BERITA KESIHATAN - Jun 2005

Berita dan 

Maklumat Kesihatan

 

click to PRNWEB... your information gateway

Perkhidmatan Maklumat Kesihatan Awam oleh Pusat Racun Negara, Universiti Sains Malaysia
@ Semua Hak Cipta Terpelihara

 

 

 

 

 

Selesema burung tidak merebak

(Berita Harian, Khamis – 30 Jun 2005)

 

Hanoi (Vietnam) – Saintis Antarabangsa, menurunkan  risiko ancaman pandemik selesema burung, selepas mendapati virus maut yang membawa penyakit itu tidak bermutasi sehingga berjangkit dari manusia ke manusia.  Tahun lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, berjuta-juta orang boleh mati jika virus itu mudah tersebar di kalangan manusia dan boleh mencetuskan pandemik atau wabak besar di seluruh dunia.  WHO berkata sepasukan pakar penyelidik dan perubatan dari Britain, Hong Kong, Jepun dan Amerika Syarikat berlepas pulang dari Vietnam kelmarin selepas merumuskan ancaman virus H5N1 ke atas manusia tidaklah ketara seperti disangkakan sebelum ini.

 

Kas-kas sebabkan khayal, ketagih

(Berita Harian, Khamis – 30 Jun 2005)

 

Kuala Lumpur (Malaysia) – Isu penggunaan ‘kas-kas’ dalam masakan yang ditimbulkan baru-baru telah mengujudkan kesangsian mengenai kesan  makanan seperti kari dan kurma yang menjadikan bahan itu sebagai salah satu ramuan utama menyediakan hidangan berkenaan.  Menurut Timbalan Ketua Pengarah 1 Jabatan Pertanian, penggunaan biji kas-kas secara berlebihan dalam apa juga jenis masakan boleh menyebabkan simptom khayal dan ketagihan.  Kajian saintifik juga mengesahkan bahawa masakan yang mengandungi kas-kas boleh menyebabkan pemakannya diuji positif candu atau opiates.

 

Aids ancam negara Islam

(Berita Harian, Khamis – 30 Jun 2005)

 

Washington (Amerika Syarikat) – Menurut satu kajian, krisis Aids kini semakin mengancam banyak negara Islam, walaupun beberapa pemimpin negara berkenaan masih menafikan perkara itu dan tidak melakukan usaha secukupnya untuk mengekang masalah berkenaan.  Dalam satu laporan menyeluruh mengenai Aids di dunia Islam, pakar memberi amaran akibat serius jika kerajaan berterusan menyembunyikan masalah itu. 

 

Vietnam mula operasi vaksinasi

(Utusan Malaysia, Khamis – 30 Jun 2005)

 

Hanoi (Vietnam) – Kerajaan Vietnam mengumumkan akan memulakan proses vaksinasi terhadap ternakan di seluruh negara bulan hadapan  dalam usaha memastikan wabak selesema burung tidak merebak.  Dianggarkan 20 juta vaksin akan diimport dari Belanda dan China untuk tujuan itu. 

 

1,000 kanak-kanak dirawat

(Berita Harian, Khamis – 29 Jun 2005)

 

Phnom Penh – Beberapa hospital di ibu negara Kemboja bertungkus lumus merawat sejumlah besar bayi serta kanak-kanak yang menghidap selesema.  Lebih 1,000 kanak-kanak berusia dua bulan hingga lima tahun dimasukkan ke hospital di Phnom Penh sejak beberapa hari lalu kerana jangkitan pernafasan yang teruk. 

