Ahli ISDB

Bilangan 39, Januari 2002

Bulletin Umum Pusat Racun Negara, USM

ISSN 1394-5238 

 

The International Society of Drug Bulletins (ISDB) merupakan rangkaian global bagi buletin dan jurnal bebas seluruh dunia yang membincangkan tentang drug dan kesan terapeutiknya. Buletin-buletin ini dikeluarkan oleh kumpulan profesional dari pelbagai negara.

 

PenawaRacun telah diterima sebagai ahli ISDB pada bulan Disember 1997. PenawaRacun  merupakan Buletin Umum PRN bertujuan untuk membantu anda berwaspada terhadap bahan-bahan yang mungkin mengakibatkan keracunan di samping meningkatkan kesedaran kesihatan anda dan keluarga.

 

Penasihat

Dzulkifli Abdul Razak

 

Penyunting bersama

Rahmat Awang

Mohd Isa Abdul Majid

Mohamed Izham Mohamed Ibrahim

Razak Hj Lajis

 

Penyunting DTP

Rosman Ahmad

 

Penyunting www

Natrah Mustapha

 

Penyelaras 

Wan Zainal Azman Abdullah

 

Buletin ini boleh didapati melalui Internet, dalam PRNWeb http://www.prn.usm.my

 

 

Antraks - Ancaman kepada penduduk dunia!

 

Tahun 2001 berlalu dengan meninggalkan pelbagai peristiwa malah sesetengahnya meninggalkan kesan mendalam yang akan diingati sepanjang hayat.

 

11 September 2001 menjadi kemuncak segala peristiwa berikutan serangan bunuh diri terhadap Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York, Amerika Syarikat (AS). Susulan dari itu AS bertindak balas dengan menyerang Afghanistan kerana mendakwa serangan tersebut didalangi oleh Osama bin Laden yang berkubu di sana. Rentetan dari itu dunia dikejutkan lagi oleh ancaman serangan antraks. Walaupun hampir semua kes antraks yang dilaporkan di Malaysia adalah palsu tetapi ia tetap menakutkan dan menimbulkan suasana panik.

 

Apakah Antraks?

 

Jangkitan antraks adalah disebabkan oleh bakteria Bacillus Anthracis iaitu sejenis bakteria yang tidak mudah musnah. Dengan kecenderungan semulajadinya untuk membentuk spora yang amat stabil, ia boleh disimpan hampir selama-lamanya, sama ada dalam bentuk cecair atau serbuk.

 

Umumnya antraks hanya menjangkiti haiwan seperti lembu, kuda, kambing, babi dan biri-biri tetapi kadang-kala boleh menjangkiti manusia.

 

Bakteria antraks boleh menjangkiti manusia melalui kulit, saluran pernafasan atau memakan makanan yang dicemari bakteria ini. 

 

Jangkitan melalui kulit biasanya melibatkan bahagian tangan, leher atau muka terutamanya jika terdapat luka. Pesakit akan mengalami rasa gatal-gatal selepas 2 hingga 3 jam pendedahan dan ia boleh berlarutan hingga menjadi gelembung-gelembung atau bintik-bintik atas kulit. Jangkitan yang serius boleh menyebabkan pengsan, pendarahan hingga membawa maut.

 

Walaupun jangkitan berpunca daripada memakan makanan yang dicemari bakteria ini jarang berlaku, sekiranya berlaku ia boleh juga membawa maut.

 

Jangkitan melalui pernafasan merupakan peringkat yang paling merbahaya. Ini kerana spora yang dihidu masuk jauh ke dalam paru-paru. Ia kemudiannya akan bercambah dan merebak dengan cepat ke seluruh paru-paru sehingga menyebabkan mangsa demam. Kesukaran bernafas dan gejala seperti dijangkiti influenza. Gejala-gejala ini berlaku agak cepat iaitu antara satu hingga tiga hari selepas jangkitan. Kebiasaanya mangsa akan sembuh sekejap tetapi kemudiannya mengalami kesukaran bernafas, sakit dada, pengsan dan akhirnya maut sekiranya tidak dirawat dengan segera.

 

Pada hakikatnya antraks tidak begitu mudah menjangkiti kita. Seseorang yang telah terdedah kepada spora B. anthracis atau bersentuh dengan haiwan yang dijangkiti, tidak semestinya akan mendapat jangkitan. Spora mesti menembusi kulit atau permukaan saluran pencernaan atau masuk terus ke dalam paru-paru untuk membolehkan seseorang dijangkiti. Menurut satu laporan dari Persatuan Perubatan Amerika, seseorang itu hanya akan dijangkiti apabila ia menyedut lebih daripada 2,500 spora. Rawatan yang paling berkesan untuk jangkitan ini ialah dengan memberi antibiotik kepada mangsa dengan segera. Sekiranya rawatan lewat diberikan, bakteria tersebut mungkin dapat dibunuh tetapi toksinnya akan kekal di dalam tubuh mangsa.

