BERITA KESIHATAN - Jun 2007

Berita dan 

Maklumat Kesihatan

 

click to PRNWEB... your information gateway

Perkhidmatan Maklumat Kesihatan Awam oleh Pusat Racun Negara, Universiti Sains Malaysia
@ Semua Hak Cipta Terpelihara

 

 

 

 

Lagi kes keracunan makanan di sekolah
(Berita Harian, Jumaat – 29 Jun 2007)

Kota Bharu, Kelantan (Malaysia) – Seramai 45 pelajar tingkatan tiga dan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota, dikejarkan untuk rawatan kecemasan akibat keracunan makanan selepas menikmati sarapan di kantin sekolah. Sumber daripada Jabatan Kesihatan berkata, pemeriksaan yang dilakukan terhadap kantin SMK Kota mendapati kuah kari dipercayai menjadi punca keracunan.

Kes terbaru H5N1
(Berita Harian, Khamis – 28 Jun 2007)

Dhaka (Bangladesh) – Wabak selesema burung merebak ke beberapa daerah di Bangladesh memaksa pekerja kesihatan dan haiwan membunuh 5,000 ternakan ayam. Kes terbaru dilaporkan dari sebuah kampung di daerah Thakurgaon. Virus jenis H5N1 kali pertama dikesan berhampiran Dhaka pada Mac lalu.

Kes denggi naik 15 peratus
(Berita Harian, Khamis – 28 Jun 2007)

Kuala Lumpur (Malaysia) – Kes denggi di negara ini berada pada tahap yang membimbangkan dengan 1,116 kes dilaporkan pada minggu ke-25 iaitu dari 17 Jun hingga 23 Jun lalu, meningkat 15.1 peratus berbanding minggu sebelumnya. Jumlah kes terkumpul denggi yang dilaporkan sehingga 23 Jun, juga meningkat 54.2 peratus atau 8,724 kes iaitu 24,808 kes dan pertambahan kes di hampir semua negeri.

Makanan anak mesti berkhasiat
(Berita Harian, Rabu – 27 Jun 2007)

Nibong Tebal, Pulau Pinang (Malaysia) – Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah mengingatkan ibu bapa di kawasan luar bandar supaya memberikan makanan yang berkhasiat dan seimbang kepada mereka dan mendidik anak supaya tidak tergila-gila kepada makanan segera. Timbalan Menterinya berkata demikian sebagai mengulas keputusan kabinet mengharamkan syarikat atau restoran makanan segera di negara ini menaja program kanak-kanak dan mengiklankan produk mereka di media elektronik.

31 pelajar SMKP keracunan makanan
(Berita Harian, Rabu – 27 Jun 2007)

Alor Setar, Kedah (Malaysia) – Keracunan makanan berulang lagi di Kedah apabila 31 penghuni asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Pendang (SMKP) dikejarkan ke Hospital Alor Setar (HAS) selepas muntah dan cirit-birit. Penghuni terbabit dikatakan makan rendang daging di kantin asrama pada waktu makan tengah hari. Ini adalah kejadian ke-18, kes keracunan makanan di Kedah sepanjang tahun ini.

Keracunan makanan
(Berita Harian, Isnin – 25 Jun 2007)

Bangkok (Thailand) – The Bangkok Post telah melaporkan kematian seorang rakyat Sweden berusia 40 tahun di rumah rakannya rakyat Thailand selepas cirit-birit akibat memakan som tam (salad betik) dan sator. Beliau ditemui mati di sebuah rumah di daerah Sattahip.

Budak positif hidap H5N1
(Berita Harian, Isnin – 25 Jun 2007)

Kaherah (Mesir) – Sejumlah 37 orang telah dijangkiti virus maut selesema burung di Mesir termasuk kes terbaru seorang budak lelaki empat tahun yang disahkan positif menghidap selesema burung. Siasatan awal mendapati budak itu terdedah kepada bangkai burung. Daripada 37 kes yang disahkan positif, sebanyak 15 telah maut.