 

Yahudi racun penduduk Palestin

(Utusan Malaysia, Jumaat – 24 Jun 2005)

 

Gaza – Kerajaan Israel didakwa sengaja melambakkan buah-buahan dan makanan seperti sayuran dan daging beku yang disuntik dengan bahan kimia mengandungi bahan penyebab barah di pasar Palestin bagi meracuni penduduk terbabit.  Hasil ujian makmal menunjukkan makanan dari Israel itu mengandungi peratusan tinggi carcinogen saccarine.  Bahan kimia saccarine itu sendiri amat merbahaya kepada kesihatan awam dan sememangnya diharamkan di seluruh dunia sejak 1982 ini kerana ia disahkan sebagai penyebab utama barah

 

33 murid keracunan selepas makan nasi lemak

(Utusan Malaysia, Khamis – 23 Jun 2005)

 

Jasin, Melaka (Malaysia) – Seramai 33 orang murid tahun enam Sekolah Kebangsaan Air Baruk, mengalami keracunan makanan selepas menikmati hidangan nasi lemak dan karipap yang dijual di kantin sekolah tersebut.  Sembilan daripada mereka dimasukkan ke wad Hospital Jasin untuk pemerhatian lanjut kini berada dalam keadaan stabil manakala selebihnya dibenarkan pulang selepas menjalani rawatan sebagai pesakit luar. 

 

Beijing lapor virus baru

(Berita Harian, Rabu – 22 Jun 2005)

 

Beijing (China) – China melaporkan penularan baru wabak maut selesema burung dan pada masa yang sama menafikan ia menggalakkan penternak menggunakan ubat untuk manusia bagi merawat ternakan yang dijangkiti.  Penularan itu, yang ketiga didedahkan Beijing dalam masa dua bulan.  Kementerian Pertanian berkata keadaan sekarang terkawal.  Tiada kes baru membabitkan manusia dilaporkan.

 

Risiko ubat nyamuk sama seperti rokok

(Berita Harian, Selasa – 21 Jun 2005)

 

Kuala Lumpur (Malaysia) – Satu kajian mendapati membakar satu lingkaran ubat nyamuk didalam bilik tertutup boleh memberi kesan yang sama kepada penghuninya seperti menghisap antara 75 hingga 137 batang rokok.  Asap berkenaan boleh menyebabkan seseorang yang berada di dalam bilik tertutup itu menghadapi risiko mendapat penyakit kronik seperti barah dan masalah pernafasan seperti bronkitis yang teruk.  Kajian juga mendapati asap lingkaran ubat nyamuk di negara ini juga mengandungi banyak sebatian organik yang tidak termasuk karsinogen, iaitu ejen yang boleh menyebabkan barah.

 

Penyakit campak

(Berita Harian, Selasa – 21 Jun 2005)

 

Kuching, Sarawak (Malaysia) – Penyakit campak yang kali terakhir merebak sebagai wabak awal tahun ini yang mengorbankan 18 nyawa masih mengancam penduduk Sarawak.  Penyakit itu masih berlaku walaupun terdapat penurunan ketara dari segi jumlah kes yang dilaporkan setiap tahun.  Seramai 161 penduduk dilaporkan dijangkiti dengan 18 orang daripadanya dimasukkan ke Hospital Bintulu untuk rawatan lanjut. 

 

Dua lagi dijangkiti selesema burung

(Utusan Malaysia, Selasa – 21 Jun 2005)

 

Hanoi (Vietnam) – Dua orang lagi penduduk dari utara Vietnam dijangkiti penyakit selesema burung manakala beribu-ribu ekor ayam ternakan mati akibat penyakit itu di selatan negara itu.  Kedua-dua mangsa baru itu telah diuji positif dijangkiti virus itu. Dengan penemuan kedua-dua kes baru itu, jumlah jangkitan selesema burung melibatkan manusia meningkat kepada 13 orang. 

 

Hampir 170 mati akibat panas

(Utusan Malaysia, Isnin – 20 Jun 2005)

 

Bhubhanehswar (India) – Hampir 170 orang mati akibat cuaca panas terlampau yang melanda negara ini.  Suhu di kebanyakan bahagian di negara tersebut terutama Orissa dan Bengal Barat melebihi 50 darjah celcius.

