Ahli ISDB

Bilangan 49, September 2003

Bulletin Umum Pusat Racun Negara, USM

ISSN 1394-5238 

 

The International Society of Drug Bulletins (ISDB) merupakan rangkaian global bagi buletin dan jurnal bebas seluruh dunia yang membincangkan tentang drug dan kesan terapeutiknya. Buletin-buletin ini dikeluarkan oleh kumpulan profesional dari pelbagai negara.

 

PenawaRacun telah diterima sebagai ahli ISDB pada bulan Disember 1997. PenawaRacun  merupakan Buletin Umum PRN bertujuan untuk membantu anda berwaspada terhadap bahan-bahan yang mungkin mengakibatkan keracunan di samping meningkatkan kesedaran kesihatan anda dan keluarga.

 

Penasihat

Dato' Dzulkifli Abdul Razak

 

Penyunting bersama

Rahmat Awang

Mohd Isa Abdul Majid

Mohamed Izham Mohamed Ibrahim

Razak Hj Lajis

 

Grafik dan DTP

Intan Suhaila Kassim

 

Penyunting www

Natrah Mustapha

 

Penyelaras 

Wan Zainal Azman Wan Abdullah

 

Buletin ini boleh didapati melalui Internet, dalam PRNWeb http://www.prn.usm.my

 

 

 Kesan Penagihan Alkohol

 

Sebagaimana warga USM sedia maklum, insiden yang telah berlaku ke atas salah seorang kakitangan Pejabat Perhubungan Awam USM pada 20 Ogos lalu telah meninggalkan kesan yang amat mendalam ke atas setiap individu yang mengenalinya. Pemergiannya penuh tragis akibat daripada sikap tidak bertanggungjawab pemandu di bawah pengaruh alkohol.

 

Langkah drastik yang diambil oleh USM dengan mengadakan Kempen Anti Alkohol adalah wajar bagi menunjukkan tentangan warga kampus terhadap sikap individu  yang memandu di bawah pengaruh alkohol. Selain daripada itu, ia juga memupuk warga USM khasnya dan masyarakat umum tentang padahnya akibat penagihan alkohol.

PenawaRacun kali ini mengambil kesempatan berkongsi maklumat tentang bahaya penagihan alkohol.

Larangan agama sememangnya berasas.  Malah, setiap agama di dunia ini turut melarang tabiat tersebut di kalangan para penganutnya. Selain  memabukkan alkohol juga memudaratkan kesihatan diri sekiranya diamalkan berterusan.  Ia umpama kombinasi dadah dan racun kepada badan kita.

 

Kesan ketagihan akibat meminum alkohol bukannya bergantung kepada jenis alkohol tetapi jumlah yang diminum pada satu-satu masa. Pada dasarnya terdapat dua kesan yang ketara pada penagih alkohol iaitu kesan jangka pendek dan jangka panjang.

Kesan jangka pendek pengambilan alkohol lebih kurang satu botol besar menjadikan seseorang itu kurang daya koordinasi seperti tidak boleh berjalan dengan betul dan tidak boleh membuka pintu. Dalam masa yang singkat ini juga boleh menyebabkan hangover. Hangover lazimnya disebabkan oleh keracunan alkohol, bahan lain dalam alkohol dan tindakbalas ketagih alkohol. Tanda-tanda hangover alkohol termasuklah sakit kepala, loya, muntah, cirit birit, gangguan pergerakan usus dan menggeletar selama 8 – 12 jam kemudian.

 

Kesan jangka panjang akan dirasai selepas meminumnya selama beberapa bulan atau tahun. Kesan utama adalah seperti sakit jantung, hati atau penyakit dalam perut. Bila situasi ini berlaku mereka akan kurang selera makan, kekurangan vitamin, jangkitan penyakit, mati pucuk atau kekurangan haid.  Kematian yang awal adalah lebih kerap pada orang yang kuat minum, terutamanya daripada sakit jantung atau hati, radang paru-paru, kanser, keracunan alkohol yang teruk, kemalangan, pembunuhan dan pembunuhan diri.

 

Kesan pada otak 

 

 

Pada asasnya selepas diminum, alkohol akan meresap dari usus kecil ke dalam darah.  Alkohol terus dibawa ke jantung yang kemudiannya mengepam darah beralkohol tadi ke seluruh tubuh. Dari sini ia terus meresap ke dalam otak dan seterusnya ke urat saraf. Otak merupakan salah satu organ penting yang dimiliki oleh manusia kerana otaklah yang mengawal segala pergerakan dan perlakuan seseorang dan dengan kemasukan bahan asing ini ke dalamnya ia akan mempengaruhi pergerakan dan kelakuan peminumnya.

 

Di sini, alkohol menyebabkan penindasan kawasan-kawasan yang biasanya mengawal maruah dan disiplin diri sehingga peminum mula merasa kurang sifat malu, fikiran bercelaru, dan pergerakannya pula agak tidak terkawal.

 

Peminum juga kurang keupayaan dari segi belajar, membentuk idea spontan, menumpukan fikiran, dan membuat pertimbangan yang teliti. Semakin banyak jumlah alkohol yang diminum semakin kuat otak tertindas sehinggakan boleh menyebabkan tidak sedarkan diri dan seterusnya kematian.

