Ahli ISDB

Bilangan 42, Julai 2002

Bulletin Umum Pusat Racun Negara, USM

ISSN 1394-5238 

 

The International Society of Drug Bulletins (ISDB) merupakan rangkaian global bagi buletin dan jurnal bebas seluruh dunia yang membincangkan tentang drug dan kesan terapeutiknya. Buletin-buletin ini dikeluarkan oleh kumpulan profesional dari pelbagai negara.

 

PenawaRacun telah diterima sebagai ahli ISDB pada bulan Disember 1997. PenawaRacun  merupakan Buletin Umum PRN bertujuan untuk membantu anda berwaspada terhadap bahan-bahan yang mungkin mengakibatkan keracunan di samping meningkatkan kesedaran kesihatan anda dan keluarga.

 

Penasihat

Dzulkifli Abdul Razak

 

Penyunting bersama

Rahmat Awang

Mohd Isa Abdul Majid

Mohamed Izham Mohamed Ibrahim

Razak Hj Lajis

 

Penyunting DTP

Rosman Ahmad

 

Penyunting www

Natrah Mustapha

 

Penyelaras 

Wan Zainal Azman Abdullah

 

Buletin ini boleh didapati melalui Internet, dalam PRNWeb http://www.prn.usm.my

 

 

Pil pelangsing pembawa MAUT!

 

 

Sudah menjadi fitrah semulajadi setiap wanita ingin kelihatan cantik dan memiliki bentuk tubuh yang menarik. Kebanyakan wanita beranggapan bahawa tubuh yang langsing melambangkan kecantikan dan kejayaan seseorang individu. Dengan penampilan sebegitu mereka lebih berkeyakinan apabila berhadapan dengan masyarakat umum.

 

Baru-baru ini heboh diperkatakan tentang kes pil langsing badan yang telah menyebabkan seorang warga Singapura meninggal dunia berikutan hatinya gagal berfungsi, manakala seorang lagi terpaksa menjalani pemindahan hati. Sekurang-kurangnya ada 13 lagi kes berkaitan sedang dirawat di hospital. Apakah ini satu trend wanita masa kini, sanggup bergadai nyawa untuk memiliki tubuh yang langsing? Walau apapun persoalannya, amalan ini bukan sahaja merugikan malah tanpa disedari boleh membahayakan kesihatan dan mengancam nyawa sendiri.

 

Dalam kejadian di atas, pil langsing herba yang mereka gunakan telah dikesan mengandungi “fenfluramine” dan ‘nicotinamide” yang telah diharamkan penggunaan dan penjualannya hampir di seluruh dunia.

 

Apakah itu Fenfluramin?

 

Fenfluramin tergolong dalam kumpulan ubat anoretik yang bertindak mengurangkan paras serotonin di dalam otak. Ia merencat selera makan dan seterusnya mengakibatkan pengambilnya mengalami penyusutan berat badan. Serotonin ialah sejenis bahan kimia yang berfungsi sebagai pengutus saraf di dalam otak.

 

Ia juga bertindak menghalang serotonin di dalam plasma darah daripada diserap ke dalam platelet (sel-sel pembekuan dalam darah) menyebabkan paras serotonin di dalam darah meningkat.

 

Apabila kandungan serotonin terlalu tinggi dalam darah ia boleh merosakkan salur darah terutama pada paru-paru dan jantung, kerosakan injap jantung, kelenjar tiroid membengkak, kerosakan hati, tekanan darah tinggi, strok serta gangguan mental. Kegagalan fungsi hati pula boleh berlaku dalam masa satu minggu hingga sebulan jika diambil secara berlebihan. Sekiranya diambil secara berterusan dalam jangkamasa yang lama, ia boleh mengakibatkan radang hati (hepatitis).

