Ahli ISDB

Bilangan 43, September 2002

Bulletin Umum Pusat Racun Negara, USM

ISSN 1394-5238 

 

The International Society of Drug Bulletins (ISDB) merupakan rangkaian global bagi buletin dan jurnal bebas seluruh dunia yang membincangkan tentang drug dan kesan terapeutiknya. Buletin-buletin ini dikeluarkan oleh kumpulan profesional dari pelbagai negara.

 

PenawaRacun telah diterima sebagai ahli ISDB pada bulan Disember 1997. PenawaRacun  merupakan Buletin Umum PRN bertujuan untuk membantu anda berwaspada terhadap bahan-bahan yang mungkin mengakibatkan keracunan di samping meningkatkan kesedaran kesihatan anda dan keluarga.

 

Penasihat

Dzulkifli Abdul Razak

 

Penyunting bersama

Rahmat Awang

Mohd Isa Abdul Majid

Mohamed Izham Mohamed Ibrahim

Razak Hj Lajis

 

Penyunting DTP

Rosman Ahmad

 

Penyunting www

Natrah Mustapha

 

Penyelaras 

Wan Zainal Azman Abdullah

 

Buletin ini boleh didapati melalui Internet, dalam PRNWeb http://www.prn.usm.my

 

 

Jerebu Melanda Lagi!...

 

JEREBU yang melanda Asia Tenggara pada Jun-Oktober 1997 telah meninggalkan kesan buruk terbesar dalam sejarah pencemaran alam sekitar. Fenomena ini berpunca daripada pembakaran  hutan di Kalimantan dan Sumatera, Indonesia. Dianggarkan 750,000 hektar hutan terbakar. Kerugian ekonomi bagi negara-negara terbabit seperti Indonesia, Singapura, Malaysia, Brunei, sebahagian Thailand dan Filipina bukannya sedikit. Semua sektor pengangkutan udara, darat dan air, pembinaan, pelancongan, perhutanan dan pertanian terjejas teruk. MALAYSIA mengalami kerugian sebanyak 34 bilion ringgit dari sektor pertanian dan perlancongan sahaja. Ini tidak termasuk lain-lain sektor. Kesihatan manusia juga telah terjejas, dianggarkan lebih 20 juta penduduk di rantau ini dikatakan mengalami penyakit berkaitan pernafasan sepanjang kejadian itu.

 

Secara ringkasnya jerebu mengambarkan satu keadaan di mana mutu persekitaran kita, khususnya udara sudah tercemar. Udara yang dihirup saban hari tidak lagi senyaman biasa, tetapi dipenuhi dengan berbagai debu, habuk dan juga bahan-bahan kimia yang terapung dan berterbangan di udara. Bahan-bahan tersebut dikenali juga sebagai partikel-partikel kecil yang dapat membiaskan cahaya suria menyebabkan jerebu terjadi. Kesan daripada jerebu ini akan menjejaskan jarak penglihatan terutamanya dalam industri pengangkutan dan yang paling penting  kesan kepada kesihatan manusia.

 

Bulan lalu, Jerebu melanda lagi….di seluruh negara, sama seperti tahun-tahun yang lalu dan pada setiap kali musim panas-kering tiba. Walaupun tidak seteruk  tahun 1997, namun Kementerian Kesihatan telah mengeluarkan arahan supaya semua pusat perubatan bersiap sedia berikutan ramai penduduk datang  mendapatkan rawatan.

 

Sarawak juga  hampir mengistiharkan darurat jerebu apabila Indek Pencemaran Udaranya menunjukkan kualiti udara yang tidak sihat. Dan sekali lagi pembakaran terbuka samada hutan atau sisa pertanian negara jiran akan menjadi penyebabnya. Atau di Malaysia sendiri kawasan-kawasan pertanian seperti di Kedah, Pulau Pinang dan Perak Utara, pembakaran ini berkait dengan pembakaran jerami padi selepas penuaian. Dan sekali lagi laungan kemerdekaan kita tidak mampu menghalang jerebu dari mencerobohi ruang udara kita.