 

14 mati HIV/AIDS di Felda Bersia

(Utusan Malaysia, Isnin – 20 Jun 2005)

 

Gerik, Perak (Malaysia) – Sebanyak 14 kematian di Felda Bersia, sejak 1997 dipercayai akibat HIV dan AIDS.  Angka kematian membabitkan HIV dan AIDS merupakan suatu jumlah yang mengejutkan kerana ia hanya membabitkan penduduk di satu kawasan sahaja.  Rekod polis menunjukkan kira-kira 50 penagih berusia antara 18 dan 30 tahun dikesan masih aktif dan terdedah kepada jangkitan virus maut itu. 

 

Pesakit diabetes meningkat 12 peratus menjelang 2015

(Utusan Malaysia, Isnin – 20 Jun 2005)

 

Gerik, Perak (Malaysia) – Kerajaan menjangka bilangan pesakit diabetes  di negara ini akan meningkat daripada 8.5 peratus kepada 12 peratus menjelang tahun 2015, jika penduduk masih tidak mengamalkan amalan cara hidup sihat.  Peningkatan pesakit diabetes juga merupakan punca kepada meningkatnya jumlah pesakit buah pinggang di negara ini. 

 

Pertama dijangkiti selesema burung

(Utusan Malaysia, Jumaat – 17 Jun 2005)

 

Jakarta (Indonesia) – Pihak berkuasa Indonesia melaporkan kes pertama manusia dijangkiti virus selesema burung di negara ini.  Seorang pekerja ladang didapati positif dijangkiti virus selesema burung H5N1 yang telah membunuh 54 orang di Asia Tenggara.  

 

Orang gemuk, merokok lebih cepat tua

(Berita Harian, Jumaat – 17 Jun 2005)

 

London – Satu kajian yang dijalankan baru-baru ini, mendapati kegemukan dan tabiat merokok mempercepatkan proses  penuaan manusia.  Kajian itu menunjukkan orang yang gemuk dan juga merokok mempunyai telomere pendek.  Telomere adalah bahagian penutup kromosom yang menyekat bahagian itu daripada cepat kendur atau tua serta mengawal ketegangan kromosom sekaligus bertindak sebagai kunci yang menentukan proses penuaan.  

 

Empat maut selepas makan daging penyu

(Berita Harian, Jumaat – 17 Jun 2005)

 

Phnom Penh (Vietnam) – Empat rakyat Kemboja termasuk tiga kanak-kanak berusia bawah lima tahun mati manakala 62 lagi dimasukkan ke hospital selepas memakan penyu yang ditangkap di perairan negara itu.  Semua mangsa mengalami  muntah  dan cirit birit selepas memakan hidangan haiwan tersebut yang dimasak kari.  

 

Remaja hidap kanser mulut meninggal

(Berita Harian, Selasa – 14 Jun 2005)

 

Alor Setar, Kedah (Malaysia) – Seorang remaja berusia 17 tahun meninggal dunia selepas tiga minggu dimasukkan ke hospital Alor Setar (HAS) kerana menjalani rawatan kanser mulut yang dihidapinya sejak lima bulan lalu.  Berita Harian pada 21 Mei lalu menyiarkan laporan mengenai remaja tersebut yang diserang penyakit barah mulut kronik sehingga menyebabkan mulutnya bengkak teruk sehingga isinya terkeluar dan bernanah manakala lidahnya seperti tertutup.  

 

Jangkitan HIV di Malaysia pada peringkat epidemik: WHO

(Berita Harian, Selasa – 14 Jun 2005)

 

Kuala Lumpur (Malaysia) – Jangkitan virus HIV di Malaysia kini berada pada peringkat permulaan epidemik berdasarkan Laporan Epidemik Global HIV/Aids 2004 yang dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).  Walaupun masalah Aids di Malaysia tidak serius seperti di sesetengah negara lain tetapi Malaysia menghadapi cabaran dalam penggunaan dadah secara haram dan kebanyakan mereka yang dijangkiti HIV terdiri daripada penagih dadah, selain peningkatan melalui hubungan seksual. 

