita mempercayai bahawa tembakau tidak mengandungi 'dadah'. Kenyataan ini tidak lagi benar. Walaupun di sisi undang-undang tembakau dalam rokok bebas digunakan, namun kita tidak dapat lari daripada hakikat yang sebenarnya.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengenalpasti bahawa dadah nikotin merupakan bahan utama dalam tembakau yang boleh menyebabkan ketagihan. Dalam daun tembakau, terdapat satu hingga tiga peratus nikotin.

Nikotin ialah sejenis dadah haram. Menteri Kesihatan pernah menyatakan bahawa tabiat merokok adalah satu punca yang menyebabkan penagihan dadah. Ini selaras dengan kajian yang telah dilakukan oleh agensi Pasukan Petugas Anti-Dadah, yang mendapati lebih 90 peratus penagih dadah yang menjalani pemulihan terdiri daripada perokok. Keadaan ini tidak memeranjatkan, memandangkan perokok akan ketagihan dan cuba untuk mendapatkan bekalan dadah nikotin melalui rokok. Keadaan ini seterusnya akan menjadi satu tabiat hidup mereka.

Tabiat ketagihan yang dihasilkan oleh nikotin adalah sama walaupun jenis dadah yang terlibat agak berbeza. Kesan ketagihan ini mendorong seseorang terus menghisap rokok dan sukar untuk meninggalkannya seperti yang dialami oleh penagih dadah heroin dan ganja. Ketagihan didapati tidak berlaku apabila nikotin 'dikeluarkan' daripada rokok.

KETAGIHAN NIKOTIN

Dadah jenis nikotin yang memberi rasa 'umph' pada rokok. Dalam sebatang rokok terdapat 0.5 hingga 2.0 mg nikotin dan ini bergantung kepada cara ia diproses. Nikotin boleh menyebabkan ketagihan lebih berbanding dengan alkohol (arak) atau dadah kokain. Nikotin juga turut mempengaruhi perilaku seseorang sehingga merosakkan individu dan masyarakat dari segi kesihatan atau sebaliknya. Tambahan pula merokok atau penggunaan tembakau menepati beberapa ciri pergantungan.

Ciri-ciri ini juga dapat diperhatikan pada penagihan dadah yang lain seperti heroin, alkohol dan kokain. Misalnya, selepas tabiat merokok bermula, berlaku peningkatan penggunaan rokok tahun demi tahun. Pola ini juga terdapat pada ketagihan heroin. Mengikut satu kajian, dalam masa tiga bulan 70 peratus daripada mereka yang berhenti akan ketagihan semula. Keadaan ini juga sama dengan penagihan heroin atau alkohol. Laporan daripada Centres for Disease Control and Prevention di Amerika Syarikat pada tahun 1994, mendapati lebih kurang 70 peratus daripada penduduk negara itu berhasrat untuk berhenti merokok manakala satu pertiga cuba untuk berhenti setiap tahun. Namun hanya 2.5 peratus sahaja daripada perokok yang berjaya menghentikan tabiat tersebut. International Union Against Cancer pula melaporkan bahawa paling kurang 30 peratus yang berhenti merokok telah mengulangi tabiat merokok mereka. Kegagalan ini berlaku disebabkan pergantungan kepada dadah nikotin.

KESAN DAN TINDAKAN NIKOTIN

Sebagai satu bahan dadah psikoaktif, nikotin mudah berkumpul dan bertindak di tisu-tisu saraf dan otak berbanding dengan dadah yang lain. Tindakannya menyerupai asetilkolin, iaitu sejenis biokimia semulajadi dalam badan. Tindakan nikotin adalah lebih khusus pada otot, kelenjar dan sistem saraf. Oleh itu ia berupaya membebaskan beberapa bahan kimia semulajadi yang lain untuk mempengaruhi fungsi otak, merencat tapak-tapak khas (reseptor) di badan, khasnya sistem saraf autonomik yang mengawal kadar jantung, tekanan darah, dan otak. Keadaan ini berlaku dalam beberapa saat sahaja. Kesan secara umum ialah tindakannya ke atas otak iaitu rasa khayal dan 'ringan' pada permulaan rangsangan otak. Kesan pada otak boleh menyebabkan seseorang mengalami tolerans, iaitu penyesuaian badan terhadap kesan-kesan seperti mual, muntah-muntah, atau kepeningan yang sering dirasakan apabila mula-mula merokok. Keadaan tolerans inilah yang seterusnya mendorong kepada kesan ketagihan atau pergantungan kepada nikotin.