 

Kesemua pihak di rantau Asia Tenggara  sedar betapa pentingnya kerjasama alam sekitar merentasi sempadan dan tindakan proaktif dalam menangani dan mencegah jerebu. Beberapa  pelan tindakan serantau dipersetujui dan ditanda tangani, namun jerebu melanda lagi……dimanakah silapnya!.  Semua rakyat Malaysia memahami dan bersimpati dengan masalah dan kekurangan yang dihadapi oleh negara jiran dalam menangani pembakaran terbuka dan  isu jerebu ini. Namun suatu tindakan segera perlu dilakukan. Isu jerebu bukan lagi isu sensitif sesebuah negara. Ia telah memberi kemudaratan kepada kesihatan dan sosio-ekonomi negara tetangga.

 

Kita juga semakin bimbang dengan kekerapan perlepasan asap pembakaran tersebut yang berkemungkinan melebarkan lagi “Awan Perang Asia”  yang sedia ada dan sedang  meliputi ruang udara negara-negara di Asia Selatan, Selatan Cina dan Asia Tenggara.. Ia dikatakan mampu mengancam berjuta-juta nyawa manusia. Mengikut laporan berita oleh Program Alam Sekitar Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP) pada Ogos lalu, Awan Perang Asia yang ditemui melalui kajian lautan Hindi (INDOEX) hanya memfokus kepada kesannya  ke atas Asia Selatan sahaja, sedangkan  kesannya  di Asia Tenggara dan Asia Timur adalah sama ataupun mungkin lebih teruk lagi.

 

Kita mengharapkan jalinan politik dan moral Negara-negara kaya agar dapat berkongsi kepakaran teknologi tinggi mereka di samping bantuan keewangan kepada negara yang kurang berupaya dalam meningkatkan mutu pertanian dan pembalakan tanpa menjejaskan kualiti udara alam sekitar. Penguatkuasaan undang-undang larangan pembakaran terbuka oleh negara yang terlibat perlu dilakukan secara bersungguh-sungguh. Pengusaha tanah pertanian dan pembalakan perlu dipantau  agar mereka tidak rakus mengaut untung tanpa mangambil kira kesan pencemaran yang telah dilakukan. Kita tidak ingin melihat sebarang undang-undang pun kelihatan seperti harimau kertas.

 

Sebagaimana yang diketahui umum kesan daripada jerebu ini boleh menyebabkan berbagai gangguan kesihatan kepada manusia. Walaupun manusia mempunyai keupayaan untuk menapis debu dan habuk daripada memasuki rongga tubuhnya, tetapi keupayaan itu mempunyai batasannya tersendiri. Dalam keadaan yang agak teruk, tubuh kita turut dicemari. Inilah sebabnya berbagai gangguan kesihatan berlaku apabila alam sekitar dicemari, terutamanya bagi mereka yang sedang menghidapi penyakit asma. Antara penyakit yang disebabkan oleh jerebu adalah  asma, sesak nafas dan radang paru-paru. Begitu juga halnya dengan mata apabila terdedah kepada jerebu, boleh menjadi berair dan rengsa serta terasa pedih-pedih.  

 

Pendidikan berterusan ke atas orang ramai perlu dilakukan dari peringkat kanak-kanak lagi bagi menekankan betapa pentingnya kebersihan udara bebas jerebu dan kesedaran bahawa pembakaran terbuka walaupun kecil dan di atas sebab apa sekalipun samada pertanian, perindustrian, perlupusan sisa sampah dan sebagainya akan memberi kesan buruk pada alam sekitar dan hanya mengundang jerebu.N

 

 

 


 

Awan Perang Asia

 

Pencemaran alam sekitar telah berlaku sekian lama dan padahari ini kita telah menyaksikan kewujudan pelbagai fenomena yang mengancam alam sejagat diantaranya ialah pemanasan bumi melalui perlepasan gas rumah hijau, penipisan lapisan ozon yang mengancam kesihatan, hujan asid yang menyebabkan kerosakan tanaman, haiwan dan bangunan, kejadian banjir dan kemarau ekoran fenomena iklim El-Nino dan lain lain. Kita juga menyaksikan pelbagai perjanjian demi perjanjian yang di tandatangani bagi membendung masaalah pencemaran dan langkah pemulihan bersama. Namun kerosakan yang disebabkan oleh pencemaran ini berlaku lebih laju dari tindakan pemulihan itu sendiri. Arus pembangunan dan kemajuan  pesat perindustrian dan pertanian mengwujudkan ruang ruang  maut di muka bumi seperti.