 

Pada kebiasaanya fenfluramin digunakan untuk merawat kes kegemukan melebihi 20 peratus berat badan yang dicadangkan. Ia boleh menurunkan sebanyak 10 peratus berat badan manakala dalam sesetengah kes sehingga antara 15 dan 20 peratus. Ia juga disyorkan kepada pesakit diabetes yang gemuk bagi membantu menurunkan berat badan mereka untuk mengelakkan risiko lain.

 

Kesan sampingan akibat mengamalkan pil langsing antaranya ialah cirit-birit, mual mulut menjadi kering, hipertensi, sukar hendak tidur, rasa panas badan, berdebar-debar, sakit dada, berpeluh dan kerap membuang air kecil.

Walaupun kebanyakan jenama pil pelangsing telah diharamkan di negara kita, tetapi masih ada lagi yang boleh diperolehi secara haram. Pengambilan pil-pil ini hanya akan mengundang bahaya kerana kebiasaanya ia tidak dilabel dengan lengkap dan pengguna sukar untuk mengenalpasi kesan akibat penggunaannya.

 

PRN menyokong langkah kerajaan untuk menarik balik semula jenis produk melangsingkan badan dalam pasaran sehingga penggunaanya disahkan benar-benar selamat. Tindakan tersebut haruslah diambil dengan segera sebelum sebarang risiko yang memudaratkan kesihatan menimpa terhadap para pengguna tempatan.

 

Selaras dengan itu juga penyiaran dan penerbitan iklan produk-produk tersebut juga patut diberhentikan sama sekali kerana ia  secara tidak langsung memainkan peranan yang penting dalam menggalakkan keinginan orang ramai mencuba produk melangsingkan badan.

 

PRN mengambil kesempatan ini menasihatkan orang ramai supaya mengelakkan diri daripada menggunakan pil pelangsing. Sebaliknya jika ingin menguruskan badan lakukannya dengan cara yang selamat dan sihat, iaitu dengan bersenam, bersukan atau apa-apa aktiviti lain yang boleh mengeluarkan peluh. Cuba jauhi penggunaan pil pelangsing kerana ia mendatangkan pelbagai kesan mudarat kepada kesihatan dalam jangka masa panjang malah boleh membawa maut. Pengguna mungkin berpuas hati dengan berat badan yang hilang tetapi risiko jangka panjangnya juga perlu diambil kira sebelum sesuatu yang buruk berlaku.N

 

 

 


 

Bagaimana ubat pelangsing badan berfungsi

 

oleh Che Nin bt. Man

 

Ubat pelangsing badan sama ada daripada jenis drug atau produk herba ialah ubat yang dapat mengurangkan berat badan atau mengatasi masalah kegemukan. Ia boleh dibahagikan kepada 5 kategori mengikut cara ia berfungsi iaitu:

 

  1. Menghilangkan selera makan

Otak manusia mengandungi pelbagai jenis bahan kimia semula jadi yang mengawal pemikiran, pergerakan dan fungsi organ-organ lain. Sesetengah ubat pelangsing badan bertindak dengan meningkatkan paras kimia ini terutama serotonin dan dopamine yang merencat selera makan. Ini akan mengakibatkan seseorang itu kurang makan dan akhirnya berat badan akan susut.

 

Contoh-contoh ubat adalah: Bagi jangkamasa pendek: fendimetrazin tartrate, metamfetamin, fentermin, fenfluramin, deksfenfluramin, dietilpropion, mazindol, benzfetamin dan fenil propanolamin.

Jangkamasa panjang: sibutramin

 

Bahaya: Secara amnya; insomnia, mengalami mimpi ngeri, keresahan, lekas marah, keletihan, kemurungan, mulut kering, anoreksia, kekejangan pada kawasan perut, gangguan gastro, pening, gementar, masalah koordinasi, berpeluh, palpitasi, degupan jantung kencang, tekanan darah menjadi tinggi atau menurun, gangguan libido, impoten, kerosakan hati, jantung, penggantungan atau ketagihan dan tindakbalas psikotik termasuk skizofenia.

