HOME     ABOUT US SERVICES STAFF MEMBERS RESEARCH ACTIVITIES PHOTO GALLERY
 
 
 
  .: Links
  WHO Collaborating Centre
  Products
  Toxicology Laboratory
  Publication/Production
  Collaborators
  News & Health Information
  Berita Kesihatan
  PRN Bulletins & Articles
  Malaysian Drug & Poison Net
  United For Tobacco Free
  Hiroshima On My Mind
  Articles by Founding Director
  Posters & Brochures
 
 
 
Contact Us
National Poison Centre
Universiti Sains Malaysia
11800 Penang
Malaysia
 
Tel: +604-657 0099
Fax: +604-656 8417
 
Email: prnnet@usm.my
 
 

 
HIROSHIMA ON MY MIND
   
  Kembali
 
 

   Kenikmatan Hari Ini Siapakah Pejuang?
   - Mastika - Ogos, 1993, hal.31-32

    
Oleh:Noritah Sulaiman

     
  Jika kita hendak tahu bagaimana aman dan bahagianya kehidupan di negara ini, rakyat dapat hidup dengan selesa, berkunjunglah ke negara luar dan lihat bagaimana suasana kehidupan rakyat negara lain.

"Anehnya dengan kehidupan yang aman dan selesa, masih ada pihak yang cuba menimbulkan masalah supaya negara berada dalam suasana huru-hara." Demikian ditegaskan oleh Haji Abdul Razak Abd. Hamid, Ketua Program Dasar Pandang ke Timur, Institut Teknologi Mara.

Beliau berpendapat, menjelang Hari Kebangsaan ini, sepatutnya difikirkan kembali, apa yang dikecapi hari ini adalah berdasarkan pengorbanan dan kesusahan yang dilalui oleh bekas-bekas pejuang kemerdekaan.

Katanya, generasi muda hari ini harus memikirkan bagaimana susahnya orang dulu berjuang mendapatkan kemerdekaan.

Beliau menambah, media massa dan elektronik terutama televisyen sepatutnya menimbulkan bahagian sejarah mengembalikan ingatan bagaimana susah mendapatkan kemerdekaan dan tidak hanya mengeluarkan rancangan-rancangan kemerdekaan bercorak hiburan sahaja.

"Kisah-kisah terutama zaman penjajahan Jepun menzalimi kita, azab di zaman Jepun, betapa ramai yang terkorban boleh diimbas kembali."

"Kesedaran harus dipupuk bahawa kemudahan yang diperolehi hari ini adalah hasil perjuangan bekas-bekas pejuang."

Tetapi terdapat anggapan yang mengatakan bahawa kesedaran dan semangat sayang serta cintakan negara sukar dipupuk sebab generasi yang ada hari ini tidak melalui perit getir peperangan?

Generasi muda harus diberi kesedaran betapa sukarnya orang-orang dulu berjuang untuk mencapai kemerdekaan.

Kepada anggapan ini dengan tangkas beliau berkata, semangat cintakan negara tidak semestinya diperolehi setelah rakyat mengalami perit getir peperangan, tidak semestinya negara perlu berperang, baru generasi yang tidak pernah melalui zaman perang in tahu menghayati erti setia dan sayangkan negara.

Sebaliknya, tegasnya, apa yang ada hari ini harus dipertahankan, kita telah 36 tahun mencapai kemerdekaan dan mesti terus mempertahankannya.

"Saya banyak mempelajari dari Jepun, latihan yang saya terima di Melaka ketika Jepun menjajah negara meninggalkan kesan hingga ke hari ini."

"Setiap pagi, kami dikehendaki bersenam ala tentera, bendera ditatang, diikat ke tiang bendera untuk dinaikkan, sambil menyanyi lagu cintakan negara."

Bendera diturunkan dan disimpan di sebuah rumah kecil. Bila lalu di hadapan rumah ini, kami dikehendaki tunduk, jika tidak akan ditampar. Inilah semangat cintakan negara yang ditiupkan oleh orang Jepun ketika itu.

"Semangat cintakan negara yang dipupuk ini masih tersemat di jiwa saya hingga sekarang. Semangat cintakan negara ini mesti dipupuk pada anak-anak sejak mereka di bangku sekolah lagi dan bukannya menggunakan cogan kata sahaja."

Menurut beliau, banyak yang boleh dilakukan setelah 36 tahun negara merdeka, setiap warga mempunyai peranan mempertahankan imej negara.

"Kita mesti berjaya dalam apa juga bidang yang kita lakukan, umpamanya dalam sukan mesti muncul sebagai juara."

"Orang Melayu mesti gigih, semangat kegigihan, pengorbanan mesti ada pada orang muda hari ini. Jangan sampai kita heboh bercakap pasal Wawasan 2020 tetapi yang berjaya orang lain."