Negara bebas ancaman virus selesema burung
(Berita Harian, Isnin – 25 Jun 2007)

Georgetown, Pulau Pinang (Malaysia) – Kementerian Kesihatan menganggap negara bebas daripada ancaman selesema burung atau Avian Influenza (H5N1) selepas tiada kes baru dilaporkan sejak beberapa hari lalu. Bagaimanapun, jangkitan terhadap unggas masih berlaku dan ini dianggap masih mengancam negara. Kes selesema burung mula dikesan di Kampung Paya Jaras Hilir Sungai Buloh apabila 60 ternakan ayam kampung mati mengejut dalam tempoh tiga hari sejak 2 Jun lalu.

Korban selesema burung
(Berita Harian, Jumaat – 22 Jun 2007)

Hanoi (Vietnam) – Seorang wanita berusia 28 tahun maut akibat selesema burung, menjadikan rakyat kedua meninggal dunia akibat virus itu di negara ini dalam tempoh dua minggu. Beliau mati di Hospital Hanoi akibat penyakit itu, 13 hari selepas dia dimasukkan dengan tanda virus selesema burung H5N1.

Menyusu bayi hindari artritis
(Berita Harian, Khamis – 21 Jun 2007)

London (England) – Mengikut satu kajian terbaru, ibu yang menyusukan anak untuk jangka panjang berkemungkinan dapat mengurangkan risiko mengalami masalah artritis reumatoid (RA), gangguan kronik yang menyebabkan radangan kesakitan pada sendi. Semakin lama tempoh penyusuan, semakin rendah risiko ibu mengalami RA dalam lewat kehidupannya. Kajian ini, terutamanya menunjukkan potensi hormon semula jadi dalam melindungi individu daripada mengalami RA pada masa depan. Ia turut menambah bukti kebaikan penyusuan ibu dan implikasi kesihatan positif masa ini menunjukkan faedah perlindungan kepada ibu.

Wabak hawar terkawal
(Berita Harian, Khamis – 21 Jun 2007)

Tuaran, Sabah (Malaysia) – Tidak ada kematian terbaru akibat wabak hawar berdarah dilaporkan dalam tempoh lima hari lalu dan ini menunjukkan wabak yang menyerang ternakan kerbau di lima kampung di Tenghilan dan Kota Belud itu semakin terkawal. Pegawai Penguasa Jabatan Haiwan dan Perusahaan Ternak Penampang berkata, pemantauan diteruskan hingga keadaan pulih dan suntikan vaksin masih dijalankan di beberapa kampung berhampiran.

Wabak denggi meningkat
(Berita Harian, Rabu – 20 Jun 2007)

Singapura – Kes demam denggi meningkat kepada peringkat epidemik di Singapura buat pertama kali sejak wabak penyakit itu menjejaskan beribu-ribu penduduk pada 2005, kata statistik kerajaan. Minggu lalu negara itu mencatat 401 kes demam denggi melebihi jangkaan kerajaan terhadap jangkitan sebanyak 378 kes dalam tempoh seminggu.

Sambal punca keracunan
(Berita Harian, Rabu – 20 Jun 2007)

Alor Setar, Kedah (Malaysisa) – Keracunan makanan yang dialami oleh 115 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Ayer Hitam dipercayai berpunca daripada sambal ikan bilis. Jurucakap Jabatan Kesihatan Kedah berkata, pihaknya juga sudah mengambil sampel sambal itu untuk dianalisis.

Masa tentukan risiko sakit jantung
(Berita Harian, Selasa – 19 Jun 2007)

Marburg (Greek) – Makanan yang tinggi dengan lemak sayuran dan serat adalah diet tradisi Mediterranean yang disifatkan baik untuk kesihatan. Pada masa yang sama, satu lagi amalan yang dianggap baik bagi mereka ialah tidur tengah hari yang didapati boleh mengurangkan risiko kematian akibat penyakit kardiovaskular. Kajian mendapati, risiko kematian sakit jantung berkurangan terhadap mereka yang mengamalkan tidur waktu tengah hari sehingga 34 peratus.