 

Selain dari drug terdapat juga peptid hormon yang mampu merencat selera makan. Contohnya leptin, neuropeptid-Y, kolesistokinin, glukagon dan melanokortin. Walau bagaimanapun hormon-hormon ini masih dalam peringkat kajian.

 

  1. Mengubah metabolisma lemak badan

Enzim lipase dari pancreas bertindak memecahkan lemak dalam makanan dan menjadikannya molekul yang lebih kecil iaitu asid lemak dan gliserol dan seterusnya menyerap ke dalam usus kecil. Terdapat ubat pelangsing badan yang dapat menghalang sebahagian enzim ini daripada bertindak memecahkan lemak dan seterusnya ia akan keluar dari badan melalui najis. Dengan ini hanya sedikit kalori terhasil dan berat badan dapat dikawal.

 

Contoh: ubat ini adalah orlistat (XenicalÒ) atau tetrahidrolipstatin.

 

Bahaya: kekejangan pada bahagian perut, cirit birit, gangguan usus, tidak dapat mengawal pembuangan najis atau lelehan najis berminyak.

 

  1. Menghasilkan haba (thermogenesis)

Termogenesis merupakan proses penghasilan haba melalui pembakaran kalori daripada lemak. Ia biasanya berlaku apabila kit bersenam. Namun demikian terdapat ubat pelangsing yang mampu merangsang thermogenesis dengan cara menukar lemak yang terkumpul kepada bentuk lemak yang terlarut dan melalui edaran darah akan di bawa ke tisu adipos (brtown adipose tissues) di mana ia akan “dibakar”.

 

Contoh: Efedrin dan terbiatan efedrin yang biasa diguna dalam merawat selsema dan asma tetapi juga boleh merangsang thermogenesis. Kesan efedrin akan bertambah dengan kehadiran kafein atau salisilat.

 

Bahaya: Meningkatkan tekanan darah, mempercepatkan denyutan jantung, insomnia, tremor dan ketegangan.

 

  1. Membuang air kecil (diuretics)

Sesetengah ubat pelangsing badan mampu menyebabkan diuresis. Ubat diuretik bertindak dengan cara mengeluarkan air dengan banyak dari badan melalui kencing. Kehilangan air sebanyak 1 liter berkadaran dengan kehilangan berat sebanyak 1 kilogram. Oleh itu berat badan dapat dikurangkan dalam masa yang singkat.

 

Contoh: Furosemid, asid etakrinik, hidrokloroiazid, amilorid, acetazolamid, bumetanid dan lain-lain biasanya diguna dalam merawat tekanan darah tinggi. Penggunaan ubat diuretik dikesan bagi tujuan mengawal berat badan ahli sukan seperti tinju dan juga sebagai bahan “doping”.

 

Bahaya: Secara amnya menyebabkan kehilangan air yang banyak, dehidrasi dan ketidakseimbangan elektrolit dan seterusnya akan menyebabkan pula kelesuan, lemah otot, pening, loya anoreksia, impoten, penglihatan berwarna kuning, degupan jantung yang laju dan tidak normal, tekanan darah yang rendah, mulut kering, gangguan mental dan pendarahan dalam perut.

 

  1. Ubat pelawas (laxatives)

Ubat jenis ini merangsang sistem penghadaman dan “mengosongkan” perut dan usus. Biasanya diguna bagi melawas pembuangan najis. Walau bagaimanpun ia boleh menyebabkan cirit birit. Kebanyakan ubat pelangsing jenis herba termasuk dalam kategori ini.

 

Contoh: Bisacodil, laktulos.

 

Bahaya: Secara amnya menyebabkan sakit dan kekejangan di bahagian perut, cirit birit yang berpanjangan akan menyebabkan kehilangan air. Vitamin dan garam galian yang banyak dari badan serta memberi kesan bahaya sama seperti diuretik.