 

Pencegahan jangkitan antraks boleh dilakukan dengan suntikan vaksin. Proses imunisasi antraks memerlukan 6 dos secara berperingkat-peringkat yang memakan masa hingga 18 bulan.

 

Perbuatan menyebarkan bakteria antraks palsu melalui perkhidmatan pos merupakan satu sikap buruk segelintir masyarakat kita yang cuba mengambil kesempatan di atas keadaan semasa tanpa menilai erti keharmonian negara. Sikap suka mengganggu ketenteraman awam ini sepatutnya dikenakan hukuman yang lebih berat dengan mengambil kira kos, tenaga dan masa yang terbuang bagi untuk menangani setiap laporan yang diterima. Sama samalah kita kekalkan keharmonian masyarakat kita.N

 

 

 


 

Wanita dan Vitamin A

 

oleh Che Nin bt. Man

 

Pengambilan vitamin telah menjadi amalan harian kehidupan moden. Ia mungkin disebabkan oleh cara hidup yang serba cepat, ringkas dan menitikberatkan kecantikan, penjagaan berat badan, atau mencegah dari jangkitan atau penyakit. Pengambilan vitamin kini lebih sebagai makanan tambahan tanpa memikirkan kesan buruknya kepada badan. Ini mungkin disebabkan oleh kuatnya pengaruh iklan melalui media massa.

 

Walau bagaimanpun, setelah 2 hari di dalam tahun baru ini, kaum wanita dikejutkan dangn kajian terbaru yang dilaporkan di dalam Journal of American Medical Association (JAMA, Vol.287, No. 1, January 2 [2002]) yang mendapati kaitan antara pengambilan vitamin A berlebihan dengan peningkatan bahaya patah pinggul di kalangan wanita yang telah putus haid.

 

Hasil kajian mendapati wanita yang mengambil retinil, vitamin A melebihi 2000 mikrogram sehari (kesamaan retinol, RE) mengalami 2 kali ganda bahaya patah pinggul jika dibandingkan dengan wanita yang mengamalkan pengmbilan kurang daripada 500 mikrogram setiap hari. Sejumlah 40 peratus bahaya kejadian patah pinggul juga dikatakan berlaku di kalangan wanita tersebut jika dibandingkan dengan wanita yang langsung tidak mengamalkan pengambilan suplemen.

 

Dos yang terlibat ini adalah jauh lebih rendah daripada dos yang boleh menyebabkan keracunan sama ada akut ataupun keracunan kronik.

 

Apa yang menjadi kebimbangan ialah dos harian vitamin A yang dicadangkan oleh agensi-agensi pemakanan (Jadual 1) yang dikatakan selamat adalah agak tinggai dan juga kemungkinan berlakunya pengambilan berlebihan vitamin A oleh wanita. Ini berlaku melalui pemakanan makanan (sila rujuk poster) dan pengambilan suplemen (Jadual 2).

 

 

Jadual 1

Paras pengambilan harian Vitamin A (Kesamaan Retinol) yang dicadangkan oleh agensi pemakanan di Amerika, Kanada dan Perancis 

 

Amerika

Kanada (ug/hari)

Perancis

Wanita

800

800

600

Wanita mengandung

800

900

700

Wanita menyusu

1200-1300

1200

950

Note: 1RE = 1µg retinol = 3.333 iu

 

Satu tindakan perlu bagi menangani perkara di atas, antaranya ialah: 

  • Dos vitamin A dalam suplemen, multivitamin dan makanan tambahan perlu dikurangkan

  • Vitamin A dalam makanan yang diperkayakan dengannya perlu dikurangkan

  • Kandungan Vitamin A yang dikurangkan boleh digantikan dengan beta-karotin iaitu sejenis provitamin karotenoid yang akan ditukar kepada vitamin A apabila berada di dalam badan. Ia didapati tidak memberi kesan pada wanita di dalam kajian di atas.

  • Paras pengambilan maksima Vitamin A yang selamat perlu dikaji semula

  • Satu garis panduan tentang pengambilan makanan harian yang mengandungi Vitamin A perlu diadakan untuk panduan orang ramai teruama wanita.N

Jadual 2

Antara makanan tambahan (suplemen) yang terdapat di pasaran Malaysia dan dosnya

Nama Produk

Kandungan Vitamin A

Scott Emulsion® Cod Liver Oil

850iu/15ml

Seven Seas® Cod Liver Oil

600iu/kapsul

Cosmos Mulvicon®

5000iu/tablet

Kordel's Nutritime (Multivitamin + mineral

5000iu/tablet

Vidaylin®Multivitamin

3000iu/tablet

Appeton® Formula MV with Ginseng (multivitamin + mineral  + ginseng

5000iu/tablet

 

 

Vitamin A

 

Kepentingan Vitamin A

  • Menyihatkan mata dan penglihatan

  • Membantu mencegah jangkitan

  • Tumbesaran tulang yang baik 

  • Pembentukan sperma

  • Mempastikan kesihatan fetus semasa mengandung

  • Kulit dan tisu yang sihat

Bila di perlukan?