39 murid keracunan
(Berita Harian, Isnin – 18 Jun 2007)

Kuala Nerang, Kedah (Malaysia) – Seramai 30 murid Sekolah Kebangsaan Tandop Besar telah menerima rawatan di Hospital Kuala Nerang, selepas mengadu sakit perut, cirit birit dan muntah dipercayai akibat keracunan makanan. Empat daripada pelajar tersebut di masukkan ke wad sementara selebihnya menerima rawatan pesakit luar.

Malaysia bebas H5N1 jika tiada kes baru
(Berita Harian, Isnin – 18 Jun 2007)

Kuala Lumpur (Malaysia) – Setiausaha Parlimen Kementerian Kesihatan berkata, Malaysia boleh diisytiharkan bebas daripada selesema burung atau Avian Influenza (H5N1) jika tiada kes baru dilaporkan dalam tempoh dua minggu. Perkembanga terkini menunjukkan tanda positif apabila tiada laporan baru kes disyaki H5N1 di seluruh negara sejak tiga hari lalu. Permohonan akan dihantar kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sekiranya tiada kes baru dalam masa dua minggu ini.

Vietnam sah kematian pertama selesema burung
(Berita Harian, Isnin – 18 Jun 2007)

Hanoi (Vietnam) – Kes pertama kematian manusia akibat selesema burung yang disahkan oleh Vietnam sejak 2005 dan kini menjadikan jumlah kematian di negara itu kepada 43 berikutan virus maut itu terus merebak di kawasan penternakan. Ujian mengesahkan seorang lelaki berusia 20 tahun dari utara wilayah Ha Tay mati akibat virus selesema burung seminggu lalu. Keluarga lelaki terbabit membela sekurang-kurangnya 24 ekor ayam laga selain itik.

 

Ancaman penyakit gaya hidup mewah
(Berita Harian, Jumaat – 15 Jun 2007)

Petaling Jaya, Selangor (Malaysia) – Menurut Menteri Kesihatan, banyak penyakit berjangkit yang pernah dianggap terkawal kini muncul semula dan orang ramai berdepan dengan ancaman baru kesihatan, termasuk penyakit berpunca daripada gaya hidup mewah dan moden. Oleh itu, semua negara di dunia perlu merumuskan satu rangka kerja atau mekanisme bagi mengekang ancaman penularan penyakit berjangkit dan persediaan menangani kemungkinan kemunculan gejala baru. Penyakit kini menjadi punca kedua terbesar kematian di dunia selain faktor semula jadi seperti cuaca, bentuk muka bumi dan genetik, manakala pada masa sama manusia turut menyumbang kepada penyebaran banyak ejen penyakit.

Diabetes punca sakit jantung
(Berita Harian, Khamis – 14 Jun 2007)

Copenhagen (Belanda) – Penyelidik baru menunjukkan diabetes mengurangkan jangka hayat penghidapnya sehingga lapan tahun dan pesakit lebih berisiko tinggi diserang sakit jantung lebih cepat berbanding bukan pesakit. Kebanyakan pesakit diabetes, 95 peratus menderita penyakit Jenis 2 dikaitkan dengan obesiti.

Edaran ubat gigi beracun ditarik balik
(Berita Harian, Rabu – 13 Jun 2007)

Miami (Florida) – Ubat gigi yang diimport dari China dan diedarkan kepada semua pemborong telah diarah ditarik balik dari pasaran oleh sebuah syarikat Florida dengan alasan produk itu mungkin mengandungi bahan kimia beracun. Ubat gigi yang dipanggil Shir itu mungkin mengandungi diethylene glycol, ejen pemekat yang digunakan dalam bahan anti beku dan komponen murah untuk pemanis gliserin.

