Ahli ISDB

Bilangan 51, Januari 2004

Bulletin Umum Pusat Racun Negara, USM

ISSN 1394-5238 

 

The International Society of Drug Bulletins (ISDB) merupakan rangkaian global bagi buletin dan jurnal bebas seluruh dunia yang membincangkan tentang drug dan kesan terapeutiknya. Buletin-buletin ini dikeluarkan oleh kumpulan profesional dari pelbagai negara.

 

PenawaRacun telah diterima sebagai ahli ISDB pada bulan Disember 1997. PenawaRacun  merupakan Buletin Umum PRN bertujuan untuk membantu anda berwaspada terhadap bahan-bahan yang mungkin mengakibatkan keracunan di samping meningkatkan kesedaran kesihatan anda dan keluarga.

 

Penasihat

Dato' Dzulkifli Abdul Razak

 

Penyunting bersama

Rahmat Awang

Mohd Isa Abdul Majid

Haslina Hashim

Adilah Mohd Ariff

Razak Hj Lajis

 

Grafik dan DTP

Intan Suhaila Kassim

 

Penyunting www

Natrah Mustapha

 

Penyelaras 

Wan Zainal Azman Wan Abdullah

 

Buletin ini boleh didapati melalui Internet, dalam PRNWeb http://www.prn.usm.my

 

 

 Pelupusan haram sisa toksik industri

 

Dalam usaha mengejar status Negara maju 2005 atau taraf negara perindustrian, pada hari ini kita menyaksikan  pertumbuhan industri semakin banyak bak cendawan tumbuh selepas hujan. Penghasilan sisa industri merupakan kesan sampingan yang tidak dapat dielakkan. Pelupusan sisa ini pula telah menjadi semakin kompleks berikutan jumlah yang besar dan  kepelbagaian jenis dan bahayanya kepada kesihatan manusia dan alam sekitar.

 

Di negara kita terdapat lebih kurang 5,000 syarikat yang telah dikenal pasti mengeluarkan sisa toksik atau sisa berjadual yang memerlukan rawatan teliti sebelum dilupuskan. Bagi menangani masalah pelupusan sisa, sebuah loji rawatan dan pelupusan sisa toksik telah dibangunkan oleh kerajaan di Bukit Nenas, Negeri Sembilan. Ia melibatkan kos bernilai beratus juta ringgit dan beroperasi secara rasminya pada tahun 1998. Namun masih terdapat pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab yang memilih tanah lapang, kawasan terpencil dan sungai untuk membuang sisa tersebut.

 

Pada 3 Jun tahun lalu, Jabatan Alam Sekitar memaklumkan akan menghidupkan semula kempen pengurangan sisa “The Malaysian Agenda for Waste Reduction (Mawar)” di mana sasaran mereka ialah sektor industri. Namun demikian beberapa kejadian pembuangan haram sisa industri dilaporkan telah berlaku setelah kempen tersebut (lihat jadual 1). Penemuan, lebih 500 tong sisa buangan toksik atau  racun berjadual di kawasan ladang kelapa sawit di Ijok, Selangor adalah amat menggemparkan. Lebih memeranjatkan lagi, kos pembersihan sisa ini menjangkau hampir jutaan ringgit dan terpaksa ditanggung oleh kerajaan negeri. Mengapakah kejadian begini berlaku sedangkan pelbagai kempen, ancaman hukuman dan pujukan insentif telah dilakukan oleh pihak kerajaan?

 

Adalah mudah menunding jari kepada industri, syarikat dan pihak penguatkuasa undang-undang sebagai pihak yang bertanggungjawab mengatasi masalah pelupusan haram sisa toksik. Namun demikian, kita mestilah sentiasa sedar bahawa persekitaran sihat adalah milik kita dan milik semua orang, jadi semua pihak harus memainkan langkah yang lebih pro-aktif dalam  mencegah pelupusan haram sisa toksik industri.