 

Kesan pada hati

 

Kesan alkohol yang paling bahaya adalah kesan pada hati. Setiap kali seorang peminum meminum alkohol, hati akan mengalami kecederaan (mendapat luka). Sel hati akan mati dan menjadi parut. Parut ini akan mengurangkan kemampuan hati untuk berfungsi dengan sempurna. Parut yang serius akan menyebabkan hati tidak dapat berfungsi langsung. Keadaan ini disebut sirosis hati dan boleh membawa maut.

 

Bengkak hati (hepatitis) juga boleh berlaku disebabkan oleh lebihan toksik alkohol. Pada mulanya ia menyebabkan hati mengembang dan lama kelamaan saluran darah akan mengecut. Ini menyebabkan darah tidak dapat mengalir ke hati dengan sempurna dan akhirnya saluran darah akan membengkak lalu pecah. Pada peringkat kritikal, penghidap hepatitis akan mengalami muntah darah dan najis mereka akan bercampur dengan darah.

 

Kesan pada perut

 

Alkohol juga menyebabkan kerengsaan perut (gastritis) yang akhirnya boleh membawa kepada ulser. Bagi mereka yang memang menghidapi ulser perut, sakitnya akan menjadi semakin teruk.

 

 

Kesan pada saraf

 

 

Kerosakan saraf boleh menyebabkan pelbagai jenis penyakit seperti sindrom Wernicke-Korsakoff dan  kerosakan sel-sel otak, yang seterusnya membawa kepada komplikasi psikiatri. Peminum boleh mengalami halusinasi pendengaran, amnesia, paranoia, depresi, dan kecenderungan membunuh diri.

 

Kesan pada janin

 

Peminum alkohol kronik yang sedang hamil boleh menyebabkan kandungannya mempunyai ciri-ciri kecacatan seperti kekurangan berat badan, saiz kepala yang terlalu kecil berbanding tubuh, kurang penyelarasan otot, keadaan muka yang rata, dan kelemahan sendi-sendi.

 

Selain daripada kesan-kesan di atas, alkohol juga bertindak dengan pelbagai sistem dan organ tubuh. Contohnya, kesan terhadap sistem peredaran tubuh menyebabkan darah lebih banyak dialirkan ke kulit. Ini menyebabkan kulit peminum menjadi kemerah-merahan dan perpeluhan meningkat. Pengepaman jantung juga bertambah pantas dan kuat seperti individu yang sedang melakukan senaman. Kepada penghidap penyakit jantung, mereka mempunyai kemungkinan diserang penyakit itu.

 

 

Peminum alkohol juga didapati lebih cenderung membuang air kecil dengan kerap kerana etanol boleh merencat hormon penahan kencing.

 

Peminum alkohol juga mungkin mengalami anemia, hipoglisemia (kekurangan gula di dalam darah), dan ketandusan vitamin.

 

Bagi perokok yang meminum alkohol boleh meningkatkan risiko kanser sebanyak 15 kali terutamanya pada bahagian mulut dan tekak.

 

Selain daripada kesan ke atas kesihatan ia boleh juga menimbulkan pelbagai masalah sosial. Masalah ketagihan alkohol boleh merosakkan hubungan persahabatan, kehilangan pekerjaan, hutang, simpanan keluarga dihabiskan, masalah rumah tangga, penganiayaan, penderaan, keruntuhan moral dan sebagainya.

 

Oleh itu hindarilah dari meminum minuman tersebut kerana jelas keburukan alkohol jauh mengatasi kebaikannya.

 

Kesan Alkohol pada Manusia

 

  

 


 Siri tumbuhan beracun

 Allocation macrorrhiza

Pengenalan

Famili: Araceae

Nama Melayu: Birah Negeri,  Keladi Sebarang

Nama Lain: Giant Elephant Ears, Wild Taro, Piga, Wave, Biga, Pindu, Ponape, Oht, Ta’amu, Cunjevoi, Kape, Via, Viormilia, Viasori, Badiang

    

Penerangan

Tumbuhan yang tumbuh liar. Ada yang ditanam sebagai pokok hiasan dan mempunyai rizom. Ketinggian mencecah 1-1.5 m dengan daun hijau yang lebar, tegak dan tirus di hujung.

Kegunaan tempatan

Rizom dimasak sebagai makanan.

    

 

Keracunan

Bahagian Beracun: Pelepah dan bunga

Bahan Aktif: Kalsium oksalat (CaC2O4)  

                                    

Bahan Lain: Sapotoksin (sejenis neurotoksin)                    

Kesan Keracunan

Kalsium oksalat adalah sejenis perengsa mempunyai rasa yang pijar dan memberi kesan terbakar pada lidah, mulut dan tekak. Pembengkakan yang berlaku pada saluran fariks akan menyebabkan kesukaran bernafas.Kesan-kesan lain ialah kejang di bahagian perut  dan delirium. Lain-lain keracunan yang dilaporkan ialah kebas, loya dan muntah setelah memakan rizomnya.

Kematian pernah dilaporkan berlaku pada kanak-kanak yang termakan akar dan daunnya dalam masa 6 jam.

Rawatan kecemasan(3)

Bersihkan saki baki tumbuhan dari anggota badan. Bersihkan dengan air dan sabun jika terkena bahagian kulit. Berkumur  dan minum air atau susu jika tertelan kerana ia dapat melarutkan racun dalam tumbuhan ini. Menghisap ketulan ais dapat mengurangkan kesakitan pada mulut. Dapatkan rawatan perubatan dengan segera.