 

Bakteria bahan tercemar hasilkan bahan elektrik

(Berita Harian, Isnin – 13 Jun 2005)

 

Beijing (China) – Sekumpulan penyelidik Amerika Syarikat (AS) mendakwa bakteria  pemakan bahan tercemar yang lazimnya ditemui di kawasan lombong atau kolam air tawar, mampu menghasilkan tenaga elektrik.  Penyelidik terbabit mendakwa bekalan tenaga elektrik yang dihasilkan bakteria itu mampu membolehkan alat elektronik kecil beroperasi.

 

Telefon bimbit beri kesan kepada kulit

(Berita Harian, Isnin – 13 Jun 2005)

 

London – Penyelidikan terbaru saintis Jepun mendakwa radiasi telefon bimbit boleh memberi kesan alahan kepada mereka yang menghidap masalah seperti eczema atau dramatitis.  Menerusi kajian itu, saintis mendapati darah beberapa pengguna telefon bimbit itu mempunyai paras bahan kimia yang tinggi dan dihasilkan sistem daya tahan badan sebagai kesan reaksi alahan.  Kajian itu sekali gus mengesahkan kaitan alahan kulit dengan telefon bimbit biarpun penyelidikan mengenai kesan sebenar alat komunikasi itu, termasuk kesannya kepada kesihatan pengguna, sedang dilakukan.

 

Selesema burung menular di wilayah Xinjiang

(Berita Harian, Jumaat – 10 Jun 2005)

 

Beijing (China) – China semalam telah mengesahkan penularan wabak selesema burung di wilayah Xinjiang di barat laut negara itu, di mana 460 ekor angsa mati akibat virus H5N1 tetapi keadaan masih berjaya dikawal.  Keseluruhan angsa yang dijangkiti wabak itu ialah 1,042 ekor.

 

Kismis kawal bakteria punca penyakit mulut

(Berita Harian, Jumaat – 10 Jun 2005)

 

Washington (Amerika Syarikat) – Menurut pengkaji Amerika Syarikat (AS), kismis yang terkenal dengan rasanya yang manis dan melekit mengandungi bahan yang mampu mengawal bakteria penyebab penyakit mulut dan gusi.  Kajian mendapati bahan fitokimia (phytochemical) yang terdiri daripada lima jenis sebatian dalam kismis boleh mendatangkan kebaikan kepada gigi dan gusi dimana ia mampu menentang bakteria penyakit mulut dan gusi serta membantu dalam penjagaan mulut. 

 

Ubat antiradang tingkat risiko serangan jantung

(Berita Harian, Jumaat – 10 Jun 2005)

 

Paris – Satu penyelidikan terbaru Britain yang disiarkan mendakwa ada bukti menunjukkan ubat antiradang yang digunakan secara  meluas, khususnya di kalangan mereka mengalami masalah sendi seperti arthritis boleh meningkatkan risiko serangan jantung buat kali pertama. Ubat yang dikenali Ubat Anti Radang Bukan Steroid (NSAIDS), lazimnya disyorkan bagi mengurangkan kesakitan penyakit  seperti athritis dan ketegangan urat tetapi timbul kebimbangan mengenai keselamatannya.

 

Pembantu rumah disyaki racun majikan

(Utusan Malaysia, Jumaat – 10 Jun 2005)

 

Pulau Pinang (Malaysia) – Polis menahan seorang pembantu rumah warga Indonesia kerana disyaki meracun majikannya dengan memasukkan racun serangga ke dalam minuman ketika sarapan pagi di rumahnya di Gelugor.  Menurut majikannya, ketika meneguk minuman itu ia terasa susu tersebut dicampur  dengan sejenis racun yang digunakan di rumahnya lalu ia memuntahkannya.  Contoh susu itu telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis.