 

Orang awam termasuk ahli Jawatankuasa Keselamatan Kampung (JKKK), pasukan RELA dan badan-badan bukan kerajaan haruslah peka dengan alam sekitar mereka dan menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa. Suatu bentuk imbuhan atau insentif mungkin wajar dipertimbangkan sebagai galakan  melaporkan sebarang kejadian pelupusan haram.

 

Industri mestilah digesa agar menggunakan pelbagai pendekatan dan kaedah saintifik yang mesra alam pada setiap peringkat pemprosesan produk bagi mengurangkan sisa toksik dan dalam masa yang sama dapat menjimatkan kos pengeluaran.

 

Industri perlulah mempunyai kemudahan dan sistem pengurusan pelupusan sisa yang selamat. Industri yang tidak mampu mengadakan sistem kemudahan pelupusan mestilah diwajibkan mendapatkan khidmat daripada syarikat yang menjalankan kerja-kerja pelupusan contohnya Kualiti Alam Sdn Bhd. Tempoh  dan jumlah simpanan dalam premis industri mestilah dihadkan bagi memudahkan kerja-kerja pelupusan di samping mengelak kemungkinan berlaku kebocoran, kemalangan atau malapetaka alam sekitar.

 

Tapak pelupusan atau rawatan sisa toksik haruslah ditambah bilangannya dan diurus oleh syarikat yang berdaya saing bagi mewujudkan persaingan yang lebih sihat. Dengan ini diharapkan kos pelupusan yang tinggi kini dapat dikurangkan. Pada masa kini hampir semua sisa toksik yang tidak boleh dirawat atau diolah di seluruh negara terpaksa dihantar ke Bukit Nenas. Perjalanan jauh dari utara dan timur Malaysia meningkatkan risiko pencemaran yang lebih luas sekiranya berlaku kemalangan semasa  dalam perjalanan.

 

Pihak berkuasa alam sekitar mestilah membuat pemantauan yang lebih berkesan  ke atas sistem pengurusan sisa toksik industri di Malaysia. Pemeriksaan mengejut di semua premis industri mestilah dijalankan dari masa ke semasa. Pengeluaran lesen ke atas syarikat atau kontraktor yang terlibat dalam kerja-kerja pembuangan sisa pula mestilah diperketatkan. Penguatkuasaan undang-undang mestilah dimantapkan agar tidak kelihatan seperti melepas batuk di tangga.

 

Perundangan yang ada kini wajar dikaji semula kerana ia didapati tidak begitu menakutkan pihak industri. Bayaran kompaun kesalahan pembuangan haram sisa yang dikenakan adalah lebih rendah dari bayaran melupuskan sisa toksik. Ini menyebabkan terdapatnya pihak tertentu yang mengambil jalan mudah melupuskannya di kawasan-kawasan terpencil.

Jadual 1: Penemuan tapak pembuangan haram sisa industri

Tarikh

Lokasi

Sisa Industri

5/12/2003

Kampung Dagang berhampiran kawasan perindustrian Sungai Way

30 tong bahan buangan terjadual, mengandungi bahan enap cemar dan toksik

4/12/2003

Ladang kelapa sawit di Ijok, Kuala Selangor

500 tong mengandungi buangan enap cemar cat dan sisa domestik industri

13/9/2003

Kawasan tadahan air mentah Loji Pembersihan Air Cheras Batu 11 

Pembuangan hasil sisa kilang tanpa rawatan ke sungai

04/08/2003

Perairan Johor terutama di Tanjung Piai, Pontian dan Teluk Ramunia, Kota Tinggi

Pembuangan sisa kotoran minyak hitam daripada kapal-kapal yang berlabuh di Singapura

10/07/2003

Sungai Klang

Pembuangan sisa komponen kenderaan dalam  sungai oleh pengusaha bengkel

  


 Gangguan Kesihatan berkaitan Alam Sekitar

 

A

Alergi

Terutamanya kanak-kanak yang sangat sensitif terhadap debu, bulu- bulu halus, bahan kimia tertentu terutamanya jenis sintetik lalu menyebabkan kesan alergi seperti  bersin, mata gatal dan hidung berair.