 

 

Fentermin, orlistat dan diuretik dikategorikan sebagai ubat kawalan di mana penggunaannya memerlukan preskripsi daripada doktor. Ubat pelawas pula boleh dibeli dengan bebas di Farmasi. Lain-lain jenis ubat dan hormon tidak diluluskan oleh kerajaan dan tidak diperolehi di pasaran Malaysia. Walau bagaimanapun anda perlu berhati-hati dengan produk herba atau tradisional yang mungkin dicampur dengan bahan-bahan ini seperti yang telah dikesan di dalam produk herba, Slim 10 dan Bestrim baru-baru ini.

 

Ingatlah! Untuk melangsing badan TIADA jalan pintas, TIADA pil MAGIK dan nikmat yang paling baik ialah memiliki tubuh badan yang sihat.

 

Jika anda ingin mengurangkan berat badan, lakukanlah dengan cara yang selamat iaitu P.R.N!

 

P: Pemakanan yang betul iaitu rendah lemak, tinggi karbohidrat dan tinggi gentian.

R: Rajin bersenam, sekurang-kurangnya 20 minit, kali seminggu.

N: Nasihat doktor diperlukan jika ingin mencuba ubat pelangsing.

 

 


 

Ketidaksuburan dan kecacatan bayi:

Bahaya pencemar organik kekal

 

oleh Che Nin bt. Man

 

Pencemar organic kekal atau lebih dikenali sebagai Persistant Organic Pollutants (POPs) ada di mana-mana. Kita boleh terdedah kepada bahan-bahan ini di tempat kerja, di dalam rumah, makanan yang dimakan dan alam sekitar di mana kita berada. Tahukan anda bahawa POPs ialah agen yang boleh mengakibatkan kemandulan, keguguran, kelahiran anak-anak yang terencat akal, kesukaran menerima pelajaran dan pelbagai masalah perlakuan anak?

 

Ketidaksuburan dalam kalangan pasangan berkahwin biasanya bermaksud tidak dapat mengandung dalam tempoh 12 bulan. Jika berpanjangan ia sering dikaitkan dengan kemandulan yang berlaku pada kebanyakan wanita dan lelaki. Manakala mempunyai anak yang cacat pula menyedihkan ibubapa namun atas pegangan agama dan didikan moral kita akur pada ketentuan takdir.

 

POPs seperti dioksin, furans, bifenil poliklorin dan heksaklorobenzena juga terhasil daripada aktiviti pembakaran yang tidak disengajakan dan bergerak jauh mencemari udara di seluruh dunia hinggalah di kawasan-kawasan tidak berpenghuni seperti gurun, artik dan antartika. Ia telah menjadi masalah sejagat.

 

POPs mengganggu sistem endoktrin badan untuk melawan penyakit dan seterusnya memberi kesan pada kesuburan wanita. POPs juga dikaitkan dengan kejadian endometrosis, kanser payu dara dan menyebabkan anak dalam kandungan mengalami masalah kecacatan fizikal dan saraf seperti kesukaran untuk belajar, masalah perlakuan dan IQ yang rendah. Anak yang menyusu jugak dikatakan akan turut dicemari oleh POPs melalui susu ibu.

 

Kajian yang dilakukan terhadap haiwan makmal mendapati POPs dapat mengurangkan hormon yang bertanggungjawap membentuk sifat kelakian dan ketidaksuburan selain dari mengecilkan saiz organ seks lelaki, kelahiran anak-anak yang bermulut sumbing dan kematian semasa mengandung.

 

Selain terhasil daripada pembakaran yang tidak disengajakan, bifenil poliklorin (PCB), bifenil polibromin (PBB) digunakan dalam industri pembuatan seperti penebat haba, transformer dan komponen di dalam cat. Bagi menghindari bahaya yang tersebut di atas, penguatkuasaan undang-undang bagi mengawal perlepasan POPs dan lain-lain pencemar organik ke alam sekitar hendaklah dilakukan. Di samping itu program pendidikan tentang bahaya bahan-bahan ini terhadap kesihatan perlu dipertingkatkan lagi. Pada masa yang sama, masyarakat umum perlu diberitahu tentang langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil semasa menggunakan atau melupuskannya.N