 

 “Lubang Ozon” di Antartika dan “Zon Maut” di Teluk Mexico. Pada hari ini kita menyaksikan satu lagi ruang maut yang terbentuk di Asia iaitu “ Awan Perang Asia” yang mampu bergerak hampir separuh dunia ini dalam masa seminggu dan mampu mengancam berjuta juta nyawa manusia dalam masa 30 tahun.

 

Apa itu Awan Perang Asia

  • Sejenis awan berjerebu setebal 3 kilometer. Ia menyelubungi ruang udara Negara Negara selatan Asia, seperti India, Bangladesh, Bhutan, Maldives, Nepal, Pakistan, Sri Lanka, Afghanistan, Asia Tenggara dan selatan Cina.

  • Fenomena ini ditunjukkan oleh pemandangan yang berjerebu dan berwarna kuning keperangan.

            

 [ image: Pollution affects many Asian cities]

 

Kandungan Awan Perang Asia 

  • Habuk, jelaga, debu dan abu

  • Gas karbon monoksida, Metan

  • Nitrat berasid

  • Sulfat berasid

  • Lain lain kimia berbahaya

Bahaya Awan Perang Asia

            Kesan ke atas iklim

Awan perang menghalang hampir 15 % cahaya matahari dari sampai kepermukaan bumi dan lautan di bawahnya lalu menjadikan kawasan ini lebih sejuk. Di bahagian atmosfera Awan Perang sendiri akan menjadi lebih panas kerana menyerap haba dan memerangkap segala pencemar yang di lepaskan ke udara. Fenomena sejuk dan panas ini mempengaruhi angin monsun lalu menyebabkan malapetaka yang dapat kita lihat pada hari ini iaitu kemarau berlanjutan di kawasan selatan-barat Asia seperti India, Pakistan, Sri Lanka dan banjir teruk di timur laut Asia seperti China dan Taiwan.

            Kesan ke atas pertumbuhan sosio-ekonomi

Pengurangan cahaya dan hujan berasid dari jerebu menjejaskan kehidupan laut dan seterusnya aktiviti perikanan. Sementara kemarau dan banjir yang berterusan pula menjejaskan aktiviti pertanian, perhutanan, pembangunan, perlancongan, perindustrian  dan seterusnya kepada pertumbuhan ekonomi sesebuah negara.

Kesan ke atas Kesihatan

Mengikut laporan ketua bahagian program alam sekitar Bangsa Bangsa Bersatu (UNEP), pencemar di dalam jerebu tersebut akan menyebabkan kematian berjuta juta manusia di rantau ini. Kematian ini di kaitkan dengan penyakit berkaitan sistem pernafasan  seperti lelah, radang paru-paru atau bronkitis. Di laporkan juga hampir 2 juta penduduk India mati setiap tahun akibat pencemaran udara.

Punca Kejadian Awan Perang 

Perlepasan asap dari :

  • Pembakaran hutan

  • Pembakaran sisa haiwan dan pertanian

  • Asap kenderaan

  • Asap industri

  • Asap dari stesyen janakuasa elektrik

  • Pembakaran alatan memasak yang tidak sempurna

Awan Perang Asia bukan masaalah rantau Asia sahaja malah ia akan menjadi masaalah global kerana kemampuannya bergerak di seluruh dunia dalam masa yang singkat. Suatu tindakan pembendungan dan pemulihan yang segera dan bersepadu perlu di lakukan oleh semua negara bagi menangani masaalah pencemaran ini. Adalah di harapkan Sidang Kemuncak Bumi di Johannesburg  pada akhir bulan Ogos ini dapat berbincang dan menghasilkan satu tindakan bersama. Isu Awan Perang memerlukan tindakan segera dan bukan lagi setakat bersetuju di atas kertas perjajian sahaja.

