HOME     ABOUT US SERVICES STAFF MEMBERS RESEARCH ACTIVITIES PHOTO GALLERY
 
 
 
  .: Links
  WHO Collaborating Centre
  Products
  Toxicology Laboratory
  Publication/Production
  Collaborators
  News & Health Information
  Berita Kesihatan
  PRN Bulletins & Articles
  Malaysian Drug & Poison Net
  United For Tobacco Free
  Hiroshima On My Mind
  Articles by Founding Director
  Posters & Brochures
 
 
 
Contact Us
National Poison Centre
Universiti Sains Malaysia
11800 Penang
Malaysia
 
Tel: +604-657 0099
Fax: +604-656 8417
 
Email: prnnet@usm.my
 
 

 
HIROSHIMA ON MY MIND
   
  Kembali
 
 

   Kawan Dicari, Kubur Ditemui
   - Wawancara Oktober 1998, hal.37-42

    
Oleh:Aziz Muda

     
  Pengalaman pahit penguguran bom atom

Haji Abdul Razak Abdul Hamid, 74, terpaksa pulang ke tanahair dengan seribu kedukaan, walaupun terselamat dari menjadi mangsa pembunuhan kejam bom atom, selepas dua minggu bom berkenaan digugurkan oleh tentera Amerika Syarikat di bandar Hiroshima, Jepun pada jam 8.15 pagi, 6 Ogos 1945 yang lalu.

Akibat pengguguran bom yang mengorbankan jutaan nyawa manusia itu, beliau bukan sahaja hilang peluang meneruskan pelajarannya yang dijadualkan empat tahun di Universiti Hiroshima, tetapi juga pulang tanpa dua kawan baiknya, Nik Yusof Nik Ali dan Syed Omar Syed Mohammad Alsagoff.

"Jadi, macam manalah tak sedih. Pergi bersama, pulangnya tidak. Nik Yusof hilang entah ke mana. Selepas saya bertembung dengannya sewaktu saya dan Pangeran Yusuf dalam perjalanan pulang ke asrama pada pagi bom itu digugurkan, kami sudah tidak terlihat pun lagi dirinya. Entahkan hidup entahkan dah mati.

"Manakala Syed Omar pula terpaksa kami tinggalkan di Kyoto untuk menjalani pemeriksaan kesihatan di situ." katanya.

Menurut Abdul Razak, dia dan lapan orang kawannya yang lain dibawa pihak Institut Pelajar Antarabangsa, Tokyo dari rumah keluarga angkatnya di Hiroshima yang terletak kira-kira 1 batu dari Universiti Hiroshima, tempat mereka belajar seminggu selepas bom itu digugurkan.

Setelah menetap selama seminggu di asrama Institut Pelajar Antarabangsa, Tokyo, mereka dihantar balik ke tanahair.

Hajat hati ingin meneruskan lagi pelajaran di Universiti Hiroshima. Sepatutnya kami menuntut di situ selamat empat tahun. Tetapi apakan daya, di tahun pertama, kami sudah terpaksa pulang kerana bandar Hiroshima dibom sehingga menyebabkan universiti tempat kami belajar juga musnah.

"Kemusnahan universiti dan bandar Hiroshima menyebabkan Kerajaan Jepun terpaksa menyerah kalah kepada Amerika Syarikat (tentera bersekutu). Setelah Amerika mengambil alih pentadbiran di Jepun termasuk universiti itu, biasiswa kami pun ditamatkan oleh pihak Amerika.

"Oleh itu, pihak Institut Pelajar Antarabangsa Tokyo sudah tidak boleh berbuat apa-apa ke atas kami. Kuasa Jepun sudah hilang. Kuasa Institut Pelajar Antarabangsa Tokyo juga turut hilang. Segalanya sudah bertukar tangan kepada Amerika.

"Bantuan yang boleh diberikan oleh Kerajaan Jepun dan institut berkenaan kepada kami hanyalah menghantar kami pulang.

"Memang amat berat hati kami untuk pulang ke tanahair ketika itu kerana hajat hati ingin meneruskan lagi pelajaran di sana. Tetapi apakan daya, keadaan yang tidak mengizinkan.

"Pihak Jepun sememangnya faham perasaan kami. Pada 15 Ogos 1945, iaitu hari pengisytiharan penyerahan kalah dilakukan pihak Jepun di dewan universiti, saya turut berkumpul beramai-ramai bersama-sama askar dan orang-orang Jepun.

"Seorang pegawai tentera Jepun berkata kepada saya: Razak kau baliklah ke Malaya. Kau duduk di sini pun azab. Jepun dah kalah. Tapi 20 tahun lagi, Jepun akan bangkit semula.

"Nasihat itu memang kami ikuti. Tapi yang menyedihkan saya, dalam perjalanan pulang, kami terpaksa pula meninggalkan Syed Omar di Kyoto kerana masalah kesihatan.

"Sangkaan saya, masalah Syed Omar tidak serius. Dia pasti akan dihantar pulang dengan selamat oleh pihak Jepun sehari dua selepas itu. Tetapi rupa-rupanya lain pula ceritanya.

Begitu juga dengan Nik Yusof, saya berharap akan bertemu dengannya dalam masa terdekat selepas itu. Tetapi lain juga pula ceritanya," jelas beliau.

Menurut Abdul Razak, beliau amat sedih apabila mengetahui Nik Yusof yang ditunggu-tunggu kepulangannya itu rupa-rupanya telah meninggal dunia di Jepun. Dengan lain kata, dia juga menjadi mangsa pengguguran bom atom.