 

B

Beguk

Kekurangan iodin dalam makanan boleh menyebabkan pembesaran  kelenjar tiroid di leher.

C

Cacat

Racun makhluk perosak, pengganggu endokrin, logam berat,  pencemar organik, dan lain-lain boleh menyebabkan kerosakan pada  sistem pembiakan manusia  lalu menyebabkan  kecacatan fizikal dan  neurologi pada kanak-kanak baru lahir atau setelah meningkat  dewasa.

D

Dermatitis

Keradangan kulit atau dermatitis boleh disebabkan oleh bahan kimia  seperti pelarut, detergen, logam, tumbuhan dan lain-lain.

E

Emfisema

Paru-paru tidak dapat mengepam masuk dan keluar udara dengan sempurna. Pencemaran udara oleh asap rokok dan lain-lain boleh  merangsang emfisema

F

Fluorosis

Kelebihan mineral fluorida  dalam ubat gigi atau makanan boleh  menyebabkan pereputan tulang terutama gigi. Di sesetengah negara, fluorida didapati di dalam tanah dan seterusnya mencemar air minuman.

G

Kerosakan Ginjal

Logam seperti kromium, plumbum, raksa, kadmium, kuprum, racun makhluk perosak, pelarut organik boleh menyebabkan kerosakan ginjal.

H

Gangguan Hormon

Boleh terjadi jika terdedah kepada pencemar organik kekal seperti  dioksin, PCB, pengganggu endokrin seperti racun makhluk perosak, phthalate dan lain- lain.

I

Kelemahan sistem Imunisasi

Kelemahan sistem  ini menyebabkan badan mudah mendapat penyakit. Biasanya disebabkan oleh pencemar organik kekal, pengganggu endokrin dan lain-lain.

J

Penyakit jantung

Gaya hidup tidak sihat seperti menghisap rokok, meminum alkohol boleh menyebabkan penyakit jantung.

K

Kanser

Pelbagai jenis kanser telah dikaitkan dengan pendedahan terhadap asbestos, asap rokok, pelarut organik, logam berat dan racun serangga. Kanser tersebut adalah seperti kanser paru-paru, payudara, hati, sistem pembiakan, leukemia dan lain-lain.

L

Penyakit ‘Legionnaire’

Sejenis penyakit paru-paru yang disebabkan oleh mikroorganisma, Legionella yang terdapat di dalam air. Ia membiak pantas dalam keadaan  yang panas.

M

‘Mesothelioma’

Sejenis kanser paru-paru yang biasanya disebabkan oleh pendedahan jangka panjang terhadap asbestos. Asbestos biasanya digunakan dalam bahan pembinaan seperti siling, paip dan sebagainya.

N

Keracunan Nikotin

Nikotin di dalam asap rokok telah menyebabkan pelbagai jenis penyakit diantaranya ialah kanser paru-paru.

O

Osteoporosis

Kekurangan mineral kalsium  dalam makanan boleh menyebabkan pereputan tulang atau osteoporosis.

P

Keracunan Plumbum

Keracunan ini ditunjukkan oleh tanda dan simptom seperti sakit kepala, kekejangan otot, sawan, kesukaran belajar dan juga  boleh menyebabkan kematian. Biasanya terdapat  dalam cat, alat tulis, air yang tercemar oleh sisa industri.

Q

DemamQueensland’

Disebabkan oleh organisma kecil pada haiwan ternakan. Simptom adalah seperti demam, kesejukan, sakit pada otot.

R

Keracunan Raksa

Boleh menyebabkan kerosakan ginjal, hati dan saraf. Tanda dan simptom keracunan seperti kebas, lemah otot, kekaburan mata, lumpuh dan juga boleh membawa kepada kematian. Biasanya didapati dalam ikan yang tercemar.