      Semoga hari hari Alam sekitar berikut yang kita sambut setiap tahun akan menjadi lebih bermakna:

 

Hari Hutan Se Dunia 

21 Mac 

Hari Air Se Dunia 

22 Mac 

Hari Bumi 

22 April 

Hari Tanpa Golf 

29 April 

Hari Alam Sekitar Se Dunia

  5 Jun 

Hari Populasi Se Dunia

12 Julai 

Bulan Sains dan Teknologi Malaysia

  1 - 31 Ogos 

Hari Pembersihan Se Dunia

15 - 17 September 

Hari Kanak-Kanak Universal

  4 Oktober 

Hari Makanan Se Dunia

  6 Oktober 

Hari Habitat Se Dunia

  6 Oktober 

Hari Antarabangsa Untuk Pembasmian Kemusnahan Semulajadi

  8 Oktober 

Minggu Alam Sekitar Malaysia 

21- 27 Oktober 

Hari Kepelbagaian Biologi Se Dunia

29 Disember 

 

                 

 

Ketidaksuburan dan kecacatan bayi:

Polisiklik Aromatik Hidrokarbon (PAH)

 

Polisiklik aromatik hidrokarbon merupakan  satu kumpulan bahan kimia pencemar organik yang mengandungi molekul karbon dan hidrogen.

 

PAH terdiri dari lebih 100 jenis bahan kimia yang terdapat meluas di alam sekitar hasil daripada proses pembakaran yang tidak lengkap seperti pembakaran tar arang batu, dandang industri, rumah asap, incinerator, asap rokok, asap kayu, asap ekzos kenderaan dan sebagainya. Apabila ia telah dilepaskan ke udara ia boleh mencemarkan alam sekitar terutamanya udara, air dan tanah. Dari alam sekitar yang tercemar inilah manusia dan haiwan terdedah secara langsung kepada PAH yang boleh memudaratkan kesihatan.

 

Antara bahan-bahan kimia tersebut adalah benz(a)antracin, benzo(a)pirin, benzo(b)fluorantin, benzo(j)fluorantin, benzo(k)fluorantin, kraisin, dibenz(a,h)antrasin, dan indenol(1,2,3-c,d)pirin dan lain-lain lagi.

 

Dari hasil kajian bahan-bahan kimia PAH di atas boleh menyebabkan tumor kepada haiwan kajian apabila didedahkan kepada udara yang dicemari bahan kimia tersebut melalui pernafasan, diberi makan atau secara sentuhan pada kulit dalam jangkamasa yang panjang. Hasil kajian juga mendapati manusia yang terdedah melalui pernafasan dan sentuhan pada kulit untuk jangkamasa yang panjang boleh menyebabkan kanser.  

 

Ujian PAH ke atas mencit yang sedang mengandung mendapati anak mencit yang terhasil sukar untuk mengandung begitu juga terhadap ibunya. Anak-anak mencit itu juga di dapati mempunyai kadar kecacatan yang tinggi dan berat badan yang rendah. Kesan seumpama itu juga boleh berlaku ke atas manusia, namun demikian tiada maklumat yang kukuh yang dapat membuktikannya.

 

Kajian oleh saintis di Hospital Boston mendapati kesan PAH yang terdapat dalam rokok dan alam sekitar ke atas ovari menyebabkan wanita  semakin hilang kesuburannya dan seterusnya mengalami menopaus.

 

Dalam ujian lain ke atas haiwan makmal, didapati ketidaksuburan semakin meningkat dengan adanya benzo(a)pirin dan plumbum yang boleh didapati dari asap kenderaan. Berat ovari di katakan menurun sebanyak 33 % termasuk  penurunan ketara ‘ovarian follicles’.

 

Benzo(a)pirin yang juga merupakan salah satu komponen di dalam arang batu, kerosin dan juga bahan kimia semulajadi yang terdapat di dalam banyak bahan mentah dan makanan yang dimasak. Ia berupaya merosakkan baka atau keturunan dengan merosakkan kromosom dalam sistem pembiakan dan seterusnya kelahiran anak-anak yang cacat melalui warisan.N