Lima kes baru H5N1 di dua negeri
(Berita Harian, Rabu – 13 Jun 2007)

Kuala Lumpur (Malaysia) – Dua kanak-kanak dan pasangan suami isteri dari Pahang serta seorang kanak-kanak lelaki dari Selangor ialah antara lima kes terbaru yang dirujuk ke wad pengasingan kerana mengalami simptom selesema burung. Siasatan awal terhadap lima kes berkenaan mendapati semua pesakit terbabit mempunyai sejarah sentuhan dengan ternakan ayam yang mati tiba-tiba. Pasangan adik beradik itu yang masing-masing berusia setahun setengah dan 10 bulan mengalami batuk dan selesema. Pasangan suami isteri berusia 53 dan 45 tahun turut mengalami simptom yang sama.

Kes denggi melonjak
(Berita Harian, Rabu – 13 Jun 2007)

Putrajaya (Malaysia) – Ancaman denggi berada pada tahap membimbangkan dengan 200 hingga 300 pesakit dikesan setiap minggu di seluruh negara berikutan cuaca panas dan hujan tidak menentu yang menggalakkan pembiakan aedes dalam tempoh hanya tujuh hari. Daripada 1,000 kes disyaki denggi yang dilaporkan, 20 hingga 30 peratus disahkan menghidap denggi.

Ayam positif virus H5N1 kekal sihat
(Berita Harian, Selasa – 12 Jun 2007)

Jakarta (Indonesia) – Ayam yang dijangkiti selesema burung di Indonesia kini kebanyakannya bebas simptom, menjejaskan usaha memerangi virus di negara paling teruk terjejas di dunia itu, kata pegawai Kementerian Pertanian. Ayam yang diuji positif mempunyai virus H5N1 masih kekal sihat dan ini menjadikan sukar untuk Kementerian Kesihatan mengenal pasti yang mana dijangkiti. Selesema burung membunuh sekurang-kurangnya 189 orang sejak ia menyerang ternakan ayam di Asia pada 2003.

Denggi meningkat
(Berita Harian, Isnin – 11 Jun 2007)

Jakarta (Indonesia) – Pakar kesihatan berkata, jumlah kes demam denggi yang semakin meningkat di hospital setiap bulan tahun ini menunjukkan langkah pengawalan penyakit itu tidak meninggalkan kesan. Langkah kawalan denggi di Jakarta didakwa dikendalikan oleh kakitangan yang tidak profesional.

Sel saraf tunjang sembuh buta
(Berita Harian, Khamis – 7 Jun 2007)

London (England) – Saintis di Britain merancang menggunakan sel saraf tunjang untuk menyembuhkan buta dan masalah penglihatan dengan pesakit pertama bakal menerima rawatan percubaan dalam tempoh lima tahun lagi. Projek perintis yang dilancarkan kelmarin mensasarkan rawatan dan memperbaiki retina yang rosak dengan sel yang diperolehi daripada sel saraf tunjang. Kaedah ini dipercayai boleh mengembalikan semula penglihatan majoriti pesakit yang menghadapi masalah penglihatan akibat usia lanjut dikenali AMD punca utama masalah buta di kalangan warga tua.

Singapura haram tiga ubat gigi buatan Cina
(Berita Harian, Khamis – 7 Jun 2007)

Singapura – Tiga jenis ubat gigi buatan Cina telah diharamkan oleh kerajaan Singapura selepas ujian mendapati ia mengandungi bahan kimia beracun. Bahan kimia itu ialah ejen pemekat digunakan dalam antibeku yang berkos rendah, tetapi boleh menyebabkan kematian, menggantikan gliserin dan biasanya digunakan dalam ubatan. Pihak berkuasa menjumpai tiga jenis ubat gigi yang dijual di republik itu, `Hei Mei’. ‘Hei Mei Calcium’ dan ‘Maxam’ mengandungi antara 0.8 peratus dan 3.9 peratus bahan kimia itu.

H5N1 merebak
(Berita Harian, Selasa – 5 Jun 2007)

Hanoi (Vietnam) – Wabak selesema burung merebak ke tiga ladang ternakan itik di tengah Vietnam dan rantau selatan minggu lalu, membunuh lebih 300 ternakan itu. Ujian mengesahkan ia mendapat virus H5N1, kata Jabatan Haiwan.