S

Kerosakan Sistem saraf

Boleh berlaku akibat dedahan kepada kimia seperti racun makhluk perosak, logam berat, pelarut organik.

T

Tumbuhan beracun

Terdapat pelbagai tumbuhan beracun di Malaysia yang mampu memberi kesan pada kesihatan manusia. Ada di antara tumbuhan ini dijadikan hiasan laman dan di dalam rumah.Lihat www.prn2.usm.my/mainsite/plant/plant.html

U

Gigitan ular

Boleh menyebabkan lemah-lemah badan, pengeluaran air liur yang berlebihan, mengantuk, loya, muntah, lumpuh pada otot-otot muka, bibir, lidah dan saluran pernafasan. Tekanan darah menurun, mata kuyu (ptosis), sawan (konvulsi), berpeluh-peluh, kelemayuh di tempat gigitan dan juga kematian.

V

Jangkitan Virus

Terdapat pelbagai virus sama ada bawaan udara, makanaan, air dan tanah. Virus-virus ini telah menyebabkan kematian yang banyak di Malaysia. Contoh, virus nipah penyebab meningitis.

W

Wangian beracun

Biasanya didapati di dalam barangan kosmetik, detergen, syampu, potpuri. Ia boleh menyebabkan keradangan pada mata, kulit, gangguan pernafasan dan kanser. Lihat http://www.prn2.usm.my/mainsite/bulletin/kosmik/2003/kosmik7.html

X

Pigmentasi Xeroderma

Penyakit yang diwarisi di mana kulit berbintik hitam seperti jeragat akibat terdedah kepada sinaran langsung matahari.

Y

KeracunanYusho’

Pada 1968, lebih 1000 penduduk barat Jepun mengalami keracunan akibat memakan makanan yang disediakan dari minyak yang tercemar dengan poliklorinated bifenil. Yusho bermaksud penyakit minyak dengan tanda dan simptom seperti keletihan, sakit kepala,kebas, batuk dan radang kulit.

Z

Kekurangan Zink

Kekurangan mineral ini boleh menyebabkan kerencatan pertumbuhan, radang kulit, kebotakan, kurang daya tahan melawan penyakit dan ketidaksuburan. Kepekatan normal dalam serum ialah 70-150 ug/dL.

 

 


 Agave angustifolia

 Oleh Che Nin Man

Pengenalan

Famili: Agavaceae 

Nama Melayu:  Kelumpang Telur

Nama Lain: Agave marginata, Agave breedlovei, Agave costaricana, Agave endlichiana, Agave ixtli, Agave letonae var. marginata, Agave panamana, Agave jacquiniana, Agave ixtli, Agave elongata, Agave excelsa, Agave zapupa, Agave prainiana, Agave pacifica, Agave yaquiana

         

Penerangan

Biasanya ditanam di kawasan perumahan sebagai pokok hiasan. Daunnya hijau, keras dan tajam di hujung serta di kelilingi oleh warna  kuning atau putih. Mengandungi banyak air dan tidak berbatang. Ia boleh tumbuh sepanjang 1- 1.2 meter.

Kegunaan tempatan

Tumbuhan hiasan laman

        

 

Keracunan

Bahagian Beracun: Daun

Bahan Aktif: Agavoside A (saponin yang beracun ), Asid oksalik

                 

               

                                      Agavoside A

                                 

                                          

                         Oxalic acid (90.0354), C2H2O4

Kesan keracunan

Getah dari daunnya boleh menyebabkan keradangan pada kulit seperti kemerahan, gatal-gatal, ruam dan seterusnya boleh menyebabkan dermatitis.

Rawatan kecemasan

Bersihkan saki baki tumbuhan dari anggota badan. Bersihkan dengan air dan sabun jika terkena bahagian kulit. Berkumur  dan minum air atau susu jika tertelan.