  • Cirit-birit

  • Penyakit mata

  • Penyakit usus

  • Jangkitan  yang lama atau kronik 

  • Campak

  • Penyakit pankreas

  • Ketegangan yang berlarutan

Simptom keracunan

  • Akut

    * Pening

    * Sakit tulang

    * Penglihatan kabur

    * Kulit kering

    * Rasa loya

  • Kronik

    * Pening

    * Anemia

    * Pembesaran hati dan limfa

    * Haid yang tidak normal

    * Ke kakuan dan sakit pada sendi sendi

    * Fungsi hati yang tidak normal dikalangan orang orang tua dan 

    * Kecacatan bayi baru lahir.

Kandungan Vitamin A dalam Makanan

 

Dari Tumbuh-tumbuhan dan Buah-buahan

IU

Lobak merah mentah (7½")

20,250

Lobak merah rebus ½ cawan

19,150

Jus lobak ½ cawan

12,915

Sebiji mempelam

8,050

½ cawan ubi keledek

7,430

Bayam rebus ½ cawan

7,370

½ cawan kubis rebus

4,810

½ cawan sup sayuran

3,005

½ cawan aprikot

2,055

½ cawan bayam mentah

2,015

½ cawan brokoli

1,740

6 auns jus tomato

1,010

Betik kecil

430

Limau

375

Dari haiwan

 

3 auns hati lembu yang di masak

30,325

3 auns hati ayam yang di masak

13,920

1 cawan susu tanpa lemak yang diperkaya dengan vit. A

500

1/8 pizza keju bergarispusat 12 inci

380

1 cawan susu, 3.25% lemak

305

1 auns keju cedar

300

Sebiji telur (sederhana besar)

280

Satu auns keju swiss

240

1 cawan dadih kurang lemak berperisa buah-buahan

120

Nota: IU - International Unit atau Unit Antarabangsa

 

 

Ketidaksuburan dan kecacatan bayi:

Bahan Kimia Pelarut

 

Pelarut organik seperti xylene, aseton, trikloroetilina dan bahan kimia berasaskan petroleum boleh menyebabkan keguguran. Bahan-bahan ini boleh didapati dalam aktiviti industri dan kegunaan harian rumah seperti bahan-bahan kosmetik, wangi-wangian, pelembut pakaian dan sebagainya.

 

Kajian pendedahan pelarut di tempat kerja menunjukkan insiden kejadian melebihi 4 kali ganda keguguran spontan di kalangan pekerja wanita yang diambil bekerja di tempat pemasangan mikro-elektronik dan 15% kadar keguguran dalam syarikat pemasangan cip silikon. Ia telah disabitkan dengan penggunaan pelarut organik dalam kerja-kerja pencucian komponen elektronik.

 

Bapa yang terdedah kepada polivinil alkohol dan benzena yang didapati dalam gasolin, pelarut, perekat juga dikaitkan dengan 50% pertambahan bahaya kelahiran anak tidak cukup bulan di samping kelahiran anak yang cacat. Satu kaji selidik yang dilakukan telah menunjukkan kaitan antara bapa dengan anak-anak yang mengalami kecacatan pada sistem sarafnya, mendapat penyakit leukemia dan ketumbuhan otak. Kumpulan bapa ini merupakan pekerja dalam industri cat, pelarut kimia atau sebagai tukang cat.

 

Memandangkan bahaya kimia di atas, ILO (International Labour Organization) dan NIOSH (National Institute for Occupational Safety and Health) telah mengeluarkan senarai bahan kimia yang mesti dielakkan oleh wanita atau lelaki semasa bekerja. Anda juga dinasihatkan untuk memastikan kandungan kimia sama ada asli atau sintetik, berbahaya atau tidak sebelum anda membeli atau mengguna sebarang produk berasaskan kimia. Anda boleh mendapatkan khidmat nasihat dari persatuan pengguna, institusi kesihatan atau hubungi terus Pusat Racun Negara.N

 

Bahan kimia yang boleh mempengaruhi dan memberi kesan ke atas sistem pembiakan

Bahan kimia

Kesan ke atas lelaki

Kesan ke atas wanita

Benzene

Mengurangkan kesuburan

Kerosakan kromosom

Kerosakan kromosom

Kloropren

Mengurangkan kesuburan;

Kerosakan sperma

Pelarut organik

Mengurangkan kesuburan

Kerosakan kromosom; Keguguran

Kecacatan anggota bayi