Dengkur kuat risiko Alzheimer
(Berita Harian, Selasa – 5 Jun 2007)

London (England) – Sekumpulan Saintis Barat mendakwa mereka yang berdengkur kuat berisiko tinggi mengalami masalah Alzheimer, sejenis penyakit otak yang memusnahkan penghidapnya untuk berfikir. Ia pada kesudahannya boleh membawa kepada nyanyuk. Dengkur kuat mengurangkan pengaliran oksigen ke otak dan ini boleh menyebabkan Alzheimer. Golongan lain termasuk mereka yang pernah diserang angin ahmar, masalah jantung atau kecederaan kepala juga boleh menghidap penyakit otak berkenaan.

Tibi meningkat
(Berita Harian, Selasa – 5 Jun 2007)

England – Menurut pakar, kerajaan gagal bertindak terhadap langkah untuk membendung penyakit tuberculosis atau batuk kering berikutan bukti menunjukkan bilangan kes penyakit itu semakin meningkat. Pakar terbabit mendakwa bahawa pegawai gagal untuk memberikan keutamaan dalam usaha mengawal penyakit maut itu seperti dijanjikan pada Oktober 2004 yang mensasarkan mengurangkan bilangan kes tibi dalam masa tiga tahun.

Maut selesema burung
(Berita Harian, Isnin – 4 Jun 2007)

Jakarta (Indonesia) – Menurut jurucakap Kementerian Kesihatan, seorang remaja berusia 15 tahun maut akibat selesema burung selepas bersentuhan dengan ayam yang dijangkiti menjadikan jumlah keseluruhan yang maut akibat virus H5N1 di negara ini kepada 79 orang.

Merokok rosakkan sperma
(Berita Harian, Isnin – 4 Jun 2007)

Washington (Amerika Syarikat) – Merokok boleh merosakkan sperma, mewarisi kerosakan genetik kepada anak lelaki, lapor penyelidik Kanada. Satu kajian terhadap tikus menunjukkan merokok menyebabkan perubahan dalam DNA sel sperma, kata penyelidik dalam keluaran jurnal Penyelidikan Kanser. Mutasi seperti ini dikenali garisan bakteria dikenal pasti adalah kekal. Jika diwarisi, mutasi seperti ini akan berpanjangan dan sebarang perubahan tidak boleh dipinda Adalam komposisi genetik benih pasangan itu.

Penduduk Asia diancam barah
(Berita Harian, Jumaat – 1 Jun 2007)
 
Singapura – Dalam masa 10 tahun lagi Asia bakal menyaksikan peningkatan mendadak kes barah berikutan jangka hayat lebih panjang dan amalan negatif gaya hidup barat. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini meramalkan 40 peratus masalah barah boleh dielak dengan senaman, pengambilan makanan sihat dan tidak merokok. Namun, hakikatnya semakin ramai penduduk Asia berpindah ke kawasan bandar dan menjadi gemuk kerana tidak bersenam. Pemakanan sayur dan buah-buahan digantikan dengan makanan berlemak dan bergaram yang menyebabkan barah perut dan usus. Ini diburukkan lagi apabila penyakit tradisi seperti malaria meragut kurang nyawa yang menjadikan lebih ramai berisiko menghidap barah.

 

 

 

  

Ruangan ini merupakan ringkasan berita-berita yang dipetik dari Akhbar-akhbar tempatan di Malaysia - berkaitan dengan tajuk-tajuk keracunan dan kesihatan. Sekiranya anda berminat dengan mana-mana berita, sila hubungi WebMaster.

Klik Sini Untuk Berita Dalam Bahasa Inggeris.

 

Berita Kesihatan 2008

 

Archive 2007

Januari

Februari

Mac

April

Mei

Jun

Julai

Ogos

September

Oktober

November

Disember

 

Archive 2006

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Atas