DADAH: SENARIO SEJAGAT YANG MEMBIMBANGKAN

Prof Madya Dzulkifli Abdul Razak

DADAH adalah satu-satunya masalah sosial paling rumit yang sedang dihadapi oleh negara. Masalah ini telah mula diperkatakan sejak tahun 70-an lagi, tetapi sehingga kini masih tidak menampakkan perubahan positif hinggakan Perdana Menteri sendiri terpaksa membuat teguran. Mengikut penilaian United Nations International Drug Control Program, dalam tahun 1993 sahaja, sebanyak 24023 orang penagih dadah telah dikenal pasti di Malaysia. Daripada bilangan ini 59.3 peratus adalah penagih yang menagih semula manakala sebanyak 10216 orang telah ditangkap kerana kesalahan bersabit dengan dadah.

Masalah dadah sebenarnya adalah masalah sejagat. Laporan menunjukkan aktiviti penghasilan pelbagai jenis bahan dadah sentiasa meningkat. Ini disokong pula oleh permintaan yang tinggi. Perubahan senario politik antarabangsa dengan berakhirnya perang dingin antara kuasa-kuasa besar dunia, telah membawa kesan negatif dalam usaha membanteras dadah. Ini kerana dunia kini dianggap tidak mempunyai sempadan lagi dan semua orang besab keluar masuk ke sesebuah negara tanpa banyak sekatan. Tambahan pula, sistem komunikasi dan pengangkutan masa kini yang semakin canggih membantu melicinkan pergerakan mereka. Bagi mereka yang terlibat dengan kegiatan dadah, perkembangan seumpama ini sememangnya dinantikan kerana operasi mereka menjadi lebih licin dan meluas.

Sebagai sebuah rantau yang dikatakan banyak menerima perubahan serta pembangunan, rantau Asia Pasifik termasuk Malaysia turut mengalami pelbagai gejala sosial. Penyalahgunaan dadah terutamanya di kalangan remaja amat membimbangkan dan masih belum dapat diselesaikan. Apa yang lebih membimbangkan ialah penggunaan dadah berkait rapat dengan bermacam penyakit sosial seperti pelacuran, lepak, dan perjudian. Perkara inilah yang banyak menggugat dan memudaratkan keadaan sesebuah negara sama ada dalam bidang ekonomi, sosio-budaya, politik mahuun keselamatan. Dengan lain perkataan, kemajuan serta pembangunan yang kita capai dan kecapi selama ini tidak akan berkekalan sekiranyan masalah dadah tidak dapat diatasi segera.

APA ITU DADAH?

Dadah merupakan satu istilah khas kepada sejenis bahan yang mendatangkan kemudaratn kepada kesihatan seseorang dari segi jasmani (fizikal), rohani (mental dan emosi) serta tingkah-laku pengguna apabila digunakan. Akibat daripada kesan ini seseorang yang menggunakan dadah akan terus bergantung hidup kepada dadah tersebut dan menyebabkan ketagihan. Seseorang penagih sanggup menggadai maruah serta memperhambakan diri kepada sesiapa saja walau dalam apa jua keadaan asalkan bekalan dadahnya terjamin. Akibatnya ramai yang sanggup mengemis dan melacurkan diri.

Walaupun dadah yang dikenali umum terdiri daripada heroin, morfin, dan ganja, pada hakikatnya ia merangkumi juga semua bahan yang boleh memberi kesan seperti yang dinyatakan di atas. Ini termasuk tembakau dan arak. Malah, sesetengah ubat-ubatan jika tidak digunakan mengikut peraturan dan sukatan yang betul boleh memberi kesan negatif yang sama seperti dadah. Contohnya morfin dan sebatian terbitan daripadanya yang banyak digunakan sebagai ubat penghilang kesakitan semasa merawat kecederaan yang serius. Dengan perkataan lain dadah membawa risio yang amat tinggi sehingga boleh mengakibatkan maut.

Semua jenis dadah yang telah disebutkan pada dasarnya menunjukkan kesan ketagihan dalam bentuk pergantungan fizikal, mental dan emosi yang sama.

PERBEZAAN DI ANTARA UBAT DAN DADAH

Ubat dan dadah mempunyai perbezaan yang agak ketara. Pertama, ubat memberi manfaat seperti menyembuh dan merawat penyakit, manakala dadah tidak bersifat sedemikian. Kedua, ubat memberikan kesan yang tidak diingini atau kesan sampingan yang minimum seperti pening kepala, panas badan, dan mengantuk. Kesan ini akan reda atau hilang apabila pengambilan ubat tersebut dihentikan. Sebaliknya, dadah akan memberikan kesan berbahaya yang berkekalan sebagai satu tabiat ketagihan walaupuan tekah berhenti menggunakannya. Ketiga, ubat tidak semuanya berupaya mempengaruhi otak dan minda sipengguna, tetapi semua jenis dadah memberi kesan mendalam terhadap otak dan minda manusia. Oleh itu dadah dikenali sebagai bahan psikoaktif dan penggunaannya tertakluk kepada Akta Dadah Berbahaya 1952, pindaan 1982. Keempat, ubat umumnya tidak meninggalkan kesan ketagihan seperti dadah. Penggunaannya tanpa banyak sekatan undang-undang (melainkan dalam hal tertentu sahaja) sedangkan dadah diharamkan penggunaannya (walaupun tidak bagi arak dan tembakau).