 

Kepialu di Kelantan berakhir

(Berita Harian, Khamis – 9 Jun 2005)

 

Kota Bharu, Kelantan (Malaysia) – Penyakit kepialu yang merebak di seluruh Kelantan sejak 3 April lalu dianggap berakhir apabila ia kembali ke paras endemik sejak awal minggu lalu.  Kes kepialu yang berpunca daripada jenis kuman Salmonella Typhii itu mencatat peningkatan luar biasa sehingga mencapai 80 kes sehari, kini menurun kepada hanya dua atau tiga kes.

 

Empat lagi kanak-kanak dijangkiti polio

(Berita Harian, Rabu – 8 Jun 2005)

 

Jakarta (Indonesia) – Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), empat lagi kenak-kanak Indonesia dijangkiti polio menjadikan jumlahnya kini meningkat kepada 20 orang.  Empat kes terbaru itu berlaku di Jawa Barat di mana penyakit tersebut bermula pada April lalu.  Pegawai Kesihatan mengesyaki wabak terbaru itu dibawa masuk ke Indonesia oleh seorang pekerja asing atau mereka yang pulang dari mengerjakan ibadat haji di Arab Saudi.

 

Thailand kawal wabak denggi

(Utusan Malaysia, Rabu – 8 Jun 2005)

 

Bangkok (Thailand) – Kementerian Kesihatan Thailand kini diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga berikutan musim demam denggi yang dijangka bermula pada bulan depan.  Menurut Pengarah Pejabat Pencegahan Penyakit Tempatan. lebih 60 peratus penduduk di selatan negara ini kini menghidap demam denggi.  Jumlah kes terbanyak dicatatkan ialah di wilayah Songkla dengan 181 pesakit dan diikuti wilayah Trang sebanyak 164 orang manakala wilayah Pattalung 103 orang.

 

Pendingin hawa gagal berfungsi punca 3 warga Thailand maut

(Berita Harian, Rabu – 8 Jun 2005)

 

Teluk Intan, Perak (Malaysia) – Tiga warga Thailand maut apabila terhidu gas beracun terhasil daripada ikan busuk yang dipercayai berpunca daripada kegagalan alat pendingin hawa sebuah bot yang berlabuh di pelantar pendaratan ikan tidak berfungsi dengan baik.  Berdasarkan laporan awal, apabila alat pendingin hawa itu gagal berfungsi menyebabkan hasil tangkapan laut yang disimpan busuk sekali gus menyebabkan udara dalam bot itu bertindak balas menjadi toksik sebelum bertukar menjadi racun.

 

Virus Monyet B bawa maut kepada manusia

(Berita Harian, Selasa – 7 Jun 2005)

 

Hong Kong – Pihak berkuasa Hong Kong memberi amaran kepada penduduk supaya tidak mendekati atau memberi makan monyet liar selepas Taiwan melaporkan haiwan berkenaan yang diuji positif membawa virus maut yang boleh mengancam manusia.  Virus jenis CHV-1 atau turut dikenali virus Monyet B sememangnya lazim dan tidak merbahaya kepada binatang itu, tetapi ia sebaliknya menyebabkan manusia menghidap sawan yang boleh membawa maut.

 

Hampir 500 kena malaria

(Berita Harian, Selasa – 7 Jun 2005)

 

Bangkok (Thailand) – Hampir 500 kes demam malaria dilaporkan dengan 50 orang terpaksa dimasukkan ke hospital, di sebuah wilayah di selatan Thailand.  Kawasan Baan Na dipercayai adalah pusat penyebaran penyakit itu dan pihak berkuasa  sedang berusaha mengawal keadaan dengan semburan pembunuh nyamuk.