Umumnya nikotin tidak menyebabkan barah, tetapi dalam proses merokok, perubahan kimia boleh berlaku dan menyebabkan bahan ini menjadi karsinogenik. Akibat rangsangan otak, kesan nikotin pada saluran darah dan jantung menjadi ketara. Apabila terlalu banyak merokok, nikotin akan menekan kadar jantung dan tekanan darah, berlakunya kurang selera makan dan penurunan berat badan yang ketara berbanding dengan mereka yang tidak merokok. Keadaan ini berkaitan dengan pengaruh nikotin ke atas hormon-hormon tubuh.

Seseorang akan menghadapi kesan-kesan yang berbeza bergantung kepada cara menghisap rokok yang juga berbeza-beza. Ia bergantung kepada cara seseorang itu menyedut dan kadar kekerapan sedutannya. Tambahan pula setiap rokok mempunyai kandungan nikotinnya tersendiri. Amalan merokok berterusan akan memberi kesan kepada tisu-tisu lain menyebabkan penyakit bronkitis (radang dalam saluran pernafasan), penyakit jantung dan penyakit saluran darah.

KESAN KERACUNAN NIKOTIN

Kes keracunan nikotin menunjukkan kesan yang teruk. Ia bermula dari mual dan muntah-muntah, sakit di bahagian perut, cirit-birit, pening-pening, gangguan pendengaran dan penglihatan, kekeliruan mental, lemah-lemah otot, perubahan kadar pernafasan dan tekanan darah. Keadaan ini jika tidak diawasi akan membawa maut. Situasi ini juga boleh berlaku kepada penanam tembakau. Mereka boleh dihidapi penyakit 'tembakau-hijau' kerana sering terdedah kepada embun yang mengandungi nikotin pada daun tembakau. Resapan embun melalui kulit boleh menyebabkan rasa mual, pucat, lemah-lemah, kepeningan, sakit kepala dan pepeluhan. Kadangkala mereka akan merasa sakit di bahagian perut, kesejukan, dan air liur yang meleleh. Keadaan yang lebih teruk boleh berlaku seperti sawan, tekanan darah rendah dan pernafasan tertekan. Ini akan menjadi lebih dahsyat sekiranya melibatkan racun makhluk perosak yang bercampur nikotin. Hal ini lebih membimbangkan memandangkan tahap kesedaran para petani adalah kurang.

Kesan kepada kanak-kanak juga berlaku sekiranya termakan tembakau rokok yang dibiarkan merata-rata tempat. Mereka juga mungkin terdedah dengan persediaan lain yang mengandungi nikotin seperti gam nikotin.

 
Jadual Ciri-ciri Pergantungan dadah
Ciri utama
  • Penggunaan kompulsif atau terkawal
  • Kesan-kesan psikoaktif
  • Tingkahlaku yang diperkukuhkan oleh dadah
Ciri tambahan
  • Tingkahlaku ketagihan selalunya melibatkan:
    • pola penggunaan berulang (stereotaip)
    • penggunaan walaupun menyebabkan kesan bahaya
    • Kejadian berulang selepas berhenti penggunaannya
    • Kemaruk dadah berulang
  • Dadah yang menghasilkan pergantungan sering menyebabkan :
    • toleran
    • pergantungan fizikal
    • kesan-kesan khayal(euforia)
Sumber: Report of the Surgeon General, Washington, D.C., 1988,
(DHHS Publication No. [CDC] 88-8406).