Harapan beliau, generasi muda mengubah sikap, bekerja kuat dan jangan leka dengan kemudahan yang ada kerana Malaysia hendak muncul sebagai negara maju, generasi muda mesti memainkan peranan penting dari semua segi, pekerjaan, pendidikan, sukan dan sebagainya.

"Kita tidak boleh ketinggalan. Kita mesti bersatu dalam melakukan apa sahaja bidang, semangat inilah yang mesti dipupuk."

Dalam hubungan ini, beliau berkata, apabila menyambut Hari Kebangsaan, sepatutnya diimbas kembali peristiwa yang berlaku sebelum negara mencapai kemerdekaan dan apa yang harus dibuat untuk menjaga kemerdekaan ini, dan bukannya untuk berhibur sahaja.

Beliau menegaskan, jangan sekali-kali berlaku lagi peperangan, kenapa mesti berperang, tidak adakah jalan lain untuk menyelesaikan masalah, kenapa mesti berbunuh dan membunuh orang yang tidak berdosa.

"Saya telah melihat bagaimana seksanya orang dibunuh, beratus ribu mayat bergelimpangan, di mana letaknya kemanusiaan," ujarnya yang pernah melalui zaman perang, malahan beliau berada di tempat kejadian apabila Hiroshima dibom.

"Ketika itu, saya baru berusia 18 tahun dan menuntut dalam bidang pendidikan di Hiroshima, Jepun. Saya berada di dalam bilik darjah bila letupan berlaku."

"Semua bangunan runtuh dan musnah sama sekali dan saya yang mendapat kecederaan di kepala turut berada di bawah timbunan bangunan runtuh ini."

Saya tidak tahu berapa lama saya tertimbus. Apa yang saya ingat, bila tersedar, saya terlihat ada cahaya terang, lalu saya berjalan keluar dengan seorang kawan.

"Saya hanya menyedari mendapat kecederaan di kepala setelah melihat badan saya berlumuran darah."

"Bila selamat keluar dari celahan runtuhan itu, saya lihat bangunan habis runtuh, pokok-pokok tumbang, kereta tunggang terbalik dan kedengaran suara orang di sana sini menjerit meminta tolong. Peristiwa ini tidak pernah saya rasakan dan tidak sangka begitu hebat kesannya.

"Di sini, saya lihat bagaimana zalimnya manusia bila bermusuhan, hanya untuk mencapai maksud, betapa ramai orang tidak berdosa dibunuh," ujurnya.

Tambahnya, mayat bergelimpangan di sana sini, ada yang rentung, ada merekah tubuh badan akibat kesan radioaktif.

Apabila suasana agak tenang beliau keluar mencari salah seorang kawannya, Nik Yusof yang berasal dari Kelantan, malangnya tidak ketemu kerana banyak mayat yang sudah tidak boleh dikenali lagi.

Hanya pada tahun 1984, beliau ke Jepun dan dibawa oleh seorang rakan menziarah kubur Nik Yusof. Beliau difahamkan mayat Nik Yusof dibakar dan seorang profesor dari Universiti Hiroshima telah mengambil tulangnya dan ditanam dalam kubur.

Seorang lagi rakan beliau, Syed Omar turut menjadi korban radio aktif.

Selepas Hiroshima dibom, Haji Abdul Razak pulang ke tanah air walaupun pengajiannya belum tamat. Sepatutnya ia mengambil masa empat tahun, tetapi peperangan membuatkan beliau terpaksa berhenti separuh jalan dan pulang ke tanah air.

Walaupun peristiwa ini telah lama berlalu dan Jepun sudah kembali membangun dan maju, tetapi Haji Razak masih dapat mengingatkan kembali setiap detik yang dilalui.

"Sebab itu saya tegaskan tidak ada faedahnya bermusuhan dan berperang. Banyak cara boleh dilakukan untuk menyelesaikan masalah. Peperangan bukan jalan penyelesaian, sebaliknya hanya akan mengorbankan mangsa-mangsa yang tidak berdosa," jelasnya dengan nada sedih.

"Apakah dengan pengalaman pahit yang dilalui tidak membuatkan beliau membenci Jepun, sebaliknya mengajar pula bahasa Jepun sekarang?

"Memang ada orang Jepun sendiri yang bertanya pada saya apakah saya tidak benci pada Jepun yang banyak melakukan kezaliman.

"Memang betul, tetapi saya fikir ketika itu zaman peperangan, dan bila saya belajar di Jepun, saya dapati mereka memiliki budaya yang tinggi, bekerja kuat. Kenapa tidak kita ambil sikap mereka yang baik untuk faedah kita," katanya.

 
     

  [Top]
   
  Kembali
   
   

 
 
Copyright © National Poison Centre, USM 2008. All Rights Reserved