KESAN PENGAMBILAN DADAH TERHADAP MANUSIA
KESAN PENGAMBILAN DADAH SECARA SUNTIKAN KESAN PENGAMBILAN DADAH MELALUI MULUT
Meningitis - penyakit jangkitan otak
Tetanus atau penyakit kancing dagu
Endokarditis-penyakit jangkitan jantung
AIDS, Hepetitis B,C, dan D
Bisul, kudis, kurap, dan pelbagai penyakit kulit lain
Kerosakan paru-paru dan hati
Kerosakan sistem penghadaman (zat makanan tidak mencukupi)
Kerosakan buah pinggang
Otot-otot badan mengecut (badan lesu dan tidak bermaya)
Berat badan menurun dan berkemungkinan lumpuh

KESAN FIZIKAL

Kesan fizikal dapat dilihat daripada beberapa aspek. Ini termasuk pengaruhnya terhadap sistem penting pada tubuh manusia seperti sistem pernafasan, saraf, jantung, metabolisme, dan otot-otot. Dengan lain perkataan, keadaan diri mereka tidak terurus, proses kehidupan akan terjejas dan menjadi tidak normal. Kesan ini menjadi lebih ketara apabila dadah digunakan dengan berlebihan. Kadar pernafasannya menjadi lebih pendek dan perlahan, kadar degupan jantung berkurangan, tubuh menggigil akibat penurunan kadar metabolisme badan. Mata menjadi merah dan kuyu serta berat badan terjejas. Penagih juga mungkin mengalami sawan dan gangguan fungsi otak. Ini sukar dipulihkan jika berlaku secara berterusan dan berulang-ulang.

KESAN MENTAL DAN EMOSI

Kesan ini lazimnya dipanggil kesan psikologi iaitu kesan akibat pengaruh dadah pada otak dan minda. Ini termasuklah rasa seronok dan khayal (euforia). Mereka seakan-akan tidak berpijak di alam nyata. Pada masa yang sama seseorang itu hilang kawalan diri dan pemikiran. Mereka tidak segan silu melakukan perkara yang aib serta tidak mempunyai rasa tanggungjawab. Perasaan ini akan berterusan selagi dadah masih terdapt dalam tubuh pesakit, malah semakin lama seseorang itu menggunakan dadah lebih banyak pula jumlah dadah diperlukan untuk mendapatkan euforia. Fenomena ini disebut toleran ataupun keadaan lali di mana kesan euforia daripada dadah berkurangan apabila ia digunakan berulang-kali. Inilah yang membuatkan seseorang itu tidak putus-putus mencari dan meningkatkan penggunaan dadah.

Sekiranya bekalan dadah tidak diperolehi mereka akan berasa keluh-kesah, gian, dan amat menderita. Matanya akan berair, hidung beringus, perut berasa sakit dan perit, kadang-kala muntah dan cirit-birit. Mereka boleh bertindak ganas dan hilang kawalan emosi. Bahkan ia boleh melakukan pelbagai perbuatan jenayah kerana cuba mengatasi rasa gian, baik dengan cara menghendap, mencuri atau membunuh sekalipun. Apabila rasa ketagih berterusan ia mungkin juga mengalami gangguan mental dan menjadi tidak waras, seolah-olah gila. Ia mula melakukan sesuatu yang tidak masuk akal yang berlawan dengan tatasusila dan peradaban masyarakat. Badan tidak lagi berfungsi dengan sempurna dan amat sukar untuk dipulihkan seperti sediakala.

KESAN SOSIAL

Kebanyakan penagih akan hilang minat dan tidak memperdulikan tanggungjawab terhadap pekerjaan, keluarga serta masyarakat sekeliling. Prestasi dan disiplin kerja merosot, tingkah laku dan sikap berubah daripada apa yang biasa diamalkan atau diperhatikan sebelumnya. Mereka juga tidak menghiraukan kesihatan dan kebajikan sebelumnya. Perpecahan, penderaan serta keganasan terhadap ahli keluarga boleh berlaku. Ini selalunya menimbulkan kemarahan dan perasaan jijik orang ramai terhadap mereka.

Banyak daripada penagih tidak tinggal bersama keluarga. Mereka hidup di tempat-tempat lengang yang tersorok atau terpencil untuk memudahkan mereka menggunakan dadah. Keadaan mereka diibaratkan hidup segan mati tak mahu. Dunia mereka hanya akan dapat dipuaskan dengan dadah saja. Kesudahannya mereka akan tersisih sama sekali dan semakin jauh daripada apa jua bentuk bantuan yang membolehkan mereka kembali semula ke pangkuan masyarakat. Mereka akan terus menderita selagi ajal belum tiba. Sesiapa yang terjerumus di dalamnya amat sukar melepaskan diri.

Oleh yang demikian wajarlah kita semua menjauhkan diri daripada apa jua jenis najis dadah. Adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk berusaha membantu mereka yang terperangkap di samping memahami keadaan yang sedang mereka hadapi.