KESAN GIAN NIKOTIN

Gian boleh didefinisikan sekiranya bekalan rokok terputus dan seseorang akan merasa tidak selesa serta merasa terdesak untuk menghisap rokok. Rasa gian timbul kerana bahan nikotin yang terserap di dalam darah menjadi semakin rendah dan akhirnya menjejaskan keselesaan seseorang itu. Berasaskan ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mendefinisikan merokok sebagai satu tabiat ketagihan. Mengikut WHO, ketagihan ialah keperluan untuk mengambil dadah (nikotin) pada kadar yang berterusan dalam usaha untuk menikmati kesannya atau menghindar dari sebarang rasa tidak selesa di atas ketiadaannya (seperti rasa cemas, menggeletar dan kerengsaan).

Akibatnya perokok akan mula merasa rengsa, pening kepala, berpeluh dan merasa tidak selesa selagi 'bekalan' nikotin dalam tubuhnya (termasuk otak) tidak dapat ditingkatkan semula. Ini menyebabkan otak tidak dapat berfungsi untuk berfikir. Oleh itu amalan merokok diteruskan seolah-olah mengikut satu kitaran tertentu. Kitaran ini menggambarkan naik turunnya paras bahan nikotin dalam tubuh. Seboleh-bolehnya perokok akan cuba untuk mengekalkan paras nikotin tersebut pada tahap yang agak 'selesa' bagi dirinya.

Dalam masa tujuh saat rokok dihisap, nikotin akan memasuki otak. Sekiranya setiap batang rokok yang dihisap, bahan nikotin yang dapat diserap dalam tubuh, termasuk otak, bersama bahan-bahan yang lain adalah dalam anggaran 1 miligram (mg). Menghisap 10 batang rokok akan mengalami kesan tindakan nikotin sepuluh kali ganda dan begitulah seterusnya. Lebih banyak rokok dihisap, lebih banyak nikotin dalam badan. Satu kajian menunjukkan dalam masa seminggu selepas berhenti merokok, perokok akan mengalami tanda-tanda gian seperti gelisah, tidak cukup tidur, kerengsaan, tidak sabar, sukar memberi tumpuan, keresahan, kemaruk tembakau, lapar, masalah perut-usus, sakit kepala dan kepeningan. Tanda-tanda ini akan reda dalam masa dua hingga empat minggu kecuali kemaruk tembakau. Walupun rasa kemaruk ini lebih mudah diatasi tetapi ia mungkin berlarutan. Pada kebiasaannya perokok akan mula merokok semula pada minggu pertama berhenti merokok.

Tabiat merokok menghasilkan dua jenis pergantungan. Pertama pergantungan psikologi atau mental. Dalam pergantungan ini meliputi alasan-alasan sosial yang sering diberikan untuk terus merokok. Bagi perokok, rokok boleh menjadi sumber ilham atau motivasi untuk mencapai sesuatu matlamat atau menyelesaikan masalah. Kedua pula adalah pergantungan fizikal atau jasmani di mana seseorang mengalami ketagihan dan menyebabkan berbagai kesan jasmani apabila seseorang berhenti merokok.

Secara umumnya peratusan perokok yang ketagihan kepada dadah nikotin boleh dikaitkan dengan bilangan rokok yang dihisap oleh seseorang. Fagerstrom Tolerance Test merupakan satu-satunya ujian untuk menentukan sama ada seseorang itu mengalami pergantungan kepada nikotin (rokok).

KESIMPULAN

Secara amnya, ramai yang menganggap merokok adalah amalan yang mudah. Merokok merupakan tabiat yang digemari ramai tidak kira umur, pangkat dan jantina. Walau apa pun alasan seseorang itu merokok, yang jelasnya, ia merupakan satu tabiat yang mendatangkan pelbagai kemudaratan terhadap kesihatan mereka. Oleh itu cara terbaik yang boleh dilakukan ialah melalui pencegahan awal iaitu menanam kesedaran dan mengelak sama sekali daripada merokok.

 
ISTILAH
Karsinogonik - berkaitan dengan sesuatu bahan yang boleh menyebabkan terjadinya kanser
Rengsa - rasa lemah badan, tidak bertenaga, malas dan kelesuan