 

Lelaki guna tembikai racun tentera

(Berita Harian, Isnin – 6 Jun 2005)

 

Baghdad – Seorang lelaki ditahan kerana didakwa mensasarkan anggota pasukan keselamatan Iraq dengan tembikai beracun.  Penyerang yang menyamar sebagai pekebun dikatakan memandu lori dipenuhi tembikai yang disuntik dengan bahan toksik berhenti di pos pemeriksaan di Mosul  dan memberikan tembikai sebagai pelepas dahaga anggota tentera yang bertugas.

 

Toksin sebabkan penyakit keturunan

(Berita Harian, Isnin – 6 Jun 2005)

 

London – Satu penyelidikan mendakwa bahan toksin yang meracuni datuk dan moyang seseorang boleh menyebabkannya mendapat penyakit seperti barah prostat dan barah payu dara.  Perbadanan  Penyiaran Britain (BBC) melaporkan, sekumpulan penyelidik Amerika Syarikat daripada Universiti Washington State mengemukakan bukti mengaitkan beberapa penyakit keturunan disebabkan rahim wanita dicemari racun.

 

4.4 juta rakyat gemuk menjelang 2020

(Berita Harian, Jumaat – 3 Jun 2005)

 

Kuala Lumpur (Malaysia) – Kerajaan menganggarkan 4.4 juta rakyat berusia lebih 18 tahun di negara ini akan mengalami kegemukan atau obesiti menjelang 2020 berbanding kira-kira 3.3 juta orang dewasa yang menghadapi gejala itu ketika ini.  Punca utama yang menyumbang kepada masalah obesiti ialah perubahan gaya hidup serta corak pemakanan yang tinggi kandungan lemak dan karbohidrat.

 

AIDS: Nelayan antara tertinggi dijangkiti

(Utusan Malaysia, Khamis – 2 Jun 2005)

 

Kangar, Perlis (Malaysia) – Sepanjang tahun lalu, golongan nelayan, surirumah, penganggur dan pekerja di sektor swasta adalah antara  golongan yang paling tinggi dikesan dijangkiti HIV/AIDS di negeri ini.  Berdasarkan statistik yang dikeluarkan Jabatan Kesihatan Perlis, jangkitan penyakit berbahaya itu paling banyak berlaku pada mereka yang berusia lingkungan 20 hingga 39 tahun.

 

Syarikat rokok umpan wanita

(Berita Harian, Khamis – 2 Jun 2005)

 

London – Syarikat tembakau dikesan mengubah suai rokok keluaran masing-masing dalam usaha menampakkan ia lebih mesra wanita dengan mendakwa ia boleh melangsingkan badan.  Akhbar The Independent melaporkan, dokumen baru mendedahkan syarikat rokok gergasi meletakkan bahan daya penahan selera ke dalam rokok  mereka sebagai usaha mengawal berat badan.

 

6 maut setiap jam kerana merokok di Thailand

(Berita Harian, Rabu – 1 Jun 2005)

 

Bangkok (Thailand) – Menteri Kesihatan Thailand berkata, rokok membunuh sekurang-kurangnya enam penduduk Thailand setiap jam dan tabiat merokok di kalangan remaja negara itu semakin meningkat.  Lebih 52,000 orang maut akibat penyakit berkaitan rokok pada tahun 2004 dan rekod kementerian menunjukkan lebih 9.6 daripada 64 juta penduduk Thailand merokok tahun lalu, berbanding 10.4 juta pada tahun sebelumnya.

 

 

 

 

Ruangan ini merupakan ringkasan berita-berita yang dipetik dari Akhbar-akhbar tempatan di Malaysia - berkaitan dengan tajuk-tajuk keracunan dan kesihatan. Sekiranya anda berminat dengan mana-mana berita, sila hubungi WebMaster.

Klik Sini Untuk Berita Dalam Bahasa Inggeris.

 

 

Berita Kesihatan 2007

 

Archive 2006

 

Berita Kesihatan 2005

Januari

Februari

Mac

April

Mei

Jun

Julai

Ogos

September

Oktober

November

Disember

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Atas