"Segalanya itu dapat saya ketahui setelah saya diundang oleh Datuk Bandar Hiroshima ke Jepun (melalui kedutaan Jepun di Malaysia) pada tahun 1984 untuk menyempurnakan filem dokumentari terbitan Kerajaan Jepun.

Saya diundang melakonkan babak-babak berkaitan pengalaman saya saya sewaktu pengguguran bom atom di Hiroshima pada 6 Ogos 1945. Penggambarannya dilakukan tepat 6 Ogos juga.

"Tetapi sebelum penggambaran dokumentari itu dilakukan, saya telah dibawa menziarahi kubur Allahyarham Nik Yusof. Saya amat terkejut dan sedih apabila mendapat tahu Nik Yusof rupa-rupanya telah meninggal dunia.

"Kuburnya terletak di sebuah taman di kawasan tinggi di Hiroshima. Saya menangis teresak-esak macam budak kecil di perkuburan Nik Yusof. Saya memohon doa panjang di kuburnya semoga rohnya dicucuri rahmat oleh Allah.

"Dilihat pada batu kenyataan di kuburnya itu, kubur beliau dibiayai oleh Profesor Ichiro Moritak dengan kos RM10,000," jelas beliau.

Mengenai Syed Omar pula, Abdul Razak menjelaskan, kematiannya telah diberitakan kepada beliau oleh pihak Jepun dari Kyoto pada 3 September 1945. Tetapi beliau hanya berkesempatan mengunjungi kubur kawannya itu pada 6 Ogos 1984, sempena undangan yang diterimanya daripada Datuk Bandar Hiroshima itu.

"Manakala cerita mengenai punca kematiannya pula hanya dapat saya ketahui dengan pasti pada 6 Ogos 1992, sempena undangan yang saya terima dari Kerajaan Jepun untuk pelaksanaan Hari Memperingati Pengguguran Bom Atom Di Hiroshima pada tahun itu.

"Cerita itu saya perolehi daripada doktor yang amat akrab hubungannya dengan Allahyarham Syed Omar dan dengan saya sendiri. Menurut doktor itu, kematian Syed Omar sebenarnya berpunca daripada luka kecil di badannya. Melalui luka itulah, kesan radioaktif daripada bom atom meresap masuk ke seluruh tubuhnya.

"Penjelasan doktor itu amat memeranjatkan saya. Ini kerana semasa kami sama- sama berkhemah di atas jambatan dulu, Syed Omar tak pernah memberitahu kepada kami mengenai lukanya itu. Malah, semasa pasukan pertolongan cemas datang, dia juga tidak mendapatkan sebarang ubat daripada mereka.

"Ini menunjukkan beliau tidak mengalami sebarang kesakitan pada masa itu. Tetapi menurut doktor itu pula, setelah kami meninggalkan Allahyarham di Kyoto, beliau telah memasukkannya ke hospital.

"Pada hari yang sama juga, beliau (doktor itu) dapati masalah kesihatannya telah serius. Seluruh badan Syed Omar sehingga ke kakinya telah merekah. Tekaknya juga telah bengkak. Ini menyebabkan beliau terpaksa mengulang alikkan Syed Omar ke hospital setiap hari.

"Tepat 3 September 1945, Syed Omar meminta doktor itu supaya tidak meninggalkannya sendirian di bilik hospital. Beliau bertanyakan Allahyarham sama ada mahu balik ke Malaya atau tidak. Syed Omar menjelaskan yang beliau tidak mahu balik ke Malaya sebab di Jepun pun beliau sudah ada abangnya, iaitu beliau (doktor itu) sendiri.

"Selepas itu, Allahyarham memegang erat tangan beliau dan menyanyikan sebuah lagu Jepun kegemarannya. Selepas itu, Syed Omar terus meninggal dunia. Doktor itu amat sedih dengan apa yang berlaku dan menangis teresak-esak," katanya.

Menurut Abdul Razak, beliau juga menangis teresak-esak mendengarkan cerita daripada doktor itu. Beliau amat kesal dengan tindakan Syed Omar yang menyembunyikan lukanya itu daripada beliau dan kawan-kawannya. Jika beliau tidak bertindak sedemikian, Syed Omar pasti masih berpeluang diubati.

"Ini kerana, tiada seorang pun daripada kami yang tidak luka sebenarnya. Saya sendiri juga turut mengalami luka-luka kecil di badan. Tetapi jika hanya mengalami luka kecil dan segera diubati, ia tidak akan mendatangkan masalah lagi kepada kita," jelas beliau.

Abdul razak juga menjelaskan, setiap kali beliau berkunjung ke Jepun untuk memenuhi undangan Kerajaan Jepun, beliau turut mengambil kesempatan menziarahi kubur Nik Yusof di Hiroshima dan Syed Omar di Kyoto.

"Suatu hal yang tidak dapat dielakkan, setiap kali saya menziarahi kubur mereka untuk berdoa kepada Allah agar dirahmati roh mereka, saya pasti menangis.

"Sejauh pengetahuan saya, perkuburan mereka itu memang dijaga dengan baik oleh pihak Jepun. lebih jauh dari itu, di bawah kenyataan kubur Syed Omar itu, seorang sasterawan Jepun telah menulis:

"Omar, engkau datang dari tempat yang jauh, menuntut di Jepun. Tapi yang kau temui hanyalah penyeksaan. Kami orang-orang Jepun tidak melupakan kau."
 
     

  [Top]
   
  Kembali
   
   

 
 
Copyright © National Poison Centre, USM 2008. All Rights Reserved